
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan P Kamalanathan adalah ahli parlimen Hulu Selangor yang sah berikutan plaintif gagal mengemukakan fakta yang kukuh untuk membuktikan penyelewengan dalam pilihan raya kecil (PRK) 25 April lalu.
Hakim Datuk Azahar Mohammad berkata, keputusan untuk menggugurkan petisyen itu dibuat setelah menilai hujah daripada kedua-dua belah pihak dan mendapati petisyen yang difailkan tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menuduh responden.
Beliau berkata, setiap dakwaan yang dikemukakan dalam petisyen oleh calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim tidak mempunyai maklumat lengkap untuk menunjukkan PKR kawasan itu tidak sah.
Azahar juga berkata, tuduhan lain termasuk dakwaan bahawa Kamalanathan memberi rasuah dengan menyediakan habuan ditolak kerana responden dilihat hanya menjalankan tanggungjawab seperti calon lain ketika berlangsungnya pilihan raya.
Peguam Mohd Azahar Mohd Yusof yang mewakili Kamalanathan berkata, keputusan hakim jelas menunjukkan petisyen yang difailkan oleh Zaid tidak dapat diterima kerana ianya gagal menyediakan bukti yang kukuh dan sememangnya wajib ditolak.
Hujah hakim tidak boleh diterima
"Kita menjangka keputusan hakim pada hari ini akan memihak kepada anak guam kita kerana kita mempunyai fakta menunjukkan tiada penyelewangan dalam PRK itu.
"Semua tuduhan plaintif ditolak kerana mereka gagal membuktikan pendakwaan," katanya di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Kamalanathan ketika ditemui berkata, keputusan hakim jelas menunjukan tidak berlaku penyelewengan dalam PRK.
"Saya syukur dengan keputusan hari ini dan berharap tiada lagi bantahan terhadap saya. Hari ini saya bangga untuk mengakui bahawa saya adalah ahli parlimen yang sah di Hulu Selangor.
"Mahkamah menilai hujah yang di sampaikan oleh peguam saya Firos Hussein Ahmad Jamaluddin untuk memberi keputusan yang adil," katanya.
Peguam Azahar Azizan yang mewakili Zaid menyatakan keputusan hari ini mengecewakan kerana hujah hakim tidak boleh diterima.
"Kita telah cuba sedaya upaya untuk membuktikan tetapi mahkamah tetap menolak fakta yang kita sediakan.
"Bagaimanapun keputusan hari ini bukan mudah untuk diputuskan dan kita akur akan keputusan itu," jelasnya.
0 Komen pengunjong :