Showing posts with label Salahhudin Ayub. Show all posts

SPR paksa rakyat demo depan pejabatnya


KUALA LUMPUR: Keengganan kepimpinan SPR meletak jawatan seolah-olah memaksa rakyat berhimpun di hadapan pejabat suruhanjaya itu, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Setelah mengakui dakwat yang mereka dakwa kekal sebenarnya tidak kekal, sikap keras kepala kepimpinan SPR yang enggan meletak jawatan seolah-olah bersungguh-sungguh memaksa majoriti rakyat yang marah dan tidak percaya lagi kepada mereka berhimpun di hadapan pejabat suruhanjaya itu," kata beliau.

Salahuddin berkata, amat tidak wajar SPR bertindak sedemikian ketika Pakatan Rakyat sendiri memilih mengadakan perhimpunan aman Black 505 memprotes penipuan dalam pilihan raya di Padang Merbok.

Beliau meminta kepimpinan SPR menghentikan pembohongan bersiri bagi mengelakkan diri meletak jawatan secara bermaruah.

"Bertentangan dengan dakwaan (Timbalan Pengerusi SPR, Datuk) Wan Ahmad (Wan Omar) kononnya SPR telah berjaya mencapai objektif dan tidak perlu meletak jawatan, SPR terbukti gagal mengadakan pilihan raya yang bersih berikutan pengakuan (Pengerusi SPR, Tan Sri) Abdul Aziz (Yusuf) bahawa dakwat yang sebelum itu didakwa kekal sebenarnya tidak kekal," kata Salahuddin.

Dalam pengakuannya bahawa dakwat yang sebelum itu mereka dakwa kekal itu sebenarnya tidak kekal, Pengerusi SPR berkata: "Tetapi pada hari yang ditunggu-tunggu kuasa Allah lebih hebat apabila dakwat boleh hilang selepas beberapa kali dicuci, di mana silapnya?"

Salahuddin bersetuju dengan pandangan seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bahawa SPR gagal mencapai matlamat mengadakan pilihan raya bersih apabila terbukti dakwat itu tidak kekal sedangkan tujuan penggunaan dakwat kekal ialah untuk memastikan pilihan raya yang bersih.

"Bukan setakat gagal mengadakan pilihan raya bersih malah SPR berbohong kerana sebelum ini Wan Ahmad sendiri menafikan dakwat kekal cuma tahan tiga hari," kata Salahuddin.

Dalam kenyataannya sebelum itu, Timbalan Pengerusi SPR itu mendakwa, pihaknya sudah melakukan ujian terhadap dakwat itu dan terbukti ia mampu bertahan dalam tempoh tujuh hari.

"Setelah berbohong, beliau marah pula kepada rakyat yang membuktikan dakwat kekal itu tidak kekal," kata Salahuddin lagi.

Wan Ahmad dilaporkan menyelar rakyat yang membasuh dakwat yang didakwa kekal itu dan seterusnya memuat naik di laman sosial.

Beliau menyifatkan perbuatan itu bertujuan menjatuhkan kredibiliti SPR.
Seterusnya >>>

Ini kenyataan fitnah, kata Salahudin

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub menjadi mangsa fitnah apabila pihak-pihak tertentu menyebarkan mesej perkauman yang dibuat atas nama beliau.

"Hari ini saya difitnah dengan penyebaran SMS kononnya saya membuat kenyataan berbaur perkauman ini," kata Salahudin kepada Harakahdaily.

SMS fitnah itu berbunyai, "Cina telah cuba tolak kuasa melayu tetapi gagal. "CHINESE ARE NOT THE KING MAKER" Sekarang masa mlayu bersatu utk ajar cina..
Sebarkan."

Salahudin menafikan sama sekali beliau menyebarkan SMS itu dan menyifatkannya sebagai bertujuan untuk melagakan beliau dengan masyarakat Cina itu.

Dalam pilihan raya umum baru-baru ini, Salahudin tewas di Parlimen Pulai dan DUN Nusajaya di Parlimen Gelang Patah.

BN pula menyalahkan pengundi Cina atas kekalahan teruk mereka di kerusi-kerusi bandar dengan berkata, 'tsunami Cina'.

Utusan pula menyiarkan kenyataan muka depan bertajuk, "Apa lagi Cina mahu'. Kenyataan ini dipertahankan pula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun mempromosikan konsep 1 Malaysia.

"Saya tidak tahu-menahu mengenai sms tersebut, bukan saya yang menghantarnya tapi ada orang gunakan nombor telefon saya dan hantar sms itu.

"Saya dapat tahu apabila ramai yang menghubungi saya bertanya mengenai sms itu," kata Salahudin  ketika menghubungi Harakahdialy hari ini.

Sambil menyelar pihak yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu, beliau menyeru orang ramai khususnya penyokong Pakatan Rakyat agar mengabaikan sms tersebut.

"Saya menyeru orang ramai jangan percaya dengan sms tersebut sebaliknya kekal bersatu antara kaum.

"Pakatan Rakyat tidak pernah mengamalkan politik rasis dan saya kutuk sekeras-kerasnya pihak yang melakukan perbuatan ini," tegasnya.
Seterusnya >>>

Pas dakwa Muhyiddin 'macam anak kecil'

Salahuddin Ayub

SHAH ALAM - Pemimpin kanan Pas mempertahankan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, yang melabel Mursyidul Am Pas bermulut celupar, sebagai "anak kecil yang menangis apabila dipukul."

Sehubungan itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, sebagai seorang pemimpin tertinggi negara, Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno tidak perlu bertindak seperti anak kecil apabila dipukul terus menangis.

Menurutnya, Muhyiddin seharusnya menggunakan kebijaksanaan apabila mengeluarkan kenyataan balas membidas Nik Aziz.

"Seharusnya Muhyiddin menjawab apa yang dikatakan oleh Nik Aziz secara "gentlemen."

"Bukan menjadi seperti anak kecil, apabila dipukul sedikit terus menangis.

"Umno kena balas balik dengan hujah-hujah (yang bernas) untuk nafikan apa yang dikatakan Nik Aziz jika tak betul, bukan menangis," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Semalam, Muhyiddin menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai bermulut celupar dan suka membuat fatwa sendiri apabila mengatakan orang Melayu yang menyokong Umno sebagai mungkar.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional berkata, kenyataan itu adalah rentetan fatwa songsang pemimpin Pas itu setiap kali menjelang pilihan raya umum.

