
Tabung Budi melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air yang disubsidikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat Selangor dan diserahkan pula kepada Syabas.
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin (gambar) dalam satu kenyataan berkata, modus operandinya tidak masuk akal kerana kerajaan negeri membayar Syabas dengan harga penuh, iaitu RM11 juta sebulan.
"Syabas tidak layak untuk mengutip subsidi 20 meter padu tersebut dari mana-mana individu. Jika ia dilakukan, Syabas akan dibayar dua kali untuk 20 meter padu air yang sama," katanya.
Biarpun didakwa wang kutipan tersebut akan disalurkan kepada keluarga yang langsung tidak menerima 20 meter padu air percuma, namun apa yang hairan katanya, mengapa Syabas tidak pula secara terus memberikan air percuma kepada rakyat tanpa menuntut bayaran penuh dari kerajaan negeri.
Lebih memeranjatkan lagi katanya, sebahagian dari kutipan dana yang kononnya untuk membantu rakyat miskin turut datang dari potongan gaji para pekerja Syabas sebanyak RM11.40 sebulan.
"Persoalannya, apakah potongan gaji sebanyak RM11.40 adalah sama untuk semua pekerja Syabas; baik pekerja kolar putih mahupun kolar biru?
“Adakah juruteknik Syabas yang berpendapatan RM2,000 sebulan akan menerima pemotongan gaji sama jumlahnya dengan Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail yang dibayar RM425,000 sebulan atau RM5.1 juta setahun?" soalnya.
Turut dipersoal mengapa Syabas melancarkan tabung tersebut ketika intergriti mereka begitu tercalar dengan pendedahan laporan audit Syabas baru-baru ini.
"Pada saya, ia jelas merupakan gimik dan sekadar latihan perhubungan awam demi memulihkan imej hodoh Syabas ketika ini.
"Tidak keterlaluan untuk mengatakan, ia sekadar topeng," katanya.
Ketidakikhlasan Syabas juga ujarnya terserlah apabila dalam pada Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Encik Abdul Halim meminta supaya isu itu tidak dipolitikkan, tiba-tiba terpacul pula Ahli Parlimen dari Hulu Selangor, P Kamalanathan pada pelancaran “Tabung Budi” tersebut.
Apa yang lebih penting jelasnya ialah, Syabas tidak ada hak dan tidak layak untuk mengutip derma dari mana-mana individu pengguna air yang telah mendapat subsidi dari kerajaan negeri.
0 Komen pengunjong :