Pendedahan Kerugian Sime Darby, Jangan Hangat Tahi Ayam




SHAH ALAM 18 DIS: Pakatan Rakyat menggesa kerajaan tidak bersikap hangat-hangat tahi ayam berhubung pendedahan penyelewengan Sime Darby.
Demikian kata, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad yang dihubungi Tv Selangor menggesa agar siasatan ini didedahkan kepada rakyat.
"Apa yang kita mahukan perkara itu jangan hanya retorik dan hanya gimik politik untuk mendatangkan kesan kononnya kerajaan sedang memerangi rasuah sebab kes ini bukan kes sikit tetapi melibatkan hampir RM2 bilion, dan jika ada pelanggaran Akta Syarikat mahupun Kanun Keseksaan ia wajar diambil tindakan segera," katanya.
Tambah Dr Zul lagi, ia perlu didedahkan kepada rakyat supaya mereka tidak tertanya-tanya tentang apa yang berlaku. "Sekarang ini bukan hanya perlu segera bertindak tetapi juga termasuk dengan bertindak itu dedahkan ini,sebab apa yang dikatakan penyelewengan dan kesalahan di atas akta syarikat dan kanun keseksaan itu," jelasnya.
Sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menemui kemungkinan berlaku pelanggaran Kanun Keseksaan dan Akta Syarikat dalam siasatan mengenai isu kerugian bahagianTenaga dan Utiliti Sime Darby.
SPRM, SC, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Polis Diraja Malaysia(PDRM) dalam satu kenyataan bersama berkata perkara itu ditemui selepas ia menyemak semula laporan Jawatankuasa Semakan Semula Laporan Siasatan Sime Darby yang dibuat pada 20 September lepas.
Menurut kenyataan itu, siasatan dibuat berkaitan empat projek utama iaitu Projek Petroleum Qatar, Projek Minyak Maersk Qatar, Projek Elektrik Hidro Bakun dan Projek Marin.
Menurut kenyataan itu siasatan SPRM berkaitan rasuah di bawah Akta Anti Rasuah 1997 dan Akta Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia 2009 masih berjalan, dan SC pula berkata ia sudah menggerakkan siasatan bagi melihat kemungkinan berlaku pelanggaran Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
"Pada masa yang sama SC dan Bursa Malaysia bekerjasama rapat bagi mengenalpasti pelbagai pelanggaran dalam Keperluan Penyenaraian dan SC akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pihak yang melakukan pelanggaran itu," menurutnya.
Kenyataan itu berkata badan-badan penguatkuasaan itu akan bekerjasama bagi memastikan siasatan dibuat dengan terperinci dan menyeluruh.

0 Komen pengunjong :