"Itu satu lagi bukti Nik Aziz mengeluarkan faktwa yang tidak mengikut hukum bila dia sebut kumpulan orang yang mungkar ini kafir, orang Umno ini Firaun dan macam-macam lagi zalim dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Umno perlu bertindak dengan betul apabila ditegur oleh  Nik Aziz.

Tuan Ibrahim berkata, Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan bukan celupar, sebaliknya itu reaksi spontan beliau apabila melihat keadaan Umno yang semakin menyimpang daripada landasan sebenar.

"Yang penting bukan pada siapa yang mengeluarkan kenyataan, tapi kenapa Nik Aziz cakap begitu.

"Umno kena lihat itu sebagai teguran dan memperbaiki keadaan.

"Memang kita nafikan tindakan Nik Aziz itu bukan celupar, tetapi memberi reaksi spontan terhadap keadaan Umno yang semakin terkeluar daripada ajaran Islam," katanya yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.
Seterusnya >>>

Kalau macam ini, Umno boleh runtuh di Johor

KOTA TINGGI: "Jika sambutan macam ini di Kota Tinggi, ia adalah isyarat jelas Umno boleh runtuh di Johor," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub kepada hampir 1,000 tetamu yang memenuhi Dewan Chun Moi, di sini.

70 peratus dari tetamu yang datang malam tadi adalah Cina dan India Kota Tinggi di samping kawasan berdekatantermasuk Pengerang dan Bandar Tenggara.

Mereka menyertai majlis makan malam anjuran Pakatan Rakyat Kota Tinggi yang diterajui oleh PAS. Turut serta adalah pemimpin DHPP Pusat termasuk ketuanya, Hu Pang Chaw dan ketua wanitanya, Kamutha Raman.

Pada pilihan raya 1999, calon PAS yang bertanding di situ hilang wang pertaruhannya kerana jumlah undi yang diperolehinya terlalu sedikit. Calon PAS yang kini AJK PAS Pusat itu kalah kepada Datuk Seri Hamid Albar.

Pada tahun 2004, Hamid menang tanpa bertanding di Parlimen Kota Tnggi itu. Dalam pilihan raya 2008, calon PAS, Onn Jaffar yang bertanding di situ hanya mendapat 3,000 lebih undi.

"Saya masih ingat, ketika Tok Guru Nik Aziz datang berceramah di Muar pada tahun 1987 dulu, hanya enam orang sahaja yang datang mendengarnya," beritahu Salahuddin.

Kesemua ini membayangkan  Johor adalah kubu Umno dan amat sukar bagi PAS untuk menembusinya dan Kota Tinggi adalah kubu bagi segala kubu untuk Umno di Johor. Majlis-majlis PAS amat sedikit disertai orang ramai.

"Kedatangan malam ini adalah penanda penting sokongan pengundi terhadap PAS di Johor khasnya dari kaum Cina dan India," kata Salahudin kepada Harakahdaily selepas majlis itu.

Dalam perjalanan ke Kota Tinggi, Salahudin berkata, dia beriya-iya benar mahu ke majlis malam tadi kerana mahu melihat sendiri sambutan terhadap PAS di kubu Umno ini.

Malam tadi ada tiga program serentak di Johor. Makan malam anjuran DAP di Kulai, Ceramah umum bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Skudai dan makan malam di Kota Tinggi ini.

Beliau hanya menyertai majlis di Kota Tinggi dan Kulai tetapi tidak pergi ke Skudai kerana memberikan keutamaan majlis di Kota Tnggi ini.

"Kalau sambutan baik, ia akan mengesahkan teori sebelum ini bahawa gelombang sebenarnya sedang melanda di Johor," katanya.

Terbukti, sambutannya amat mengejutkan beliau. Onn Jaffar, Timbalan Ketua Penerangan PAS Johor yang menjadi calon PAS dalam pilihan raya 2008 juga mengesahkannya.

"Masa saya bertanding dulu, hanya mangsa-mangsa banjir 2006 lalu yang kami tolong di bandar Kota Tinggi ini menyambut kami. Yang lain semuanya bersama BN," kata Onn mengingati tragedi banjir besar yang melanda banda Kota Tinggi dahulu.

Ketika itu, nama Unit Amal PAS naik memuncak ekoran kesungguhan mereka membantu mangsa-mangsa banjir menyelamatkan barangan mereka termasuk membersihkan rumah selepas banjir.

"Mereka cukup marah kepada Hamid Albar ketika itu kerana beliau terus berada di luar negara ketika pengundinya menghadapi banjir yang jarang sekali berlaku.

"Namun hal ini tidak berlaku kepada bukan mangsa banjir terutama orang Melayu di sini," kata Onn.

Di hadapan kira-kira 1,000 tetamu majlis itulah Salahudin sekali lagi mengumumkan akan bertanding di Johor dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya telah membua keputusan penting dalam sejarah kerier politik saya bahaa saya akan bertanding di tanah tumpah daraah saya iaitu Johor dalam pilihan raya umum akan datang ini," umum anggota Parlimen Kubang Kerian itu.

Ia disambut tepukan gemuruh oleh semua yang hadir dan ada antara mereka yang berdiri memberikan tepukan itu di samping penyokong PAS yang bertakbir memuji kebesaran Allah.

Salahudin berada di kerusi selamat di Kubang Kerian selepas dua penggal bertanding di situ. Kini beliau bersama gelombang kebangkitan di Johor serta pengundi dari Sabah dan juga Sarawak untuk membentuk politik baru di Malaysia.
Seterusnya >>>

Kerajaan penakut saja yang takut demonstrasi


PETALING JAYA: Demonstrasi jalanan tidak bertujuan untuk menggulingkan kerajaan, sebaliknya menjadi salah satu cara membentuk sistem demokrasi tulen dalam negara.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, demonstrasi jalanan satu cara demokrasi yang sihat dan boleh berakhir dengan aman sekiranya polis tidak bertindak melepas gas pemedih mata dan menyebabkan keadaan bertambah huru-hara.
Katanya, hanya kerajaan penakut sahaja yang takut demonstrasi jalanan kerana menganggap botol air mineral dan garam mampu menggulingkan kerajaan.
“Kadang kala demokrasi lahir daripada demonstrasi aman tanpa sebarang keganasan dan senjata,” katanya semasa Debat Sinar di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf malam tadi.
Beliau menegaskan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) perlu ditubuhkan untuk menyiasat punca keganasan Bersih 3.0, sekaligus menolak penubuhan Panel Penasihat Bebas yang diketuai bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar.

