Zunar, Malaysiakini dapat kebenaran cabar KDN

Penulis kartun, Zunar dan Malaysiakini hari ini diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bahagian rayuan dan kuasa khas) untuk mencabar keputusan Kementerian Dalam yang mengharamkan buku kartun Perak Darul Kartun dan 1Funny Malaysia.

Dalam semakan kehakiman, kebenaran untuk mencabar keputusan berkenaan perlu dipohon kerana ia bukan hak automatik.

Kebenaran itu diberikan oleh hakim Mohd Zawwawi Salleh di kamarnya setelah mendengan hujah kedua-dua pihak - peguam K Shanmuga dan pendakwa raya kanan persekutuan Noorhisham Ismail.

Noorhisham tidak membantah permohonan kebenaran berkenaan.

Shanmuga berkata hakim Zawawi kemudiannya menetapkan 4 November bagi tarikh sebutan kes.

Pada 26 Julai lalu, Malaysiakini dan kartunis Zulkiflee atau lebih dikenali sebagai Zunar memfailkan dua saman berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buku kartun politik.

Tindakan pengharaman buku 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun - kedua-duanya karya Zunar - didakwa tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

Pengharaman buku tersebut juga didakwa melanggar undang-undang sejagat dan tidak dilakukan dengan adil kerana Zunar ataupun Malaysiakini tidak diberi alasan terhadap tindakan tersebut.

Kedua-dua pihak menuntut mahkamah mengeluarkan arahan untuk membatalkan pengharaman ke atas kedua-dua buku itu dan bayaran kos kerugian dan kerosakan kerana tidak dapat menjual buku-buku tersebut.

Ketua setiausaha kementerian berkenaan, Tan Sri Mahmood Adam dipetik media sebagai berkata buku-buku itu diharamkan kerana kementerian dalam negeri mendapati ia tidak sesuai untuk bacaan umum.

Beliau dipetik berkata bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.

Menurutnya lagi, ia tidak sesuai untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam," kata Mahmood.

1Funny Malaysia, diterbitkan pada Disember tahun lalu adalah satu kompilasi kartun Zunar yang diterbitkan oleh Malaysiakini sejak 2005 hingga 2009.

Perak Darul Kartun pula diterbitkan oleh syarikat Zunar - Sepakat Efektif Sdn Bhd dan memapar karya beberapa kartunis Malaysia yang lain, termasuk Zunar.

0 Komen pengunjong :