Ubah atau kami mengubah kamu - SAMM


REMBAU: Solidariti Anak Muda Malaysia (Samm) memberi amaran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengubah cara hidup sebelum rakyat mengubah beliau.
Amaran itu dibuat oleh Pengerusi Samm, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard di majlis pelancaran risalah berwarna setebal 16 mukasurat bertajuk “ Penjelasan Isu Cincin, Imelda Rosmah Boros” di pejabat PKR DUN Rantau di sini.
“Setiap kali kenaikan harga maka Perdana Menteri Malaysia sering menasihatkan rakyat supaya mengubah cara hidup. Tahu atau tidak kamu bahawa rakyat sudah tidak mampu lagi untuk mengubah cara hidup yang sudah sedia sempit.
“Kamu dan keluarga lah yang seharusnya mengubah cara hidup kamu atau kami rakyat harus mengubah kamu”, kata Chegu Bard.
Turut hadir Naib Presiden Keadilan Datuk Chua Jui Meng; ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh; Adun PKR  Port Dickson, M Ravi, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dan yang juga  Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani dan Ketua Cabang PKR Seremban Dr.Ahmad Azam Hamzah.
Beliau berkata setelah sekian lama Pakatan Rakyat bertahan di kubu sendiri dengan ruang media yang amat terhad dan hanya mendapat liputan maksimum di media online, kini sudah sampai masanya untuk PR menyerang kubu BN dengan kempen straight forward berbekalkan risalah berfakta dan siri pendedahan untuk membuka mata rakyat.
“Umum mengetahui bahawa tahap penetrasi internet di negara ini amat rendah terutama sekali di kawasan luar bandar yang majoritinya penduduk Melayu, kesedaran mengetahui maklumat politik dan hal ehwal negara melalui internet amat lemah.

Dedah bukti baru
“Justeru itu saya tampil dengan risalah 16 mukasurat ini untuk menjawab pelbagai persoalan kononnya saya memfitnah isteri Perdana Menteri, (Datuk Seri) Rosmah Mansor dalam isu cincin berlian bernilai RM24.45 juta.
“Di dalam risalah ini saya juga menjelaskan secara terperinci kronologi bagaimana cincin ini dibawa masuk sehingga dan juga kononnya telah dibawa keluar ke Singapura”, jelas Chegu Bard.
Di dalam risalah itu, Chegu Bard juga mendedahkan bukti baru yang belum pernah didedahkan sebelum ini termasuk bagaimana di dalam Borang K2 (borang ekspot atau borang membawa keluar barang ke luar negara) terdapat perubahan secara manual tarikh penerbangan dan nombor penerbangan tanpa sebarang tanda tangan.
“Borang K2 yang kononnya menjadi bukti cincin berlian dibawa ke Singapura telah ditandatangani oleh seorang pegawai yang sebenarnya bukan kakitangan yang bertugas di Cawangan Pemeriksaan Penumpang di KLIA tetapi bertugas di Bahagian Latihan, Ibu Pejabat Kastam di Putrajaya.
“Ini semua menimbulkan keraguan yang besar terhadap Borang K2 yang digunakan untuk menyelamatkan Rosmah”, kata Chegu Bard.
Chegu Bard juga turut mengaku secara terbuka bahawa pada 8 Julai iaitu sehari sebelum bantahan Bersih 2.0, ada pegawai Kastam telah menghubungi beliau untuk mendedahkan isu ini kepada umum.
“Majoriti pegawai Kastam muak dengan regim Umno-BN termasuk menteri dan keluarga menteri”, kata Chegu Bard lagi dan disambut dengan tepukan gemuruh oleh lebih 600 ahli Samm, PKR dan PAS.

0 Komen pengunjong :