Diterima pakai
Menurut Naib Presiden PAS ini, demontrasi kini sudah diterima pakai sebagai medium untuk rakyat menyuarakan pendapat apabila pihak Barisan Nasional (BN) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong kerajaan turut melakukannya.
“Sebagai contoh Umno Pulau Pinang sekarang ni dah belajar cara untuk jadi pembangkang. Hari-hari buat demonstrasi. Tetapi kerajaan Pulau Pinang dan Selangor berikan hak itu dan tidak ada gas pemedih mata,” katanya.
Sementara dalam debat “Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi” itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah pula membidas dengan menegaskan demonstrasi bukanlah cara terbaik mengukuhkan demokrasi jika keselamatan awam menjadi taruhan.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita tak mahu ambil risiko yang menggadaikan ketenteraman awam.
“Persoalannya bukan boleh demonstrasi atau tidak tetapi adakah ia mengukuhkan demokrasi yang berfungsi, saya tak nampak jalan itu,” katanya.

`Bukan Firaun’
Katanya, ada pelbagai cara yang boleh diambil rakyat selain demonstrasi untuk membolehkan suara mereka mereka didengari kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
“Nak kukuhkan demokrasi bukan begini caranya kerana ini bukan Firaun yang kita hadapi,” katanya.
Sementara itu, Salahuddin menjamin sekiranya Pakatan Rakyat menawan Putrajaya, perkara pertama yang dilakukan adalah menghapuksn undang-undang rimba serta-merta dan akan meyuburkan budaya demokrasi tanpa menyentuh mana-mana sensitiviti hak dan agama rakyat.
“Apa yang paling penting berikan kebebasan demokrasi kepada rakyat. Kita akan beri standard prosedur operasi (SOP) yang profesional kepada PDRM, iaitu tiada gas, tiada belantan,” katanya.
Beliau berkata Pakatan juga akan memberi hak yang sama kepada BN  dan mendakwa mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad juga pernah mencari pentas PAS untuk berceramah pada tahun 70-an.
.
Seterusnya >>>

Salahudin cabar Umno lawan cara 'anak jantan'

JOHOR BAHRU: Naib Presiden PAS Salahudin Ayub mengecam politik samseng dan fitnah yang digunakan Umno BN terhadapnya selepas pengumuman beliau untuk bertanding di Johor pada PRU 13 nanti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan turut mencabar Umno BN khususnya di negeri Johor untuk melawannya secara anak jantan dalam pilihan raya, bukannya menggunakan kaedah tidak bertamadun memfitnah dan mengupah samseng menakut-nakutkannya.

"Saya mengecam budaya politik samseng dan fitnah yang mereka taburkan kepada saya. Ini menunjukkan bahawa mereka takut untuk berdepan dengan saya secara bersemuka.

"Saya cabar pimpinan Umno BN agar bertanding melawan saya secara anak jantan. Saya bersedia pada bila-bila masa, pada mana-mana tempat untuk bersemuka dengan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Tanah Rakyat (Tanah) di Plaza Angsana di sini semalam.

Sebelum ini beberapa bloger upahan Umno cuba menjatuhkan kredibilitinya dengan menyebarkan fitnah kononnya beliau terlibat skandal dengan seorang perempuan.

Selain fitnah jahat itu, Salahudin ketika mahu bertemu penduduk di Skudai Kiri baru-baru ini juga diserang dan diugut oleh samseng upahan yang cuba menghalangnya.

"Demi Allah, saya menyatakan disini bahawa apa yang mereka katakan pada saya itu adalah fitnah.

"Saya tidak akan undur kebelakang atas keputusan saya untuk bertanding di negeri Johor ini," katanya.

Sejak beliau mengesahkan mahu balik bertanding di negeri kelahirannya di Johor pada PRU 13 akan datang, banyak pihak khususnya pemimpin Umno di negeri itu dilihat tidak senang duduk.

Kewibawaan Salahudin serta penerimaan rakyat Johor terhadapnya cukup menggusar Umno dan BN Johor setakat ini.
.
Seterusnya >>>

PKFZ: Umno tidak mahu S'jaya Diraja terdedah


KUALA LUMPUR, 14 April: Pendedahan terbaru mengenai skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) menjelaskan lagi mengapa kerajaan berkeras tidak mahukan Suruhanjaya Diraja menyiasat isu itu, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Apabila (bekas Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datuk) Lee Hwa Beng kata hanya sebahagian kecil sahaja yang ditangani pihak berkuasa dari keseluruhan isu tersebut, ia semakin menjelaskan kepada kita mengapa kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) beria-ia dan berkeras tidak mahu satu Suruhanjaya Diraja menyiasat perkara itu.

"Tidak hairanlah jika Lee menyatakan hanya perubahan politik sahaja yang boleh memastikan siasatan bebas dijalankan ke atas skandal tersebut tanpa sebarang halangan dari pihak berkepentingan," katanya.

Kenyataan Lee itu, kata Salahuddin, membawa kepada kesimpulan bahawa selagi Umno dan BN yang memerintah negara ini, siasatan bebas tidak akan dapat dijalankan ke atas isu itu.

"Bila Lee menyebut halangan dari pihak berkepentingan, perkara itu tidak boleh berlaku tanpa kerjasama kepimpinan tertinggi negara.

"Mana-mana pihak yang berkepentingan tidak akan dapat menghalang siasatan bebas dijalankan jika tidak mendapat kerjasama kepimpinan tertinggi kerajaan," katanya.

Kerajaan, kata Salahuddin, bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat apa terjadi kepada berjilid-jilid laporan kepada Jabatan Perdana Menteri, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang didedahkan oleh Lee menjelang pelancaran bukunya "PKFZ: A Nation’s Trust Betrayed".

"Rakyat juga berhak tahu mengapa tidak ada sebarang dakwaan rasuah terhadap sesiapa pun dalam dakwaan-dakwaan yang berhubung PKFZ itu.

"Yang ada hanya dakwaan menipu," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang memperakui bahawa bekas Menteri Pengangkutan yang juga bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik telah menipu kerajaan Malaysia membabitkan RM1.08 bilion dalam projek PKFZ.

Ketika kejadian itu berlaku, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri Malaysia.

Bagi Salahuddin, apabila Lee membangkitkan tidak ada dakwaan terhadap perbuatan rasuah dalam perbicaraan-perbicaraan berkaitan PKFZ, ia sekali lagi mengingatkan kepada pendedahan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker bahawa bahawa ramai tokoh Umno dan MCA berada dalam "payroll" Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing.

KDSB ialah pemaju projek PKFZ yang dilaporkan mendapat pelbagai kelebihan luar biasa.

Projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbulnya pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Laporan audit yang dikeluarkan oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik LPK bagi tujuan itu, menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan.

Selain Ling dan Tiong, antara yang dikaitkan ialah bekas Menteri Pengangkutan yang juga bekas Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Chan Kong Choy; Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing; bekas Bendahari Umno yang juga pengarah syarikat Wiramaju Sdn. Bhd iaitu anak syarikat KDSB, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi; bekas Exco kerajaan negeri Selangor dari Umno yang menjadi Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) dan Ahli Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) ketika transaksi dibuat, Datuk Abdul Rahman Palil dan bekas Bendahari Umno Selangor yang juga Timbalan CEO KDSB, Datuk Faizal Abdullah.
Seterusnya >>>

Tiada masalah lawan timbalan menteri : Salahuddin


Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata beliau masih lagi menimbang untuk bertanding di salah satu daripada empat kerusi parlimen di Johor termasuk Batu Pahat - kawasan yang dimenangi Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ahli parlimen Kubang Kerian itu bagaimanapun menegaskan tidak mempunyai masalah bertemu Puad di gelanggangnya itu kerana mendakwa mempunyai akar umbi ekoran memulakan karier politiknya di situ.

Salahuddin bagaimanapun berkata, beliau memerlukan seminggu sebelum membuat keputusan muktamadnya, termasuk turut menimbangkan kesesuaiannya di Pulai, Tanjong Piai dan Pontian.

"Tunggulah, saya tak ada masalah bertanding di Batu Pahat. Saya mempunyai akar umbi di situ. Saya (pernah) tinggal di sana selama 15 tahun dan memulakan karier politik saya di Batu Pahat.

"Jadi kalau saya rasa dalam masa seminggu ini, (kalau) saya benar sesuai untuk bertanding di Batu Pahat, maka saya akan bertanding di Batu Pahat. (Jadi) tunggu kehadiran saya," katanya dalam temuramah dengan Malaysiakini pada Isnin.

Puad sebelum ini mencabar Salahuddin bertanding di Parlimennya dalam pilihan raya umum akan datang selepas membuat keputusan berentap di Johor pada kali ini.

Puad juga dilapor mengalu-alukan Salahuddin kembali ke Johor walaupun yakin pemimpin parti Islam itu "tidak akan berjaya" kali ini.

'Sentimental' Tanjong Piai, Pontian & Pulai


Sementara itu, sambil menyifatkan Johor mempunyai "nostalgia dan cukup sentimental" bagi dirinya, Salahuddin berjanji membuat pengumuman rasmi kerusi yang bakal ditandinginya dalam tempoh "seminggu dua" lagi.

Selain Batu Pahat, kata Salahuddin, beliau menimbangkan Tanjong Piai dan Pontian yang merupakan kampung halamannya.

Manakala Pulai pula istimewa bagi Salahuddin kerana beliau pernah belajar dan menyumbang banyak komitmen parti di kawasan itu.

"Keempat kawasan tadi, saya tak ada apa-apa masalah dari segi jentera parti dan dokongan kawan-kawan. Cuma kita nak cari tempat yang terbaik yang saya rasa sebagai lonjakan kemenangan, yang saya rasa kita boleh cipta," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding kerusi yang pernah ditandingi PAS atau Pakatan, Salahuddin berkata "lebih mudah untuk kerusi-kerusi yang PAS bertanding".

"Kalau ada pun kerusi yang melibatkan rakan yang lain dalam Pakatan, itu juga tidak ada masalah untuk saya buat perbincangan. Kita boleh tukar dengan satu kerusi yang lain," katanya yang pernah menjadi ketua Pemuda PAS Johor selama 10 tahun sehingga 1999.
Seterusnya >>>

Akta baru masih 'berwajah' ISA?


KUALA LUMPUR, 10 April: Ahli Parlimen PAS akan memberi perhatian khusus berhubung undang-undang pencegahan baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dibentangkan di Parlimen hari ini.


Ketua Whip PAS di Parlimen, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan mengambil bahagian sewajarnya dalam sesi perbahasan nanti.


"Bagi saya ianya masih lagi mengandungi unsur-unsur pelanggaran secara tersirat dan perlu dibahas dengan teliti sebelum kita buat keputusan menerima atau menolak.


"Sehingga kini kita melihat kerajaan masih lagi tidak memberi satu jaminan bahawa undang-undang ini berbeza dengan ISA dan kita akan bahaskan," katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.


Beliau diminta mengulas pembentangan rang undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dibentangkan menteri hal ehwal undang-undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini.
Ianya juga diluluskan untuk bacaan kali kedua dan akan dibahaskan pada Isnin ini.


Pembentangan ini dibuat selepas ISA dikritik hebat ekoran sifatnya yang mebolehkan mangsa ditahan tanpa bicara yang disifatkan zalim dan melanggar hak asasi manusia.


Perdana menteri dalam perutusan khas Hari Malaysia pada 15 September lalu juga mengumumkan pemansuhan ISA dan memaklumkan dua undang-undang baru akan digubal bawah semangat Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.


"Kita juga lihat masih ada lagi kuasa-kuasan menteri yag boleh mengambil tindakan atas nama keselamatan, untuk menahan seseorang di bawah akta baru ini.


"Tidak ada masalah sama ada kuasa kepada polis atau menteri, cuma perlu jelas apa beza wajahnya dengan ISA," soalnya.
Seterusnya >>>

Bertanding di Johor bukan bunuh diri dalam politik

NONE

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menolak tanggapan umum bahawa hasratnya bertanding di negeri kelahirannya, Johor - kubu kuat Umno - adalah tindakan "membunuh dirinya" dalam karier politik yang diceburinya sejak 30 tahun lalu.

Ahli parlimen Kubang Kerian menegaskan beliau tidak takut berdepan kekalahan kerana ia merupakan asam garam dan adat berjuang, sebaliknya beliau mahu menjadi "sebahagian pencipta sejarah perubahan" di negeri itu.

"Jadi kalau saya tidak berani pada hari ini untuk melaksanakan tugas ini, apa nilai saya sebagai orang politik. Apa nilai saya sebagai pemimpin kanan dalam PAS. Kalau saya hanya mahu pentingkan keselesaan, kalau saya hanya mahu terus kekal di Parlimen, saya boleh kekal di Kubang Kerian, saya tidak ada masalah.

"(Pada) saya tak ada istilah bunuh diri. Saya pergi untuk memegang panji-panji perjuangan bersama dengan pasukan Pakatan Rakyat untuk membuat satu perubahan besar.

