Mike Bidas Gobala




SHAH ALAM 30 DIS: Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan dari Parti Keadilan Rakyat(PKR) semakin “liar” hari ini apabila mengadakan sidang akhbar bersama pemimpin MIC dan penyokong Barisan Nasional(BN) untuk  melontar fitnah berbentuk  rasis terhadap  Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gobala memperhebatkan serangannya terhadap  Ketua Umum PKR itu  setelah beliau tidak dilantik menjadi naib presiden PKR  susulan pemilihan parti bulan lalu.

Ahli Parlimen itu mengecam keputusan PKR  melantik peguam dan aktivis masyarakat N.Surendran dan sebagai naib presiden PKR.

Beliau mendakwa Surendran dilantik walaupun beliau bukan ahli PKR, malah membuat  tuduhan sebelum ini bahawa peguam muda itu tidak berjasa kepada kaum India.

Hari ini Gobala sekali lagi mensasarkan Anwar  pada sidang akhbar yang dihadiri bersama oleh wakil Pemuda MIC S. Subramaniam dan wakil Gerakan Anti Samy Vellu K.P. Samy di sebuah restoran di Petaling Jaya.

Kehadiran Gobala bersama penyokong-penyokong Barisan Nasional itu dilihat petanda jelas beliau mencabar PKR untuk mengenakan tindakan displin terhadap beliau.

Beliau diuar-uarkan akan menyertai parti KITA pimpinan Datuk Zaid Ibrahim pada bulan depan.

Pada sidang akhbar pagi tadi, Gobala  sekali lagi  menuduh Anwar sebagai anti-Hindu dan mendakwa Ketua Pembangkang itu kononnya menutup sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya pada tahun 2008.

Dalam membuat tuduhan itu, Gobala tidak menjawab kenapa beliau membuat tuduhan itu hanya sekarang, setelah gagal dilantik menjadi  Naib Presiden PKR.

Hakikat ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya membekukan kerja-kerja mengubah suai kuil itu setelah tapak berkenaan di landa masalah hakisan tanah dan tanah runtuh.

Ahli Parlimen Kapar S.Manikavasagam menolak tuduhan-tuduhan Gobala dan menegaskan tidak ada sebarang campurtangan politik bersabit  kuil Sivan di Petaling Jaya.

"Tidak pernah Anwar tutup mana-mana kuil. Ini tidak benar dan fitnah. Bagi saya Anwar tidak pernah tutup kuil. Kuil Bukit Gasing memang ada masalah tanah runtuh.  Kita khuatir jika  berlaku sesuatu  yang tidak diingini, mereka semua akan salahkan kerajaan Pakatan Rakyat," beliau memberitahu Tv Selangor.

Manikavasagam berkata orang ramai masih dibenar menunaikan ibadat di kuil itu cuma kerja-kerja pengubahsuaian dibekukan sehingga MBPJ mengemukakan hasil siasatanya. 

"Jadi kita mahu tunggu laporan daripada Majlis, kalau tiada masalah kita buka. Kalau satu kuil ditutup, saya orang pertama yang akan bising. Tapi dalam isu ini saya tahu kenapa kuil ini ditutup kerana takut kejadian tanah runtuh. Kita selalu fikir pasal keselamatan. Dalam isu ini, Anwar tidak tutup kuil,"  tambah beliau.

Manikavasagam berkata Gobala tidak berpegang kepada kebenaran apabila menuduh anwar anti-Hindu. 

"Siapa cakap Anwar anti-Hindu? Saya diberi bertanding di Kapar, kalau Anwar anti Hindu tidak akan beliau namakan saya calon untuk pilihanraya 2008. Sivarasa (Rasiah) bertanding juga. Kalau dia anti India, tidak ada seorang pun yang akan bertanding. Gobala pun tidak akan bertanding. Saya rasa tidak benar. Saya pun tidak tahu apa YB Gobala fikir,"kata beliau.

Manikavasagam menggesa Gobala supaya menerima keputusan parti melantik Surendran sebagai naib presiden dan memberi tumpuan kepada perjuangan parti.

"Saya pun kecewa tapi ini keputusan parti, Presiden dan Ketua Umum. Kecewa memang ada, saya setuju Gobala, Xavier, Sivarasa dan Suresh kecewa, kami semua bertanding. Tapi ini keputusan daripada parti, kita kena akur dan terima. Saya terima," kata beliau

Hakikat ialah Surendran layak untuk memegang jawatan itu kerana rekodnya sebagai seorang aktivis dan peguam yang banyak membantu masyarakat terpinggir.

"Surendren memang seorang yang rajin, selalu perihatin isu masyarakat. Dia layak. Saya yang bawa dia masuk dalam parti,” tegas Manikavasagam.

0 Komen pengunjong :