MP PAS: Najib tak wajar bubar hingga Bajet 2012 dilaksana


KUALA LUMPUR, 11 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dicabar agar melaksanakan sepenuhnya Bajet 2012 sebagaimana yang dibentangkan Jumaat lepas jika beliau yakin bajet itu realistik dan benar-benar mahu memanfaatkan rakyat.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad berkata Perdana Menteri juga perlu memacu sendiri pelaksanaan dan tidak membubarkan Parlimen sehingga perancangan beliau menerusi bajet itu terlaksana.
Kata Dzulkefly, Najib telah memberi pelbagai 'imbuhan' kepada hampir semua segmen rakyat, yang rata-raat adalah merupakan bayaran ‘one-off’.
Malah kata beliau, cabaran itu sangat wajar disahut Najib atas keyakinan bahawa unjuran dan angka-angka makro bajet itu mampu beliau capai.
Pelbagai pihak sebelum ini meletakkan Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Najib minggu lalu tidak realistik dan terlalu cuai dengan unjuran defisit 4.7 peratus KDNK sekali gus membawa bebanan hutang yang tidak wajar dan pruden.
“Dengan kedudukan ekonomi dunia terus muram, dan krisis zon Euro dan kewangan Amerika terus berlanjutan sekali gus menguncupkn pemintaan dan pertumbuhan global, meramalkan pertumbuhan negara sebanyak 5.5 peratus adalah tidak realisitik.
“Juga begitu ramalan defisit fiskal sebanyak 4.7 peratus KDNK sebagai satu yang sukar dicapai, tambahan kerajaan pastinya akan membentangkan bajet tambahan tahun depan," ujar beliau dalam satu kenyataan.
“Jika Datuk Seri Najib tiba-tiba memanggil pilihan raya mengejut selepas membentangkan bajet ini, dengan hutang dan defisit yang beliau cetuslkan ini, nescaya pihak yang mengganti beliaulah (jika BN kalah) yang akan memikulnya.
“Oleh itu, kita mencabar Najib agar laksanakan sendiri bajet ini dan jangan bebankan kepada pihak lain. Banyak hal masalah ekonomi dan rakyat tidak digarap dalam bajet ini yang hanya mahu menyuntik 'rasa sedap'," kata Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Bagi beliau, jika Najib membubarkan Parlimen sebelum bajet laksanakan, ia satu tindakan yang sangat tidak ‘berakhlak dan curang’ kerana hanya mahu mengambil ‘manisannya’ dan serahkan tanggungannya kepada orang lain.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Bajet 2012 yang dibentangkan Najib tidak realistik.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, ia tidak mampu menyelesaikan masalah jangka panjang dalam menangani strategi pembangunan dan kos sara hidup rakyat.

0 Komen pengunjong :