"Ini yang saya rasa besar hati. Saya rasa dihormati dan dihargai rakan-rakan di sana. Oleh itu saya beritizam untuk bekerja sekuat mungkin untuk kita sama-sama mencipta satu sejarah baru di Johor," katanya.

Ketika diwawancara Malaysiakini di Kuala Lumpur semalam, Salahuddin berkata jika beliau ingin berada dalam zon selesa, beliau bertanding di kawasan selamat yang dimenangi PAS khususnya di Pasir Mas dan Titiwangsa.

Kepulangan sebagai pelengkap
Menurutnya lagi, segala pengalaman yang ditimba sejak bergelumang dalam politik, termasuk menjadi ahli parlimen Kubang Kerian sejak 2004 sehingga kini, mahu dicurah kepada rakyat Johor sekalipun, mengakui "terpisah sedikit" dari politik negeri itu.

Menyifatkan kepulangannya sebagai pelengkap kepada kepimpinan PAS negeri, Salahuddin yakin tokoh lain seperti Pesuruhjaya Datuk Dr Mahfodz Mohamed, timbalannya Dzulkifli Ahmad dan Mazlan Aliman serta Ketua Pemuda Suhaizan Kaiat turut membantu ke arah perubahan.

Bahkan, tambahnya, ramai tokoh politik tempatan dan antarabangsa dianggap pemimpin walaupun pernah tidak mempunyai jawatan atau memimpin negara dalam tempoh yang singkat, termasuklah Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela.

"Jadi saya mahu jadi pemimpin seperti itu yang bukan hanya kita hebat atau dilihat kita berperanan jika kita jawatan atau kedudukan... Itulah yang menjadi kita seorang pemimpin.

"Kalau kita takut bermain ombak, kita tidak boleh bina rumah di tepi pantai. Pemimpin harus berani menghadapi risiko, cabaran dan mesti berada di mana-mana tempat, dalam apa jua keadaan," katanya.
Seterusnya >>>

Najib bertanggungjawab 'task force' warga asing


KUALA LUMPUR, 5 April: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah orang yang paling bertanggungjawab atas kewujudan 'task force' yang memberi taraf kerakyatan kepada warga asing, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Apabila 'task force' itu memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti, tak mungkin mereka diberi kerakyatan untuk memilih mana-mana parti. Tentulah mereka dikehendaki memilih Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Najib sahaja.

"Lebih penting lagi, tak mungkin 'task force' seperti itu boleh wujud tanpa keizinan dan persetujuan Perdana Menteri memandangkan sebahagian dari yang terlibat itu adalah pegawai-pegawai kerajaan berprofil tinggi," katanya.

Bagi Salahuddin, apa yang berlaku itu adalah satu pengkhianatan yang sangat keji ke atas kedaulatan negara dan undang-undangnya.

"Lebih malang lagi, bolehkah kita mendakwa bahawa Perdana Menteri bukanlah boss besar kepada 'task force' itu?

"Apabila berlaku pengkhiantan, bolehkah kita mendakwa Perdana Menteri tidak mengetuai pengkhianatan terhadap negara itu?" katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga yakin projek memenangkan BN yang melibatkan 'task force' itu pasti menggasak wang rakyat dalam jumlah yang sangat besar.

"Selepas diberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti, tentulah wajib diadakan sistem pemantauan dan ugutan untuk memastikan warga asing berkenaan mengundi BN.

"Semua itu tentulah menggasak begitu banyak wang rakyat. Tak mungkin Najib dan para pemimpin Umno dan BN mahu mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk membiayai projek memenangkan BN itu," kata Salahuddin.

Malah, katanya, pelbagai kesan dan akibat dari tindakan membanjirkan negara ini dengan warganegara asing yang diberi taraf kerakyatan itu juga akan memakan belanja yang luar biasa besar.

"Dengan taraf sebagai warganegara semata-mata kerana hendak memenangkan Umno dan BN, mereka juga akan mendapat pelbagai keistimewaan yang sememangnya dinikmati oleh rakyat negara ini. Semua itu akan memakan belanja berterusan yang sangat besar jumlahnya.

"Negara terpaksa menangung beban tambahan berterusan semata-mata kerana hendak memenangkan Umno dan BN. Itu belum lagi diambilkira kesan dan masalah sosial yang tidak dapat dielakkan akan tercetus," kata Salahuddin.

Sebab itulah beliau yakin, 'task force' tersebut akan menjadi pencetus kemarahan rakyat dan mereka akan membanjiri ibu negara dan tempat-tempat perhimpunan lain yang ditentukan di seluruh negara pada 28 April ini.

Bersih 3.0 menetapkan 28 April ini untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran duduk bantah di Dataran Merdeka dan di tempat-tempat lain yang ditentukan di seluruh negara.

"'Task force' itu pasti menjadi satu lagi penyebab utama yang mendorong seramai-ramai rakyat berhimpun dalam perhimpunan Bersih 3.0 seluruh negara 28 April ini.

"500,000 duduk dan bantah di ibu negara bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai oleh perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini," kata beliau.

Salahuddin tidak menolak kemungkinan besar PAS akan menubuhkan 'task force'nya sendiri bagi menghadapi kerja jahat 'task force' itu.
Seterusnya >>>

Tindakan Speaker pemangkin Bersih 3.0



KUALA LUMPUR : Penolakkan usul berkenaan laporan minoriti dan juga meluluskan cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tanpa perbahasan merupakan pemangkin kepada perlaksanaan himpunan Bersih 3.0.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Pakatan Rakyat mempunyai hujah serta bukti apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta mereka mengemukakan bukti amalan laporan minoriti yang dilakukan di mana-mana negara Komanwel.

"Bila Speaker meminta kita kemukakan bukti amalan mana-mana negara komanwel yang melaksanakan laporan minoriti dalam Parlimen mereka.

"Kita mempunyai hujah serta fakta berasaskan apa yang berlaku dalam Parlimen di New Zealand, Australia mahupun negara-negara kecil seperti Jamaica yang ada keutamaan tentang laporan minoriti dimasukkan atau dibahaskan bersama dengan laporan yang dikemukakan," jelasnya.

Tambahnya lagi, adalah tidak munasabah Pakatan Rakyat dilayan sedemikian, yang mana hujah-hujah mereka langsung tidak mahu didengari di Parlimen.

"Saya merasakan dengan penolakkan ini rakyat diluar sana dapat melihat bagaimana proses penyuburan demokrasi di dalam negara ini tidak dapat diletakkan di tempat yang adil.

