Anwar : Program ETP,Kerajaan Gagal Jawab Isu Utama

SHAH ALAM, 27 DISEMBER : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak gagal menjawab persoalan utama , iaitu menjelang tahun 2020, sekitar 7 hingga 8.3 juta rakyat Malaysia akan berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan dan bakal digolongkan sebagai miskin bandar."Jumlah ini merangkumi sehingga 51 peratus tenaga kerja negara ini dalam tahun 2020, berbanding 56 peratus bagi tahun 2009, angka itu menunjukkan selepas berbilion ringgit dibelanjakan, hanya penambahbaikan yang tidak seberapa," kata Anwar dalam kenyataan medianya.
Anwar sebelum ini dalam ucapannya di Kuala Lumpur pada 15hb Disember lepas bertajuk Debunking ETP: Widening Income Gap menegaskan kaedah yang sedang dilaksanakan kerajaan iaitu Program Transformasi Ekonomi (Economic Transformation Programme) merupakan suatu kebijakan ekonomi lapuk dan gagal membawa sebarang perubahan.
Menurut Anwar , ETP ialah sebuah program ekonomi yang tidak berjaya meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak malah menambah bilangan rakyat termiskin merupakan perancangan ekonomi yang tempang dan membelakangkan kebajikan rakyat.
"Apatah lagi apabila hujah saya dikemukakan dengan mengambil kira unjuran-unjuran ETP meragukan. Misalnya unjuran pertumbuhan upah 3.6 peratus setiap tahun, dari tahun 2010 sehingga tahun 2020 yang bertentangan dengan pertumbuhan upah pekerja tahun 2000 hingga 2009 yang hanya menokok sekitar 2.6 peratus setiap tahun manakala kos sara
hidup meningkat mengatasi pertumbuhan upah," katanya.
Tambah Anwar ,kenyataan ini diperkukuhkan oleh Kajian Pasaran Buruh 2009 yang melibatkan 24,000 majikan dan 1.3 juta pekerja.
Laporan tersebut menyatakan, 33.8 peratus dari jumlah pekerja tersebut mendapat upah kurang dari RM 700 sebulan.
Angka ini sekiranya diunjurkan kepada keseluruhan tenaga kerja negara menyimpulkan 34 peratus dari jumlah keseluruhan tenaga kerja negara berada di bawah paras kemiskinan. Justeru berdasarkan fakta-fakta ini, unjuran pertumbuhan upah pada paras 3.6 peratus adalah tidak tepat.
Katanya, unjuran kerajaan bahawa inflasi akan berada pada paras 2.8 peratus setiap tahun sehingga tahun 2020 juga tidak realistik apabila kadar inflasi sejak 12 bulan lalu sentiasa melangkaui paras 3 peratus.
Sasaran untuk mencapai pendapatan kasar kebangsaan (gross national income) per kapita sebanyak RM 48,000 setahun pada tahun 2020 tidak akan dicapai sekiranya inflasi melebihi dari 2.8 peratus untuk tahun mendatang.
Jika inflasi purata sehingga tahun 2020 mencecah 4 peratus setiap tahun, dianggarkan seramai 7.6juta rakyat Malaysia akan berpendapatan kurang dari RM 1,500 sebulan dalam tahun 2020, meningkat sebanyak 1 juta berbanding jumlah 6.6 juta dalam tahun 2009.
Menurut Anwar , keadaan ini lebih parah sekiranya inflasi purata mencecah 6 peratus setiap tahun apabila jumlah rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang dari RM 1,500 sebulan adalah 8.3 juta orang.
"Persoalan paling utama yang langsung tidak dijawab adalah kesimpulan saya bahawa kekayaan negara akan semakin dibolot golongan kaya di bawah ETP sementara rakyat
terbanyak dipinggirkan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib langsung tidak menafikan analisa saya bahawa nisbah upah pekerja kepada pendapatan kasar negara akan berkurangan dari 40 peratus (tahun 2009) kepada 33 peratus sahaja (tahun 2020)," katanya.
Jelas Anwar, ini merupakan permasalahan utama negara , manakala golongan kecil, keluarga dan kroni mengaut kekayaan, sementara majoriti rakyat dibebankan dengan kos sara hidup yang melonjak sedangkan pendapatan tidak meningkat.
"Persoalan-persoalan ini adalah isu besar ekonomi negara apabila pentadbiran sedia ada menyalurkan seluruh kekayaan negara untuk membiayai projek-projek besar di bawah ETP.
"Malang sekali apabila kesannya kepada rakyat adalah menambah golongan miskin dan melebarkan jurang di antara yang miskin dan kaya menjelang tahun 2020 nanti," katanya.

0 Komen pengunjong :