Kit Siang sangsi bukti terbaru ‘Nota Teoh’

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Kemunculan bukti terbaru yang dipercayai satu 'nota'  telah menimbulkan lebih banyak kecurigaan dari memberikan penjelasan ke atas punca kematian Teoh Beng Hock.

Teoh Beng Hock, bekas setiausaha politik kepada Exco Kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah yang ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai tahun lepas.

Beliau mati ketika disoalsiasat sebagai saksi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan yang sama.

“Twist terkini dalam inkues Tan Hock Beng's (adalah) yang amat mengejutkan dan belum pernah terjadi sebelum ini,” kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menulis di laman Twitternya mengenai perkembangan terkini inkues Teoh.

Kit Siang juga mendakwa kehadiran ‘bukti baru’ tersebut telah menjejaskan keyakinan dan kepercayaan awam bahawa punca sebenar kematian Teoh akan dibongkar melalui inkues.

Semalam, semasa inkues, SPRM telah mengemukakan sebuah bukti "baru" yang berupa nota yang ditemui pada tahun lalu di dalam beg sandang Teoh yang mungkin mengandungi petunjuk tentang kematian bekas setiausaha politik pemimpin DAP itu.

Kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Teoh menyebabkan ketidakpuasan di kalangan  peguam yang mewakili keluarga Teoh dan kerajaan Selangor. Akibat daripada perkembangan tersebut, sidang inkues ditunda kepada 18 Ogos, Isnin depan.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh melahirkan rasa kecewa beliau terhadap perkembangan tersebut, dan menuntut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memberikan penjelasan terhadap ‘bukti terbaru’ tersebut yang didakwanya disembunyikan pihak pendakwaraya kerana ‘bukti’ sudahpun dimiliki pihak pendakwaraya sejak Oktober tahun lepas.

“Bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding,” beliau dipetik sebagai berkata.

Sebagai respon kepada dakwaan Gobind, pejabat Peguam Negara telah mengeluarkan satu kenyataan lewat petang semalam menjelaskan bahawa Peguam Negara hanya akan mengemukakan dokumen sebagai bukti jika pejabat itu berpuas hati tiada lagi kemusykilan terhadap sesuatu bukti.

Menurut kenyataan tersebut, pejabat Peguam Negara telah dimaklumkan mengenai penemuan nota pada 7 Oktober lalu iaitu lebih dua bulan selepas kematian Teoh oleh pegawai penyiasat ASP Nazri Zainal walaupun pada mulanya Ahmad Nazri tidak menemui nota tersebut ketika beliau memeriksa beg sandang Teoh sebaik insiden berlaku.

Kenyataan itu turut mendakwa bahawa Ahmad Nazri baru-baru ini mengaku yang dia menjumpai nota tersebut ketika memeriksa beg sandang simati pada 17 Julai tahun lepas tetapi tidak menyedari kepentingannya kerana turut menjumpai dokumen lain dan ia ditulis dalam tulisan Cina dan rumi.

Bagaimanapun, ‘nota’ tersebut tidak dikemukakan ke inkues kerana ketika itu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak berasa yakin dengan ketulenan nota itu disebabkan kekurangan contoh untuk mengesahkan tulisan tangan berkenan, khususnya tulisan Cina.

Beliau juga berpendapat nota itu tidak perlu dikemukakan sehingga, dan melainkan, pegawai penyiasat boleh menyediakan penjelasan yang memuaskan, menurut kenyataan itu lagi.

Namun, selepas pegawai penyiasat berkenaan menjelaskan kepada pejabat Peguam Negara bahawa beliau menjalankan pemeriksaan rapi selepas dinasihatkan oleh pakar psikologi iaitu kebiasaannya sekeping nota akan ditinggalkan dalam kes bunuh diri, Peguam Negara telah memutuskan untuk mengemukakan nota tersebut.

Beliau juga mengarahkan pegawai penyiasat untuk menjelaskan perkara ini di mahkamah untuk mengelak sebarang akibat pada masa depan dan membiarkan perkara itu diputuskan oleh koroner selepas menimbangkan penjelasan pegawai penyiasat dan laporan oleh pemeriksa dokumen.

"Inkues Teoh Beng Hock – semakin banyak perkembangan luar biasa. Boleh percaya tak?” soal Kit Siang ketika mengulas penjelasan pejabat Peguam Negara sambil menambah beliau sangsi dengan usaha saat-saat terakhir oleh Peguam Negara di dalam mencari kebenaran dalam inkues Teoh.

0 Komen pengunjong :