"Walaupun kita menyertai PSC serta memberi kerjasama sepenuh demi penanbahbaikan proses pilihanraya namun apa yang berlaku hari ini telah menguburkan demokrasi negara," sambung beliau lagi.

Salahuddin ketika ditanya berkenaan pembaziran yang dilakukan sepanjang tempoh enam bulan dan akhirnya laporan tersebut diluluskan tanpa dibahas.

"Saya tidak melihat ia sebagai satu pembaziran kerana kita telah beri kerjasama selama ini, tetapi pada hari ini kita dapat melihat bagaimana wujudnya campurtangan pihak eksekutif mahupun  Umno itu sendiri dalam keputusan yang dibuat.

"Kita melihat bagaimana laporan minoriti itu ditolak sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku sebab kita boleh buktikan dengan amalan yang dilakukan di parlimen-parlimen di luar negara terutamanya negara komanwel," sambung beliau lagi.

Sebelum itu, Pandikar Amin menolak usul yang difailkan semalam atas alasan tiada peruntukan bawah Perintah Tetap yang memberikannya kuasa untuk mengubah laporan itu.

Tiada perkara seumpamanya, kata Pandikar memetik amalan berparlimen di New Zealand.

Penolakan itu, menyebabkan ahli parlimen pembangkang bangun mendakwa terdapat duluan berhubung laporan minoriti dikepilkan bersama laporan-laporan lain, di Parlimen negara Komanwel lain.

Malah beliau juga turut mengarahkan Azmin Ali (Gombak), R.Sivarasa (Subang) dan juga Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) keluar dari Dewan Rakyat atas tindakkan ketiga-tiga mereka mengemukakan bukti serta hujah terhadap amalan tersebut.

Pandikar Amin telah mengambil keputusan untuk memutuskan usul tersebut diluluskan tanpa ada perbahasan.
Seterusnya >>>

Salahuddin Ayub sahkan tanding di Johor


Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub akhirnya mengesahkan hasrat mahu bertanding di Johor, kampung halamannya, dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Walaupun belum menetapkan mana-mana kerusi, beliau berkata kerusi seperti Pulai, Tanjung Piai dan Batu Pahat "dilihat menarik" untuknya pada masa ini.

"Saya tiada masalah jika pucuk kepimpinan parti sedia beri laluan di kerusi-kerusi yang saya sebutkan tadi," katanya kini yang bertugas sebagai anggota parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

Beliau mengumumkan perkara itu hari ini dalam pertemuan dengan beberapa media terpilih dan penulis blog di sebuah hotel di Skudai.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed, ketua Pemudanya Suhaizan Kaiat dan anggota jawatankuasa pusat PAS Mazlan Aliman.

Sementara itu, ditanya tentang khabar angin bahawa beliau berniat untuk menjadi menteri besar Johor jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Johor, Salahuddin sambil tersenyum berkata:

"Soal siapa nak jadi menteri besar, itu mesti diputuskan oleh majlis pimpinan Pakatan Rakyat dan perkara itu tidak berbangkit langsung buat masa ini."
Seterusnya >>>

Putrajaya tak serius, panel khas Parlimen hanya ‘penghias jendela’


KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan matlamat pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya tidak akan berjaya sekiranya ia hanya melibatkan perbincangan satu hala.
Beliau juga menyifatkan pembentukan jawatankuasa itu sebagai “penghias jendela” selain menegaskan Putrajaya tidak serius untuk melakukan reformasi sistem pilihan raya.
“Apabila mereka hanya menggunakan pendekatan sehala sahaja tanpa berunding tentang penubuhan ini, apa maknanya pembaharuan pilihan raya yang mereka nak buat sedangkan tidak mungkin jawatankuasa ini akan mencapai matlamat sekiranya pengerusinya sudah pasti seorang menteri dan mereka majoriti dalam jawatankuasa ini.
“Ini hanya penghias jendela sahaja dan ini membuktikan kerajaan tidak serius menangani isu yang kita tuntut dan jawatankuasa ini sekadar melepaskan batuk di tangga dan untuk mengalih pandangan daripada isu sebenar,” katanya memetik Harakahdaily.
Salahuddin juga berasa kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta Pakatan Rakyat tidak berprasangka buruk terhadap komitmen kerajaan menubuhkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen.
Beliau berkata, kenyataan itu hanyalah untuk menutup kesilapan mereka tidak memanggil Pakatan Rakyat untuk berunding sebelum penubuhan jawatankuasa tersebut diumumkan.
“Perkara yang paling penting untuk diingatkan ialah kita (Pakatan Rakyat) langsung tidak dirundingkan dalam penubuhan jawatankuasa pilihan khas Parlimen ini dan kita rasa bahawa kita mungkin boleh bersetuju dan mungkin tidak bersetuju untuk menyertai jawatankuasa khas ini.
“Macam mana mereka kata kita bersangka buruk sedangkan kita bersedia untuk bekerjasama dan menyertai jawatankuasa Parlimen ini jika kita dipanggil untuk merundingkan perkara ini,” katanya.
Semalam Muhyiddin meminta Pakatan Rakyat menggunakan kesempatan berkenaan sebagai medium untuk mengemukakan sebarang isu yang dibangkitkan sebelum ini bagi menambah baik sistem pilihan raya sedia ada.
Beliau berkata Pakatan Rakyat seharusnya ikhlas memandangkan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membolehkan kesemua pihak membahaskan sistem semasa.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menambah, Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memutuskan pendirian mengenai jawatankuasa itu.
“Pakatan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memutuskan bersetuju atau tidak untuk menyertai jawatankuasa ini.
“Tapi kalau beginilah caranya kita kecewa dengan kerajaan,” katanya.
Pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen diumumkan Najib Isnin lalu.
Jawatankuasa itu akan terdiri daripada sembilan anggota iaitu lima dari Barisan Nasional (BN) termasuk menteri selaku pengerusi, tiga lagi mewakili Pakatan Rakyat dan satu Bebas.
Usul bagi penubuhan jawatankuasa khas itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen Oktober ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata jawatankuasa pilihan khas Parlimen itu akan diketuai oleh seorang menteri bukannya wakil Pakatan Rakyat.
Seterusnya >>>

