Kegiatan 'Black Economy' Punca Pelabur Asing Lari

SHAH ALAM 21 JAN : Kegiatan 'black economy' atau 'ekonomi terlarang' di negara ini memberi imej buruk kepada negara dan menyebabkan kurang keyakinan pelabur asing untuk menanam modal di negara ini.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang mengulas perkara ini menganggap hal ini menjadikan Malaysia kurang 'diminati' oleh para pelabur asing selain menjatuhkan imej bersih yang mahu ditonjolkan kepada negara luar.

Lebih parah, Azan mendedahkan bahawa aktiviti ini telahpun mula menyaingi aktiviti ekonomi dan perdagangan yang sah dan halal di negara ini.

"Aktiviti yang melibatkan 'black economy' ini merujuk kepada aktiviti yang terlarang termasuk perdagangan manusia, penyeludupan dadah, penyeludupan barang keperluan utama, semua ini berkait satu sama lain membentuk satu pentadbiran yang setanding dengan pentadbiran halal di negara kita seolah setanding dengan kerajaan kita," katanya.

Semalam,  Laporan yang dikeluarkan 'Global Financial Integrity' (GFI) berkaitan Pengaliran Keluar Wang Haram di kalangan negara membangun meletakkan Malaysia di tangga ke lima dengan sejumlah USD 291 billion atau RM888 bilion telah dibawa keluar secara haram.

Bank Pelaburan Amerika Syarikat, Merrill Lynch turut menyatakan dalam notanya minggu ini, Malaysia kekal bukan pilihan yang baik kepada para pelabur di mana kedudukan penarafan menokok daripada 46 peratus pada Disember kepada 55 peratus, Januari tahun ini.

Bercakap kepada Tv Selangor, Azan menegaskan bahawa disebabkan hal inilah, Malaysia dilihat sebagai negara yang tidak 'bersih' walaupun cuba menonjolkan imej sebagai negara 'Islam' yang sederhana dan moden serta pernah memimpin Pertubuhan Negara Islam Sedunia (OIC)

Baginya, retorik yang dibawa kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) bertentangan dengan hakikat sebenar apabila laporan badan-badan dunia seperti GFI, Transparency International (TI) dan pelbagai lagi menganggap Malaysia sebaliknya.

"Banyak polisi yang telah digubal kerajaan Umno-BN ini nampaknya tidak menjaga nama baik dan integriti negara kita maknanya tidak menjaga imej negara di mata dunia.

"Jentera pentadbiran di negara kita ini dilihat tidak berkesan. Mungkin melibatkan jentera kerajaan seperti Imigresen, SPRM, Polis dan banyak lagi institusi yang melibatkan Penguasaan. Dan kedudukan yang diberikan institusi antarabangsa bukannya soal persepsi kerana ini adalah kali ke tujuh atau ke lapan adanya

insitusi antarabangsa meletakkan kedudukan yang begitu buruk kepada negara kita," katanya.

Azan turut menyatakan kekesalan apabila kepimpinan utama negara turut seolah merestui keadaan ini.

Menurut Azan, pertanyaan beliau serta ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain mengenai kontroversi pelaburan 'wang panas' atau wang yang tidak dipastikan pelaburnya diendahkan oleh kepimpinan Najib serta kabinetnya.

"Saya pernah bertanya di parlimen tentang penilaian atau persepsi kita tentang kemasukan pelaburan wang-wang panas ini secara besar-besaran. Kerajaan menjawab seolah-olah kita memerlukan perkara ini akibat kononnya kita tak ada lagi FDI.

"Kemasukan wang panas ini dianggap dan diambilkira dapat membetulkan keadaan yang teruk tetapi dalam masa sama kita tak ambil tindakan sebaik untuk meneliti kandungan dalam pelaburan wang panas ini terdapat aktiviti yang menyalahi undang-undang," jelasnya lanjut.

-/ TVSelangor

0 Komen pengunjong :