Chegubard ditahan berhubung akaun Twitter 'palsu'


Pemimpin popular PKR, Badrul Hisham Shahrin ditahan polis semalam berhubung tulisan yang didakwa berunsur hasutan yang didakwanya adalah akaun twitter "palsu".

Menulis di twitternya malam tadi, beliau yang dikenali sebagai CheguBard berkata, beliau baru sahaja dibebaskan dengan jaminan polis kerana Umno telah membuat laporan polis di Ampang mengenai akaun Twitter dengan nama AMK Rembau yang dikatakan menghina institusi beraja.

Beliau menegaskan bahawa akaun AMK Rembau itu tidak ada sebarang kaitan dengan cabang Pemuda PKR itu tetapi menurutnya,
polis merampas telefon Blackberry miliknya dan cuba mencari komputer ribanya dan komputer cabang tersebut.

Semakan Malaysiakini mendapati tidak terdapat akaun Twitter atas nama AMK Rembau, walaupun carian untuk akaun di laman mikro-blogging itu menunjukkan satu hasil - akaun yang dikenali sebagai Umno Baru.

AMK adalah nama singkatan bagi sayap Pemuda PKR.

CheguBard berkata, akaun "palsu" itu sudah beroperasi semasa pemilihan sengit parti itu tahun lepas dan dia mendakwa ianya dikendalikan oleh mereka yang mahu memburuk-burukkannya.

Chegubard, yang tewas dalam pertandingan jawatan ketua AMK kepada penyandangnya Shamsul Iskandar Md Akin, menambah bahawa terdapat juga akaun palsu di laman rangkaian sosial Facebook.
Dalam satu kenyataan berasingan, ketua AMK Rembau, Md Sani Mohd Shah turut menegaskan bahawa cabangnya tidak ada kaitan dengan akaun AMK Rembau.

Beliau yakin akaun tersebut telah menyamar dengan menggunakan nama AMK Rembau secara sengaja mahu mengelirukan orang ramai dengan memburukkan  cabang tersebut.

"Akaun telah dipantau sejak kewujudannya, menggunakan perkataan lucah dan segala macam kenyataan yang tidak sesuai," tegasnya.
Sehubungan itu, Md Sani berkata, AMK Rembau memberi amaran kepada mereka di belakang akaun AMK Rembau supaya menghentikan politik kotor tersebut.

"Kamu sudah menang terus bekerja jangan setiap kali kamu gagal melakukan sesuatu maka cheguBard dan kawan-kawan disalahkan," tegasnya.

Md Sani juga menggesa pihak parti menyiasat dakwaan berlaku penipuan dalam pemilihan parti.

"Kami lama menahan sabar, kami pendam demi kepentingan parti. Namun kami terus dilihat jahat. Adakah kerana sesekali bersuara keras terhadap kepincangan pemilihan dalam parti kami dilihat kianat atau merengek?" tegasnya lagi.
Sewaktu pemilihan parti itu, Chegubard pernah menulis kepada presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya dijalankan siasatan terhadap dakwaan berlaku penipuan undi.

0 Komen pengunjong :