Murtad: Umno tolak mentah-mentah usul PAS

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Lakonan Umno kononnya mahukan akta mencegah murtad langsung tidak boleh dipercayai kerana inisiatif mengenai perkara itu berkali-kali ditolak, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
"Saya bercakap mengenai pengalaman peribadi kerana dalam sidang Parlimen yang bermula pada Mac 2006, saya mengemukakan rang undang-undang persendirian yang dinamakan Rang Undang-Undang Murtad.
"Rang undang-undang itu bukan sahaja tidak dipedulikan oleh ahli-ahli Parlimen Umno malah ditolak mentah-mentah," katanya.
Selepas itu, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sekali lagi beliau mengemukakan usul yang juga meminta Dewan Rakyat mewujudkan undang-undang mencegah murtad seperti meminda Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan peruntukan yang jelas menghalang individu Islam daripada secara bebas mengisytiharkan diri keluar daripada agama Islam.
"Usul itu juga tidak dipedulikan oleh kerajaan dan ahli-ahli Parlimen Umno," katanya
Menurut Salahuddin, usaha yang dibawa oleh pihak PAS mengenai perkara itu dibuat berkali-kali selepas Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang mengemukakan usul dan rang undang-undang persendirian untuk mencegah murtad.
Pada 25 Mac 1988, Tuan Guru telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi ditolak.
Selepas itu, pada 2 November 1999, Tuan Guru juga tidak dibenarkan membentang rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad.
"Penolakan usul dan rang undang-undang persendirian mengenai murtad yang berlaku berkali-kali itu membuktikan Umno langsung tidak berminat untuk mencegah jenayah syariah paling serius itu.
"Sebab itulah umat Islam tidak seharusnya tertipu dengan gelagat gerombolan kuda tunggangan Umno yang kini nampak benar menunjuk-nunjuk kononnya mereka mahu mencegah murtad," tegas Salahuddin.
Beliau juga berharap rakyat menolak lakonan dan permainan gerombolan kuda tunggangan Umno itu kerana mereka adalah hipokrit sebenar.
"Amat hipokrit apabila bercakap hendak menentang gejala murtad tetapi pada masa yang sama menjadi kuda tunggangan Umno yang berkali-kali menolak usaha untuk mencegah murtad.
"Menolak inisiatif dan usaha untuk menentang murtad melalui peruntukan undang-undang dan perlembagaan hakikatnya menentang dan memusuhi usaha mencegah jenayah syariah paling serius itu," kata Salahuddin.
Beliau juga mempersoalkan di mana suara Umno ketika umat Islam bangkit menentang kes-kes murtad seperti kes Aishah Bukhari, Hartina Kamaruddin dan Lina Joy.
"Malah Umno juga berdiam diri ketika umat Islam bertindak menentang pindaaan 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dan ketika 10 menteri dari Barisan Nasional bertindak mempertikaikan perkara 121 (1A) itu dengan tujuan untuk membunuh kuasa mahkamah Syariah serta membolehkan mahkamah sivil memansuhkan keputusan mahkamah Syariah," katanya.
Dengan sejarah sedemikian, Salahuddin sekali lagi meminta umat Islam menolak hipokrit yang cuba berlagak hero yang kononnya memperjuangkan Islam dan kepentingan umat Islam.
Seterusnya >>>

Apa jaminan sistem keselamatan negara kita

KUALA LUMPUR, 16 Jun: PAS melahirkan rasa bimbang terhadap sistem keselamatan siber negara ekoran sekurang-kurangnya 10 laman web kerajaan digodam oleh mereka yang tidak bertanggungjawab awal pagi tadi.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika diminta mengulas perkara itu berkata ianya satu perkara serius dan menunjukkan Malaysia belum bersedia mendepani Cyber War.
"Apa jaminan kepada sistem keselamatan negara kita?
"Sistem perbankan, sistem ketenteraan, semua berada dalam keadaan berisiko.
"Saya pernah sebut dalam perbahasan Dewan Rakyat sebelum ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Sejak awal pagi tadi, sekurang-kurangnya 10 laman web kerajaan dan agensinya tidak dapat dilayari kerana diserang oleh penggodam yang membalas tindakan sekatan ke atas beberapa laman sesawang perkongsian fail.
Bermula jam 3.30 pagi tadi penggodam yang menamakan kumpulan mereka sebagai Anonymous, menyenaraikan 18 laman web kerajaan yang didakwa telah diserang oleh DDoS (Distributed Denial-of-Service) ataupun dipadamkan sementara oleh pentadbirnya.
Ianya termasuk portal rasmi kerajaan Malaysia MyGovernment (www.malaysia.gov.my), masih tidak dapat dilayari.
"Dengan apa yang berlaku ini membuktikan kita tidak ada kesediaan dari segi keselamatan siber.
"Kita cukup nipis untuk ditembusi oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab", katanya.
Dalam kenyataan di web yang ditukar oleh pengodam itu, mereka mendakwa tindakan itu dibuat ekoran Kerajaan Malaysia menyekat laman seperti The Pirate Bay dan WikiLeaks.
Malaysia menurut mereka adalah antara kerajaan di dunia ini yang paling ketat mengenakan tapisan, hingga sanggup menghalang akses kepada filem dan rancangan televisyen.
Tambahnya lagi, serangan itu sebagai tanda dan amaran serta peluang bagi mendengar idea pihak lain. Penggodam juga berkata mereka mempunyai tanggungjawab bertindak pantas dan tanpa belas kasihan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan menyebut sekurang-kurangnya 51 laman web diserang dan 41 berjaya digodam.
Seterusnya >>>

PAS minta RoS jangan pilih kasih, mahu haramkan PKR


KUALA LUMPUR, 19 Mei — Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub memberi amaran kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar tidak mengambil kesempatan untuk membatalkan pendaftaran PKR tanpa mempunyai sebarang bukti kukuh.
PKR kini berhadapan dengan risiko kemungkinan dibatalkan pendaftaran dan telah menerima surat tunjuk sebab daripada RoS.
Tegas Salahuddin, RoS harus memperincikan segala masalah teknikal yang wujud sebelum membuat sebarang keputusan.
Jelas beliau, RoS tidak harus mengamalkan sikap “double standard” dan mengambil kesempatan atas masalah teknikal yang berlaku.
“Ia (bukti) harus diperincikan, janganlah RoS amalkan double standard dan ambil kesempatan untuk haramkan parti dalam Pakatan Rakyat.
“Semua parti ada masalah-masalah teknikal tapi jangan ambil kesempatan untuk haramkan PKR di saat-saat kita mahu menghadapi pilihan raya umum, perkara kecil seperti itu boleh diselesaikan, tidak perlu untuk diharamkan,” katanya pada sidang media di sini.

