Media Kawalan Kerajaan Rasis dan Tidak Beretika


 Media kawalan kerajaan disifatkan tidak beretika dan rasis berbanding media alternatif jelas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari.

Justeru beliau menyifatkan media di Malaysia tidak pernah mengecapi sebarang kebebasan walaupun termaktub dalam Perkara 10(2) Kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

"Apa yang berlaku sekarang, kandungan media (perdana) lagi tidak bertanggungjawab berbanding media yang tidak dikawal. Maksudnya kalau kita bandingkan media arus perdana, media alternatif lebih bertanggungjawab maknanya mereka tidak mewujudkan persepsi buruk.

"Tapi kandungan media perdana membuatkan persepsi buruk kepada sesetengah kumpulan seperti 'anti Melayu', 'jiwa hak Melayu', 'tidak mempertahankan hak Melayu', ini yang menjadi masalah. Maksudnya media yang dikawal kerajaan lebih rasis daripada media yang tidak dikawal," jelas beliau ketika dihubungi Tv Selangor petang tadi.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan Economists Intelligent Unit hari yang meletakkan Malaysia antara 36 buah negara yang berundur langkah dari segi kebebasan media.

Laporan tersebut memperlihatkan faktor sekatan kebebasan media adalah kesan langsung rasa paranoid kerajaan berasas tergugat berikutan krisis kewangan tahun 2008, lantas mengetatkan kawalan media dan menyekat kebebasan bersuara.

Secara langsung menurunkan standard demokrasi yang dimegahkan pemerintahan kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Hata menyalahkan dasar kerajaan memerintah yang mengenakan pelbagai sekatan sehingga media terpaksa akur dengan arahan satu pihak.

Justeru rakyat pada umumnya hanya bergantung kepada media alternatif web portal untuk mendapatkan padangan lebih seimbang dalam pelbagai isu walaupun pelbagai akta dikenakan.

Beliau turut mengambil contoh permohonan permit mencetak akhbar Malaysiakini di tolak Kementerian Dalam Negeri (KDN) September lalu tanpa memberi sebarang alasan.  

"Kuasa mutlak untuk menentukan permit penerbitan akhbar itu yang menjadi masalahnya. Mana ada kebebasan media kalau untuk menerbitkan akhbar pun ada pelbagai sekatan.

"Kalau ada benda sebegini, buat apa mahu cerita kebebasan media di Malaysia sekarang ini. Yang kita ada kebebasan internet sahaja sebab ada dalam janji Perdana Menteri ketika Tun Mahathir bahawa dia tidak akan kawal internet. Itu yang menjadikan internet ini lebih bebas tapi ianya masih dikawal MCMC, jadi kita tidak boleh hendak siarkan apa-apa yang kita mahu siarkan," kata beliau lagi.

Hata yang juga  wartawan Utusan Malaysia turut berpendapat kerajaan Umno hanya mengambilalih media Utusan Melayu pada tahun 1961 sehingga akhbar tersebut cenderung memihak kepada kerajaan.

Beliau menambah media sebelum 1957 lebih bebas daripada selepas Merdeka.

"Masalahnya, kerajaan tidak mahu media terlepas menyiarkan perkara yang tidak betul dalam kerajaan. Jadi kalau kita mahu melihat media bebas melakukan apa sahaja, tentu mereka bebas melaporkan. Tapi masalahnya tiada media yang boleh melaporkan apa-apa yang berlaku. Maknanya semua perkara positif pasal kerajaan, tiada yang negatif," katanya lagi.

Beliau turut berpendirian media di Malaysia adalah pasif kerana terpaksa mengikut telunjuk kerajaan selain menyifatkan pengamal media lebih bertanggungjawab sekiranya tiada tekanan daripada mana-mana pihak.

Jelasnya lagi, pendekatan negara India mengamalkan demokrasi terbesar tidak menampakkan sebarang masalah berhubung pengamal media dalam laporan.

Malah Hatta turut memberi jaminan tidak akan tercetus sebarang spekulasi penindasan maklumat yang digeruni kerajaan Umno-Barisan Nasional.

"Adakah media mereka munculkan huru-hara? Adakah mereka memainkan peranan mencetuskan perasaan anti kaum? Maksudnya seorang pengamal media adalah seorang yang bertanggungjawab dalam menentukan berita yang disiarkan tidak akan mencetuskan apa-apa."

-/ TVSelangor

0 Komen pengunjong :