Tindakan proaktif Polis DiRaja Malaysia (SPRM) menyiasat empat individu yang disebutkan oleh Raja Petra Kamaruddin dalam akuan bersumpahnya sengaja dibuat sekarang demi membersihkan imej Perdana Menteri, Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor.
Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin ketika dihubungi Tv Selangor berkata, siasatan yang hanya dibuat selepas 3 tahun akuan bersumpah dibuat oleh Raja Petra ada kaitannya dengan misi memulihkan imej Najib yang tercalar.
"Persoalan isu kes Altantuya ini, semua jentera Datuk Seri Najib Tun Razak kerajaan dan prosedur siasatan hanya dilakukan ke arah membersihkan nama Najib dan isterinya Rosmah Mansor. Penyiasatan sudah dirancang ke arah itu," katanya.
Malah jelas Badrul yang lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard, jika hendak dilihat dari wawancara Raja Petra bersama Tv 3 awal bulan ini, tidak ada perkara baru yang didedahkan oleh Raja Petra.
Malah nama-nama yang disebutkan oleh Raja Petra sebelum ini sudah disebut dalam akuan bersumpahnya pada Jun 2008.
"Jadi dalam bab pengakuan Raja Petra, Raja Petra tidak mengubah apapun dalam kenyataan bersumpahnya. Malah dia mengulang semula cuma yang dia menyatakan bahawa dia tidak percaya, Takkanlah Rosmah hendak pergi malam-malam ke dalam hutan, itu saja.
"Tetapi sekarang ini kenapa dengan hanya dengan kata-kata itu siasatan hendak dibuat balik, kenapa tak siasat dulu, kenapa tak diketengahkan dulu? Kenapa pegawai tentera tersebut baru digantung sekarang, kenapa dulu tidak digantung. Raja Petra tidak mengubah apa-apapun dalam kenyataan bersumpahnya yang dia sebut lama dahulu," kata Chegu Bard lagi.
Berita Harian hari ini melaporkan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar sebagai berkata, empat individu berkenaan- pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kolonel Azmi Zainal Abidin,penulis blog Din Merican, selain Nik Azmi Nik Daud dan John Pang disiasat mengikut seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu berhubung kes jenayah.
Jelas Chegu Bard, siasatan berkenaan juga dibuat bagi bertujuan menentang atau melemahkan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Jadi yang saya nampak sekarang ini ialah ini antara pertempuran Najib dan Anwar Ibrahim. Anwar mewakili rakyat marhaen terbanyak dan Najib mewakili Barisan Nasional yang terdiri dari tokoh-tokoh korporat yang menekan dan menzalimi rakyat.
"Yang saya nampak hari ini ialah dalam isu Najib cuba membunuh karektor Anwar Ibrahim dengan pelbagai perkara, liwat , isu video dan sebagainya dia juga sedang berusaha membersihkan dirinya, jadi nampak sangat dengan pengakuan sedikit Raja Petra ini Najib nampak cuba putar, aparatus-aparatus digunakan untuk cuba dan perbaiki imej Najib. Tapi hakikatnya rakyat tetap tidak yakin dengan usaha Najib memburukkan Anwar Ibahim," katanya lagi.
Tambah Chegu Bard, Najib juga kini kelihatan panik dan terdesak dalam menghadapi isu Altantuya dan pada masa sama menentang pengaruh Anwar Ibrahim.
“Tetapi hakikatnya Najib, tindakannya untuk mengheret Raja Petra yang baru sekarang beri kenyataan dan kononnya diberi keisimewaan di Bangkok, nampaknya lebih menyerlahkan yang beliau panik dan cukup terdesak," tambahnya lagi.
0 Komen pengunjong :