PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR) menjanjikan pengagihan ekonomi secara saksama kepada seluruh rakyat dengan sasaran pendapatan minima RM4,000 sebulan seisi rumah jika gabungan itu mengambil alih kuasa di Putrajaya selama lima tahun.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mensasarkan jumlah tersebut berdasarkan statistik bahawa dua pertiga daripada penduduk masih lagi berpendapatan rendah dan dibelenggu kemiskinan.
Anwar berkata, 40 peratus daripada 2.4 juta keluarga di negara ini masih lagi memperoleh pendapatan kurang dari RM2,300 sebulan.
"Apa yang lebih menyedihkan 75 peratus daripada golongan yang berpendapatan kurang daripada RM2,300 itu adalah golongan Bumiputera dan Melayu.
"Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dibentuk sejak lebih 30 tahun lalu juga jelas membuktikan masyarakat Melayu tidak boleh pergi jauh, dan dasar itu hanya melahirkan jutawan yang kaya melalui penganugerahan kontrak dan kronisme.
Oleh itu PR kini perlu mempertahankan pendirian bahawa pendapatan rakyat harus mencapai minima RM4,000 jika kami ambil alih pentadbiran kerajaan dan mengekalkan pentadbiran selama lima tahun.
"Pandangan ini juga akan dikemukakan dalam mesyuarat masjlis pimpinan PR berkemungkinan minggu hadapan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR disini hari ini.
Anwar yang juga Ketua Umum Keadilan berkata, nilai pendapatan minima itu mampu menjamin pengurusan kerja yang cekap, mengelak dari rasuah dan pembaziran, serta penganugerahan kontrak kepada kroni tanpa tender.
Lebihan pendapatan negara juga dapat diagihkan dengan adil sekaligus mampu menginjak dari pemikiran lama tentang ekuiti 30 peratus Bumiputera kepada dasar yang lebih telus dan adil supaya tidak ada Bumiputera yang terperangkap dalam belenggu kemiskinan namum pada masa yang sama kesejahteraan hidup kaum Cina, India dan lain-lain kaum tetap terjamin, katanya.
Ditanya mengenai kewajaran nilai tersebut, beliau berkata kajian terhadap bebanan rakyat melalui kadar inflasi negara, sewa, pelajaran, dan beberapa keperluan asas lain yang terpaksa ditanggung telah pun diambil kira.
"Strategi kita adalah meningkat dan mengangkat pendapatan rakyat terbanyak. Masalah majoriti rakyat golongan berpendapatan rendah ini adalah untuk mendapat pinjaman.
"Jika perbanyakkan skim dan mikrokredit kepada golongan rendah termasuk siswazah, ia mampu meningkatkan tarah hidup rakyat," katanya.
Ekonomi mengecut 1.7% 2009
Di samping itu, beliau juga mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan percubaan kerajaan Barisan Nasional untuk memperalat angka pertumbuhan ekonomi 8.9% pada suku kedua tahun ini untuk kepentingan mereka.
Sambil memuji pertumbuhan 8.9% adalah menggalakkan, bekas menteri kewangan itu menambah, kadar pertumbuhan itu seharusnya sejajar dengan prestasi masa lampau.
Malaysia bagaimanapun kata beliau, menyaksikan ekonominya mengecut 1.7% tahun lalu dan ini adalah jauh ketinggalan berbanding negara seperti Singapura dan Indonesia yang terus mencatat pertumbuhan yang konsisten walaupun dalam kemelesetan ekonomi global.
Dalam satu sidang media semalam, Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz mengumumkan bahawa Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) dijangka berkembang lebih 6% tahun ini.
"Ini berdasarkan pertumbuhan kukuh dicapai dalam suku pertama tahun ini walaupun terdapat kemelesetan ekonomi di negara-negara maju," katanya.
Bank Negara katanya, sedang memantau kelembapan ekonomi global ini dan menambah, bahawa beliau yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang dalam separuh tahun kedua tahun ini.
"Momentum pertumbuhan dalam separuh tahun pertama 2010 telah melonjak kepada 9.5% dari penguncupan 5.1% dalam tempuh yang sama tahun lalu," katanya.
0 Komen pengunjong :