PETALING JAYA: Pihak polis didakwa bersubahat meminta wang tebusan sebanyak RM13,000 bagi membebaskan seorang mangsa tahanan di bawah Ordinan Darurat, dakwa keluarga mangsa.
Ia adalah kes kedua, selepas keluarga seorang lagi mangsa, yang ditahan di bawah ordinan yang sama, Muhammad Arif Abu Semah, 19 mendakwa polis meminta RM15,000 bagi membebaskan beliau.
Terbaru, Mohar Mohd Ali mendedahkan, beliau diperdaya untuk membuat bayaran ‘jaminan’ kepada individu bernama Ponnan a/l Subramaniaman berjumlah RM 13,000 untuk membebaskan kedua adik lelakinya, Mohamad Ramadhan dan Mohd Rafe Ali.
Mohamad Ramadhan dan Mohd Rafe adalah tahanan terbaru bagi kes yang sama dan kedua mereka ditahan di lokap bersama Muhammad Arif.
“Pada lebih kurang jam 9.30 pagi 24 Mac, saya menerima panggilan telefon dari seorang lelaki Melayu bernombor 016-3432557 yang memperkenalkan dirinya sebagai Inspektor Zulkifli dari balai polis Rawang.
“Dia memberitahu, jika mahu kedua adik saya dilepaskan, saya perlu membayar jaminan polis sebanyak RM 30,000,” kata Mohar ketika hadir dalam sidang media di pejabat pertubuhan Lawyers For Liberty (LFL) di Petaling Jaya tengahari tadi.
“Memandangkan kami orang susah, saya minta dikurangkan sehingga RM13,000, dan wang itu dimasukkan ke dalam sebuah akaun CIMB cawangan Rawang bernombor
14630008886525.
“Lelaki tersebut berjanji untuk melepaskan adik-adik saya pada jam 7 malam hari yang sama. Tetapi pada jam 4.30 petang, lelaki tersebut menelefon dan memberitahu bahawa kedua-dua mereka tidak boleh dilepaskan.
“Saya dan keluarga telah tertipu dengan panggilan tersebut dan membuat laporan polis,” kata Mohar.
Sementara itu, jurucakap LFL, N Surendran berkata, wujud kemungkinan bahawa orang yang terlibat dengan penipuan tersebut mempunyai rangkaian dengan pihak polis.
“Saya telah berkhidmat sebagai peguam selama 18 tahun. Telah banyak kali Ordinan Darurat (EO) ini digunakan untuk memeras ugut keluarga tahanan. Ini kerana kuasa yang ada pada polis di bawah EO tidak boleh dicabar di mahkamah. Ini cara mereka ‘membuat’ duit.
“Ini adalah bukti jelas EO ini disalahgunakan oleh polis. Ini menunjukkan betapa pihak polis tidak gentar untuk menyalahgunakan kuasa untu menindas rakyat,” kata Surendran,
0 Komen pengunjong :