Ibrahim Ali patut Berdialog, Zaid Ibrahim

Wakil rakyat muda, Nurul Izzah harus dipuji untuk mempelawa PERKASA berdialog bersamanya mengenai apakah yang menjadi kebimbangan PERKASA.  Beliau bertanya apa punca atau perkara yang dikatakan menjadi kebimbangan PERKASA.  Beliau mengulas, adakah orang Melayu sudah hilang kedudukan istimewa mereka, atau apakah kemunduran mereka itu berpunca daripada sebab-sebab yang lain?  Nurul bertanya, adakah mereka sebenarnya mempunyai "hak istimewa"?
Kesanggupan anak muda ini mengupas perbezaan konsep "hak" dan "kedudukan" (Special position, privileges atau rights) itu menggembirakan saya.  Ia menunjukkan seorang pemimpin yang tidak malas berfikir.  Malas berfikir adalah penyakit utama kemunduran pemimpin Melayu.  Tanpa memahami perbezaan konsep ini, sukar untuk kita faham maksud Perlembagaan.  Dan tanpa merujuk kepada Perlembagaan sebagai asas, kita akan berterusan menjerit dan mengancam antara satu sama lain.  Beliau juga berani mengupas fakta sejarah seperti latar belakang peruntukan istimewa Perkara 153 dalam Perlembagaan dan konsep Social Contract.
Seperti yang saya jangkakan, PERKASA tidak akan berdialog dan telah menolak pelawaan itu.   PERKASA lebih selesa menghentam dan menjerit-jerit bagaimana Melayu tercabar, bagaimana Melayu sudah hilang segalanya, atau bagaimana institusi Melayu terancam dan sebagainya.
Mereka tidak mahu mencari punca sebenar.  Cukup bagi mereka memanaskan api kemarahan dan meninbulkan kebimbangan orang Melayu dan menutup pintu pemikiran orang Melayu tentang punca sebenar kemunduran Bangsa yang Bertuah ini.  Sudah lebih 50 tahun kita mempunyai Kerajaan yang dikatakan membela orang Melayu, dan didampingi oleh institusi Raja dan Institusi Melayu yang lain, tetapi masih lagi kekal sebagai bangsa yang ada dalam segala kekurangan.  Salah siapa sebenarnya?
Inilah tanggungjawab pemimpin Melayu yang mahu berjuang.  Sanggup meneliti and menerima bahawa kita tidak boleh bercakap mengenai hak dan keistemewaan kita tanpa menerima realiti bahawa rakyat lain juga ada hak mereka.  Kita tidak mampu berlaku adil kapada satu kumpulan atau puak kalau kita tidak berupaya berlaku adil kapada semua rakyat.  Dalam mencari asas keadilan ini, pemikiran dan sikap pemimpin Melayu perlu berubah.  Mereka mesti sanggup mencari punca sebenar kelemahan mereka, dan tidak takut memberitahu orang Melayu hakikat sebenar yang mungkin pahit ditelan.  Pendekatan ini ada bahayanya.
Pemimpin seperti Nurul (gambar kanan) ini akan terus dicap sebagai "terlalu liberal" atau tidak sesuai dengan pandangan orang Melayu.  Beliau akan dihentam oleh PERKASA, UMNO dan sesetengah lapisan pemimpin Parti Keadilan sendiri.  Beliau akan diingatkan bahawa pandangan "liberal" ini tidak boleh diterima oleh orang Melayu kerana pandangan orang Melayu masih lagi "feudal".
Sebenarnya inilah cara Melayu dikongkong: mereka disalahkan di atas kelemahan pemimipin Melayu mereka sendiri.  Sedangkan sebenarnya pemimpin Melayulah yang mengecewakan orang Melayu kerana mereka yang masih feudal, terkongkong dan malas berfikir.  Semua pandangan baru yang lebih progresif ditolak, takut kononnya orang Melayu tidak boleh menerima.
Saya (Zaid Ibrahim, gambar kiri) sendiri sedar ramai pemimpin Keadilan melihat serong pandangan saya dalam pelbagai isu.  Malah dalam masa pemilihan parti dewasa ini, saya telah mendengar bermacam kecaman, bahawa saya akan menjual hak orang Melayu.  Saya kononnya Melayu liberal yang suka mencari populariti murahan dengan bangsa lain dalam parti.  Dan yang paling dahsyat, yang saya akan menggagalkan perjuangan Anwar Ibrahim dan mungkin menjualkan parti Keadilan ini kepada UMNO suatu hari nanti jika saya diberi kuasa.
Serangan dan fitnah ini tajam sekali dan agak mengejutkan, lebih lagi kerana saya telah kata saya tidak mahu apa-apa jawatan.  Tapi mereka tetap mengasak.  Jadi, saya telah membuat keputusan baru.  Kalau dah kena serang bertubi-tubi, baik saja masuk gelanggang.  Kata orang, kalau nak kena tempeleng biar berbaloi.  Tapi itu pun kalau Khalid Ibrahim tak mahu jawatan tersebut.  Kalau dia mahu, saya lebih selesa memberi laluan kepada beliau kerana dia banyak pengalaman yang boleh membantu parti.  Khalid Ibrahim tak suka hentam dan burukkan orang lain, dia lebih minat berkerja.  Sebenarnya, itulah pemimpin yang boleh membantu orang Melayu dan parti kita.
*Tulisan ini dipetik dan disunting daripada blog Zaid Ibrahim, bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri yang kini menyertai Pakatan Rakyat.  Zaid Ibrahim kini sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

0 Komen pengunjong :