KUALA LUMPUR: Pas tidak tertarik langsung dengan tawaran Umno supaya parti itu ‘melupakan memori silam’, sebaliknya menganggap ia sebagai pancing untuk memerangkapnya menjelang pilihan raya.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, MAzlan Aliman berkata, tawaran itu dikemukakan di saat sokongan rakyat, terutama kaum Melayu terhadap parti itu dilihat semakin meruncing.
“Pas tidak tertarik langsung dengan tawaran yang sebenarnya adalah pancing yang dihulurkan Umno. Sebenarnya mereka hilang sokongan lalu menjadikan Pas sebagai dahan untuk berpaut. Ini agenda mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke 13,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan supaya Pas melupakan memori silam antara kedua parti yang berseteru sejak tahun 70-an, dengan tujuan mewujudkan kerajaan perpaduan.
Menurut Mazlan, ketika Umno, parti yang kononnya memperjuangkan Melayu bersikap sebaliknya, Pas tampil membela dan menjadi benteng untuk mempertahankan Melayu yang ditindas Umno.
Katanya, Pas tidak akan dapat melupakan pengkhinatan yang dilakukan Umno terhadap parti itu dan juga orang Melayu khususnya.
“Apa yang diperjuangkan Pas tak pernah dipedulikan oleh Umno. Bahkan pemimpin Pas dihukum termasuk ditahan di bawah ISA.
“Isu hak royalti minyak untuk rakyat Kelantan yang tak dipulangkan masih tak selesai, walhal penduduk negeri itu majoritinya adalah orang Melayu.
“Begitu juga dengan isu Felda yang majoriti penerokanya orang Melayu. Pas sebenarnya yang jadi benteng untuk mempertahankan orang Melayu yang telah dikhianati Umno,” katanya kepada Keadilandaily.com.
Katanya lagi, tidak timbul isu mengatakan Pas sebagai sebuah parti yang angkuh untuk menerima kerjasama demi perpaduan Melayu, kerana Umno sendiri tidak diterima majoriti rakyat dan Melayu di negara ini.
“Ketika pemimpin Pas berjuang bersama rakyat, pemimpin Umno berada pada jurang yang jauh dari rakyat dan tidur bersama mimpi yang bercanggah dengan hasrat orang Melayu. Kalau Umno kata Pas sombong, Umno yang sebenarnya tak lagi relevan,” tegasnya.
Justeru katanya, Pas dan parti gabungan dalam Pakatan Rakyat mempunyai formula sendiri dalam konteks mengukuhkan perpaduan orang Melayu dan Islam di Malaysia.
“Barisan pimpinan Pas yang baru terdiri dari aktivis, profesional dan pemimpin masyarakat telah lama bergelumang dengan perit jerih rakyat yang tak pernah difahami pemimpin Umno-BN.
“Segmen yang dimiliki pemimpin Pas ini tidak ada pada Umno. Kita ada idea dan gagasan yang boleh diterjemahkan ke dalam masyarakat. Muktamar lalu telah memberikan komitmen Pas untuk merealisasikan Buku Jingga,” katanya.
Umno pernah menawarkan kerjasama dengan Pas pada 1973 sehingga hubungan itu terputus pada 1977 dan menyaksikan kejatuhan kerajaan Pas di Kelantan.
Sejak Pakatan Rakyat memenangi lima negeri pada pilihan raya umum ke 12, Umno dilihat berulang kali menawarkan kerjasama tersebut, sehingga wujud pihak di dalam Pas yang bersetuju dengan gagasan itu.
Bagaimanapun, Muktamar pemilihan Pas yang dijalankan hujung minggu lalu, menghancurkan impian Umno, apabila pemimpin tertinggi yang dipilih perwakilan dibarisi pimpinan yang keras menolak hubungan tersebut.
0 Komen pengunjong :