KUALA LUMPUR, 3 Nov - Barisan Nasional (BN) sudah bersedia untuk menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya umum ke-13 tanpa risau berhubung kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.
“Kami sedia untuk bersaing dengan sesiapa, ini negara demokrasi,” kata beliau.
“Biar parti terbaik yang dipilih rakyat membentuk kerajaan,” kata Najib yang Pengerusi BN.
Beliau berkata demikian pada rakaman temu bual program CNN, TalkAsia yang disiarkan di sini malam tadi, apabila ditanya oleh hos Anna Coren sama ada bekas timbalan perdana menteri itu akan menjadi ancaman kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.
Najib juga membidas dakwaan bahawa perbicaraan itu bermotifkan politik untuk menafikan Anwar daripada bertanding pada pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan pada tahun depan.
“Inilah apa yang beliau suka cakap, tetapi pada hakikatnya ia tidak
menyokongnya. Kerajaan tidak akan mendakwa beliau jika tidak ada aduan dibuat oleh bekas pembantunya (Mohd Saiful Bukhari Azlan). Pada mulanya kita tidak mahu mendakwa beliau.
“Ini bukan satu pilihan dan kita tidak rancang untuk ini. Kebetulan ini berlaku bahawa bekas kakitangannya sendiri buat aduan jenayah terhadap beliau. Kita hanya mulakan dari situ,” katanya.
Beliau berkata parti campuran yang memerintah akan menerangkan bahawa perbicaraan itu semata-mata perkara peribadi dan ia tidak ada kaitan dengan kerajaan.
Sementara itu, Najib juga berkata beliau mempunyai hubunganbaik dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun negarawan itu kadang-kadang mengkritik kuat mengenai dasar-dasarnya.
“Dr Mahathir mempunyai minda dan pandangan yang kuat. Saya tidak harap beliau akan bersama saya dalam setiap isu. Tetapi apa yang paling penting ialah beliau menyokong kerajaan, menyokong kepimpinan saya,” tambah beliau dipetik Bernama.
Dalam temu bual itu, Najib berkata konsep 1 Malaysia mula mengambil tempat dalam masyarakat pelbagai etnik di negara ini.
Perdana Menteri berkata konsep 1 Malaysia pada landasan betul dalam usahanya menjalin satu masyarakat pelbagai bangsa lebih lima dekad.
“Tetapi pada hakikatnya kita telah jauh banyak maju yang bermakna kita adalah betul.
“Saya ingin bina dengan ini, apa yang perdana menteri sebelum ini telah bina dan merancang meneruskannya,” kata beliau.
Beliau berkata di bawah konsep 1 Malaysia, kerajaan gigih sebagai keterangkuman dalam menghubungi semua rakyat.
“Saya seorang yang kuat mempercayai bahawa ia (pelbagai bangsa) sedang dilaksanakan. Di sebalik kepelbagaian besar di Malaysia dalam aspek agama, budaya dan bangsa, kita telah jauh membangunkan negara ini,” tambah beliau.
Najib bekata beliau yakin bahawa impian untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dapat dicapai.
Najib juga ditanya oleh hos Anna Coren mengenai ramai artis dari Barat terpaksa mematuhi kod etika pakaian ketika membuat persembahan di Malaysia yang mempunyai penduduk majoriti orang Muslim, walaupun rakyatnya bebas untuk menonton saluran-saluran seperti MTV.
Perdana Menteri berkata: “Ini bukan kita mahu menapis apa yang disiarkan di TV atau internet, tetapi apabila ia mengenai persembahan awam, kita cuba membawa pendekatan sederhana agar persembahan itu dapat diadakan di negara ini.
0 Komen pengunjong :