SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Selangor, semalam menyerahkan memorandum menuntut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi meletakkan jawatan.
Timbalan Ketuanya, Zaidy Abdul Talib berkata, tuntutan dibuat selepas pihaknya kecewa kerana Mohamad Adzib dan Mohammed Khusrin gagal melaksanakan tugas dengan baik semasa berdepan isu kunjungan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda, Kajang, baru-baru ini.
“Kedua-dua mereka gagal menasihati dan memberikan penerangan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung hukum Islam yang sebenar terutama keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharuskan golongan bukan Islam masuk ke dalam surau dan masjid.
“Akibatnya, Sultan Selangor seolah-olah telah terlibat dan berpihak dalam politik kepartian dan tindakan mereka menjejaskan nama baik Tuanku dan istana,” katanya.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin di Pejabat Menteri Besar.
0 Komen pengunjong :