Perbalahan Umno-Perkasa Hanya Sandiwara

SHAH ALAM 14 Sept- Perbalahan dalaman Umno berkenaan isu Pertubuhan Peribumi Perkasa(Perkasa) yang dimainkan media milik pemerintah kini tidak lebih sebagai 'sandiwara politik semata-mata'.

Perkara ini diutarakan oleh Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim ketika dihubungi TV Selangor, beliau yang juga pakar sejarah turut menegaskan isu kepentingan Melayu yang dicetuskan kini sebenarnya langsung tidak releven dengan massa.

" Apa yang dibawa Perkasa berkenaan isu Melayu tidak penting kerana hak dan kepentingan Melayu sudah terjamin didalam perlembagaan negara. Perkara ini tidak boleh dipinda dan jika mahu dipinda ia memerlukan majoriti 2/3 ahli parlimen dan yang paling penting ia mesti mendapat perkenaan Yang Dipertuan Agong," katanya.

Beliau secara peribadi melahirkan rasa hairan bagaimana isu ini boleh timbul dan pandangan pertubuhan seperti Perkasa mendapat tempat di kalangan rakyat. Secara logik dakwanya, tentera dan polis adalah dua institusi yang majoritinya dikuasai oleh orang Melayu.

"Bagaimana kedua-dua institusi berpengaruh ini boleh membenarkan kepentingan Melayu tergadai begitu sahaja. Kita kena soal Perkasa dimana ancaman yang berlaku terhadap kepentingan Melayu kini. Pendapat ini barangkali sesuai pada tahun-tahun 1930an," dakwanya lagi.

Umno sebelum ini  melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melontarkan pandangan agar Umno perlu menjarakkan dirinya dengan Perkasa. Kenyataan ini difahamkan berlandaskan betapa Umno sebenarnya takut kehilangan sokongan rakan komponennya di dalam Barisan Nasional( BN ) bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Idea ini kemudiannya di sanggah oleh oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  yang melabelkan tindakan menjauhkan diri dari Perkasa hanya akan merugikan Umno.

Hari ini media kawalan Umno, Utusan Malaysia lantang mengutip pendapat pemimpin masyarakat dan orang ramai berkenaan sokongan terbuka orang Melayu terhadap Perkasa.

Mengulas isu ini, Khoo Kay Kim ternyata kecewa dengan laporan media berkenaan.

"Media sekarang sudah tersasar dari landasan, mereka sepatutnya melaporkan berita yang boleh menyatukan masyarakat dan bukan berita yang mengucar-kasirkan rakyat," katanya lagi.

TV Selangor sebelum ini melaporkan kemungkinan wujud dua kumpulan dalam Umno berkenaan isu Perkasa ini. Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dilihat lantang mengkritik Perkasa manakala pesaingnya Datuk Mukriz Mahathir seperti bapanya masih tegar mempertahankan Perkasa yang didakwanya mampu menjaga kepentingan Melayu

0 Komen pengunjong :