PAS minta RoS jangan pilih kasih, mahu haramkan PKR


KUALA LUMPUR, 19 Mei — Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub memberi amaran kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar tidak mengambil kesempatan untuk membatalkan pendaftaran PKR tanpa mempunyai sebarang bukti kukuh.
PKR kini berhadapan dengan risiko kemungkinan dibatalkan pendaftaran dan telah menerima surat tunjuk sebab daripada RoS.
Tegas Salahuddin, RoS harus memperincikan segala masalah teknikal yang wujud sebelum membuat sebarang keputusan.
Jelas beliau, RoS tidak harus mengamalkan sikap “double standard” dan mengambil kesempatan atas masalah teknikal yang berlaku.
“Ia (bukti) harus diperincikan, janganlah RoS amalkan double standard dan ambil kesempatan untuk haramkan parti dalam Pakatan Rakyat.
“Semua parti ada masalah-masalah teknikal tapi jangan ambil kesempatan untuk haramkan PKR di saat-saat kita mahu menghadapi pilihan raya umum, perkara kecil seperti itu boleh diselesaikan, tidak perlu untuk diharamkan,” katanya pada sidang media di sini.

Pada sidang media tengah hari tadi, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, RoS mendakwa PKR telah melanggar perlembagaan sendiri apabila memutuskan untuk memecat seorang ahlinya tanpa didengar oleh lembaga disiplin lebih dua tahun lalu ketika pilihan raya kecil Bukit Selambau.
Bagaimanapun PKR mendakwa peruntukan yang dimaksudkan RoS tidak wujud dalam perlembagaanya dan menegaskan agensi Kementerian Dalam Negeri itu bertindak dengan niat jahat menjelang pilihan raya umum ke-13.
Pilihan raya umum tergempar disebut-sebut akan diadakan Julai ini.
Surat dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman bertarikh 9 Mei lalu menyebut PKR telah melanggar Fasal 32.2.1 Perlembagaan PKR dengan memecat A. Rajagopal pada 1 April 2009 dan 27 April 2009 tanpa disiasat dan didengar oleh lembaga disiplin.
Malah dalam suratnya, Abdul Rahman berkata, di bawah Seksyen 13 (2) Akta Pertubuhan, RoS akan membatalkan pendaftaran PKR selepas 9 Jun ini melainkan ia memberikan alasan yang memuaskan.
Sehubungan itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sekiranya RoS mempunyai bukti yang PKR telah melanggar peruntukan-peruntukan ditetapkan, maka perkara itu harus dibawa ke mahkamah.
“Apa yang berlaku ini tidak mengejutkan kita. RoS mesti ada bukti, kalau betul (PKR langgar peruntukan) biar mahkamah yang memutuskan,” katanya.
Ditanya kemungkinan Pakatan Rakyat akan berpecah sekiranya PKR dibatalkan pendaftaran, Salahuddin bagaimanapun berkata, parti perikatan itu akan tetap setia bersama.
Dalam perkembangan terbaru isu rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Salahuddin berkata, PAS tidak mahu terlibat dalam perkara itu.
“Apa yang menjadi prinsip PAS, kita tidak mahu terlibat dengan qazaf, kita tidak mahu terlibat dalam perkara itu.
“Kita tidak boleh tuduh (seseorang) tanpa empat saksi yang adil, itu Islam punyai prinsip,” katanya.
Ditanya sama ada pelaku dalam rakaman video seks itu perlu didedahkan, Salahuddin bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen.
“Kita tidak mahu komen sebab ia satu tuduhan yang tidak diizinkan oleh Tuhan, bukan tugas kita untuk dedahkan sesiapa kerana semua orang tidak mahu dituduh,” katanya.
Semalam Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata tiada keperluan daripada segi undang-undang bagi pihaknya untuk mendedahkan identiti pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” itu.
Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang menjurus kepada kesalahan mengedar dan mempamer video lucah, di mana tiada keperluan di pihak polis untuk mendedahkan identiti pelakunya.

1 comment :