
Bahkan, beliau menganggap ia sebagai penyelesaian kepada polemik yang kini melanda Istana Kelantan.
Bercakap kepada TV Selangor, Dr Aziz Bari berkata, pelantikan sultan sesebuah negeri adalah atas restu Majlis Perajaan Negeri, sekali gus mana-mana mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan tidak memiliki kuasa untuk memintas keputusan berkenaan.
"Di mana-mana pun, pelantikan dibuat sebuah majlis. Contohnya pada peringkat persekutuan, Majlis Raja-raja diberi kuasa melantik dan memecat Yang Dipertuan Agung. Tapi di peringkat negeri, ia dinamakan sebagai Majlis Perajaan untuk fungsi sama," katanya.
Dr Aziz menjelaskan, tindakan pihak yang cuba mengheret kes ke mahkamah, hanya menyebabkan rantaian kesan berlanjutan kerana semakan kehakiman hanya akan mendorong pihak lain selain kerabat Kelantan, melakukan perkara sama.
Mengikut pandangan Profesor Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) itu, tindakan membawa petisyen bagi mengenepikan kesahihan permasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai sia-sia.
"Mahkamah bukannya pihak yang diberi kuasa untuk melantik Sultan. Saya tidak nampak macam mana mahkamah boleh buatsemacam semakan kehakiman untuk hal seperti ini. Ini berbahaya dan boleh menyebabkan kes atau tindakan sama dibuat di negeri lain.
"Bukan di Kelantan sahaja, ada masalah perebutan takhta," katanya.
Bagaimanapun, Dr Aziz Bari tidak menolak kemungkinan, ada banyak pihak yang salah faham dengan rentetan peristiwa ini, malah gagal membezakan istiadat pemasyhuran dan pertabalan.
"Ia sudah diumumkan oleh Menteri Besar, yang sekadar mengumumkan pelantikan dan keputusan Majlis. Dan ia pelantikan dan permasyhuran, bukannya pertabalan. Ini adalah perkara yang jelas.
"Pertabalan adalah satu upacara yang lebih teratur. Ini pelantikan sahaja untuk permasyhuran Pemangku Raja sebagai Sultan yang baru," katanya.
0 Komen pengunjong :