Kabinet PAS Punya Masa Depan Cerah Ke Putrajaya - Anwar

SHAH ALAM 6 JUN : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan 'kabinet' baru PAS yang dipilih 4 Jun lalu sebagai mantap dan mampu melakar masa depan yang cerah khususnya pilihan raya umum ke- 13 akan datang.

Sehubungan itu, Anwar mengucapkan tahniah kepada semua perwakilan PAS yang matang dalam manilai dan memilih pucuk pimpinan tanpa dibayangi emosi dan hasad dengki.

"Seperti pemilihan sebelumnya, ahli Pas memilih pimpinan untuk memperkasa parti tersebut demi memperkukuh Permuafakatan Pakatan Rakyat, suatu permuafakatan yang zahir dari hasrat menjamin kebajikan serta kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia,"ujarnya.

Anwar berkata, muktamar PAS keli ke- 57 itu bukan sahaja melabuhkan tirai dengan jayanya bahkan juga mampu mencapai kata sepakat terutama dalam setiap usul yang dibahaskan perwakilan.

Muktamar kali ini yang bertemakan 'Membangun Negara Berkebajikan' sekali lagi meluluskan usul, menolak kesepakatan politik berbaur rasuah serta penyelewengan kuasa pimpinan oleh Umno- Barisan Nasional (BN).

Anwar berkata, PAS sebagai parti yang berpengalaman luas dalam politik memiliki sejarah tersendiri dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat, sejak sebelum merdeka.

Jelas Anwar, perjuangan PAS dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman tidak dapat dipisahkan lagi setelah dipimpin tokoh-tokoh ulama seperti Almarhum Dr Burhanudin al Helmy, Almarhum Zulkifli Muhammad dan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Malah ujar Anwar, beliau turut terkesan dengan ucapan dasar yang dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bahawa tekad dan iltizam hanya untuk terus mara bersama Pakatan Rakyat.

Tambahnya, Abdul Hadi turut berkeyakinan untuk menjayakan agenda bersama Pakatan Rakyat yang termaktub dalam Buku jingga.

Pemilihan PAS Pusat melibatkan persaingan jawatan presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 18 ahli jawatankuasa kerja pusat. Mereka yang terpilih dikategorikan sebagai golongan profesional.

Sementara, Dewan Ulama PAS pula menyaksikan penguasaan kumpulan ulama' diperingkat jawatan teratas.

Manakala, Dewan Muslimat pula dilihat dipimpin golongan profesional.

0 Komen pengunjong :