Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengeluarakan arahan agar tiada mana-mana pihak dalam partinya membuat kritikan terbuka berhubung pemilihan terus yang julung kali diadakan di sebalik siri dakwaan wujudnya kecacatan dan manipulasi.
Dr Wan Azizah berkata, beliau memutuskan demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk yang terbaru Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman, yang dilantik sebagai orang tengah oleh penyokong calon jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin semalam.
“Pada 12 November (semalam), Datuk Fauzi Abd Rahman telah hadir berjumpa dengan saya dengan membawa sebuah resolusi Rapat Anak Muda Malaysia bertarikh 10 November 2010.
“Resolusi tersebut mengandungi enam perkara berkaitan perjalanan pemilihan pimpinan parti yang sedang berjalan ketika ini.
“Saya difahamkan resolusi tersebut adalah hasil dari temu rapat anak muda yang didorong oleh rasa cinta dan iltizam kepada perjuangan,” kata Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Beliau yang mempertahankan jawatannya tanpa cabaran berkata, ia merupakan satu proses yang baik mengikut saluran tepat dan menunjukkan kematangan para ahli dalam menangani isu-isu berbangkit.
“Pimpinan parti, khususnya saya sendiri dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat akan memberi perhatian serius resolusi enam perkara tersebut dan semua memorandum serta surat aduan yang telah diterima dari akar umbi.
“Bahkan kita telah pun memulakan tindakan dan tumpuan diberikan kepada kes-kes yang mempunyai petunjuk yang jelas. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahi etika yang digariskan.
“Dengan jaminan ini, saya berharap tidak akan ada kritikan berbentuk peribadi sesama pimpinan dan ahli secara terbuka kerana ini akan membuka ruang kepada musuh,” kata beliau.
Dr Wan Azizah berkata, apa yang berlaku sekarang merupakan proses mematang dan memantapkan parti.
“Kita yakin ini akan menatijahkan semangat dan kekuatan baru kepada ahli dan parti,” katanya.
Resolusi yang diluluskan Rabu lalu antara lain meminta agar media tidak harus digunakan sebagai medan perdebatan, pemilihan parti seharusnya berasaskan idea segar, nilai dan rekod ke arash memperkasa anggota dan rakyat, memperakui pemilihan kali ini mempunyai banyak masalah, parti dengan segera memperberhentikan proses pemilihan yang sedang berlangsung sehingga semua aduan disiasat dan meminta semua calon atau pemimpin di semua peringkat tidak mengambil tindakan meletakkan jawatan atau menarik diri daripada bertanding.
Ketika ditemui selepas pertemuan itu di Petaling Jaya semalam, Dr Wan Azizah menolak dakwaan bahawa JPP tidak mengambil tindakan menyelesaikan aduan mengenai kepincangan dan kecacatan dalam proses pemilihan pusat sambil merayu agar diberikan peluang untuk meneruskan proses pengundian yang sedang berlangsung.
Kontroversi pemilihan pusat PKR tercetus awal minggu ini, menyaksikan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding dan melepaskan kesemua jawatan dalam parti.
Selain itu, seorang lagi calon mengemukakan memorandum memberi kata dua kepada parti agar menyelesaikan kesemua aduan termasuk membatalkan dan mengadakan semula pemilihan.
Bagaimanapun beliau pagi semalam memutuskan untuk kekal dalam saingan manakala JPP pula berkata pemilihan pusat akan diteruskan.
Kumpulan Badrul pula malam kelmarin mengadakan perhimpunan meluluskan enam resolusi antara lain melantik Fauzi agar membawa perutusan meminta pucuk kepimpinan parti menangguhkan pemilihan yang diadakan sekarang.
Proses pengundian pemilihan pusat masuk hari ketujuh hari ini sedang berlangsung. Ia akan berakhir 4 petang ini.
0 Komen pengunjong :