Penamaan calon 26 Okt, hari undi 4 Nov

PUTRAJAYA, 6 Okt — Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan diadakan pada 4 November ini.
Penamaan calon pula dijadualkan pada 26 Oktober.
Tarikh-tarikh pilihan raya kecil ke-12 ini diumumkan oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar di sini sebentar tadi.
“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan pada 28 September berhubung kekosongan kerusi DUN Galas berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Che Hashim Sulaima pada 27 September lalu.
“Kita telah mengadakan mesyuarat khas mengenainya hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan itu.
“Dengan ini saya mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Galas akan diadakan pada 26 Oktober (Selasa) dan tarikh pengundian pula pada 4 November (Khamis),” katanya ketika sidang media di pejabat SPR.
Beliau berkata SPR akan menggunakan Bilik Gerakan Tanah dan Jajahan Gua Musang sebagai Pusat Penamaan Calon dan Dewan Sivik Gua Musang sebagai Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.
“Sebanyak 11 buah sekolah, satu balai rawatan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan satu dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi kesemua 25 saluran tempat mengundi.
“Seramai 323 orang petugas pilihan raya akan dilantik untuk pengendalian proses pilihan raya ini,” katanya.
Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim dari PAS akibat barah usus, Isnin minggu lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.
DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.
SPR telah melantik Ketua Jajahan Gua Musang Wan Mustapha Wan Abdul Hamid sebagai pegawai pengurus pilihan raya manakala penolong pegawai pengurus pula terdiri daripada Mohammad Yusoff Hassan (Timbalan Ketua Jajahan Gua Musang), Mohd Helmi Mat Zin (Penolong Ketua Jajahan Gua Musang) dan Hasnul Hariz Abd Llah (Penolong Ketua Jajahan Gua Musang).
Bagi pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya pula SPR melantik Muhamad Rasani Ramli (Setiausaha Majlis Daerah Gua Musang), Mohd Khiril Hazmie Yusof (Penolong Ketua Jajahan Gua Musang) dan Norhalis Mohamad Noor (Penolong Ketua Jajahan Gua Musang).
Tambah Wan Ahmad, peruntukan bagi mengadakan pilihan raya kecil DUN Galas dianggarkan sebanyak RM1.3 juta.
“Kita anggarkan lebih RM1 juta, mungkin RM1.3 juta kerana terdapat empat pusat pengundian memerlukan khidmat helikopter,” katanya.
Wan Ahmad berkata daftar pemilih di DUN Galas adalah seramai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.
“Melayu terdiri daripada 61.63 peratus, Cina 20.08 peratus, India 1.6 peratus, Bumiputera 0.9 peratus, orang Asli 16.37 peratus dan lain-lain 0.23 peratus,” katanya.
Ketika ditanya sama ada SPR akan mendapatkan khidmat pemantau bebas termasuk Mafrel bagi memantau pilihan raya kecil DUN Galas, Wan Ahmad berkata SPR tidak akan melantik mana-mana pertubuhan untuk menjadi pemantau.
“Setakat ini SPR belum buat keputusan untuk melantik mana-mana pemantau bebas kerana bagi kita pemantau dan pemerhati dalam dewan pengudian adalah ejen pemantau terbaik.
“Jadi kita tidak akan melantik mana-mana pertubuhan termasuk Mafrel untuk menjadi pemantau dalam pilihan raya kecil kali ini,” katanya.
Wan Ahmad berkata SPR kini sedang meneliti laporan-laporan berhubung pilihan raya kecil sebelum ini yang diberikan Mafrel.
“Kita sedang meneliti kesemua laporan yang diberikan Mafrel,” katanya.

0 Komen pengunjong :