Pada sidang media tengah hari tadi, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, RoS mendakwa PKR telah melanggar perlembagaan sendiri apabila memutuskan untuk memecat seorang ahlinya tanpa didengar oleh lembaga disiplin lebih dua tahun lalu ketika pilihan raya kecil Bukit Selambau.
Bagaimanapun PKR mendakwa peruntukan yang dimaksudkan RoS tidak wujud dalam perlembagaanya dan menegaskan agensi Kementerian Dalam Negeri itu bertindak dengan niat jahat menjelang pilihan raya umum ke-13.
Pilihan raya umum tergempar disebut-sebut akan diadakan Julai ini.
Surat dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman bertarikh 9 Mei lalu menyebut PKR telah melanggar Fasal 32.2.1 Perlembagaan PKR dengan memecat A. Rajagopal pada 1 April 2009 dan 27 April 2009 tanpa disiasat dan didengar oleh lembaga disiplin.
Malah dalam suratnya, Abdul Rahman berkata, di bawah Seksyen 13 (2) Akta Pertubuhan, RoS akan membatalkan pendaftaran PKR selepas 9 Jun ini melainkan ia memberikan alasan yang memuaskan.
Sehubungan itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sekiranya RoS mempunyai bukti yang PKR telah melanggar peruntukan-peruntukan ditetapkan, maka perkara itu harus dibawa ke mahkamah.
“Apa yang berlaku ini tidak mengejutkan kita. RoS mesti ada bukti, kalau betul (PKR langgar peruntukan) biar mahkamah yang memutuskan,” katanya.
Ditanya kemungkinan Pakatan Rakyat akan berpecah sekiranya PKR dibatalkan pendaftaran, Salahuddin bagaimanapun berkata, parti perikatan itu akan tetap setia bersama.
Dalam perkembangan terbaru isu rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Salahuddin berkata, PAS tidak mahu terlibat dalam perkara itu.
“Apa yang menjadi prinsip PAS, kita tidak mahu terlibat dengan qazaf, kita tidak mahu terlibat dalam perkara itu.
“Kita tidak boleh tuduh (seseorang) tanpa empat saksi yang adil, itu Islam punyai prinsip,” katanya.
Ditanya sama ada pelaku dalam rakaman video seks itu perlu didedahkan, Salahuddin bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen.
“Kita tidak mahu komen sebab ia satu tuduhan yang tidak diizinkan oleh Tuhan, bukan tugas kita untuk dedahkan sesiapa kerana semua orang tidak mahu dituduh,” katanya.
Semalam Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata tiada keperluan daripada segi undang-undang bagi pihaknya untuk mendedahkan identiti pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” itu.
Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang menjurus kepada kesalahan mengedar dan mempamer video lucah, di mana tiada keperluan di pihak polis untuk mendedahkan identiti pelakunya.
Seterusnya >>>

PAS tolak pelawaan Najib, dakwa Umno-BN terdesak


KUALA LUMPUR, 30 April – Sambil mengucapkan “terima kasih” kepada Datuk Seri Najib Razak, PAS dalam reaksi segera menolak sama sekali pelawaan terbaru Perdana Menteri agar parti Islam itu menyertai Barisan Nasional (BN).
“Terima kasihlah atas jemputan, kami akan tetap setia dengan Pakatan Rakyat dan tidak akan meninggalkan semangat kesetiakawanan yang sudah dibentuk dengan PKR dan DAP,” kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini.
Najib yang juga Presiden Umno meneruskan usahanya dengan hari ini sekali lagi mempelawa PAS agar menyertai BN sambil berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.
“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?
“Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia, Kuala Terengganu pagi tadi.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, jemputan dibuat Najib di Kuala Terengganu adalah tindakan “terdesak” selepas BN terus gagal memperoleh sokongan masyarakat Cina termasuk ketika pilihan raya negei Sarawak baru-baru ini manakala  gagasan 1 Malaysia digerakkan pentadbiran beliau tidak mendapat sambutan.
“Saya fikir pelawaan ini satu tindakan terdesak kepimpinan Najib. Saya tidak terkejut dengan pelawaan ini,” kata Salahuddin.
Kata beliau, kepimpinan Umno-BN akan menggunakan isu perkauman apabila setiap kali berhadapan dengan persekitaran terdesak sebagaimana dialami sekarang.
“Ini bukan kali pertama pelawaan macam ini dibuat... PAS tidak akan terperangkap,” katanya lagi.
Salauddin juga mendakwa pelawaan itu sebagai “terdesak” apabila mengatakan PAS harus meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah memperjuangkan Islam.
Kata beliau, soal PAS harus keluar Pakatan Rakyat hanya kerana kononnya DAP tidak pernah memperjuangkan Islam tidak timbul sama sekali.
Malah kata beliau, DAP juga sudah memberi jaminan bahawa ia akan menghormati perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Misalnya kata beliau, Islam adalah agama rasmi negara dan peruntukan ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan Raja-raja Melayu adalah ketua.
“Kita ada Perlembagaan, agama rasmi adalah Islam dengan raja-raja adalah ketua... jadi tak timbul soal ini,” katanya sambil menambah, kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh wakil DAP juga “tidak pernah mengabaikan soal berkaitan dengan Islam... tiada apa-apa masalah.”
“Bagi kami ini bukan satu isu, dan soal ini tidak berbangkit sama sekali,” kata Salahuddin yang turut menyifatkan pelawaan itu sebagai “madu manis yang berbisa.”
Salahuddin juga berkata, beliau yakin yang prinsip dibawa DAP itu akan terus diamalkan sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya kelak.
Pelawaan BN-Umno hari ini bukan sesuatu yang baru khususnya sejak selepas pilihan raya umum ke-12 8 Mac 2008.
Ini termasuklah satu pertemuan membabitkan empat pemimpin kanan - masing-masing dua dari Umno dan PAS sempena majlis santapan bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Terengganu di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun menjelaskan isu di sebalik pertemuan 24 Disember itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Januari lalu berkata, PAS telah mengulangi jaminan kepada rakan-rakannya dalam perikatan itu parti Islam itu tiada rancangan untuk menjalin kerjasama politik dengan Umno.
Anwar memberitahu, Hadi telah memberi penjelasan mengenai objektif pertemuan di Istana Terengganu.
“Kami berpuas hati dengan penjelasan. Sebagaimana dikatakan oleh (Mursyidul Am PAS Datuk) Nik Aziz (Nik Mat), PAS komited untuk bersama dengan Pakatan Rakyat.
“Tidak perlu untuk kita membangkitkan isu ini lagi atau meragui mereka,” kata beliau.
Bagaimanapun seminggu sebelum itu, Najib mengambil langkah untuk tidak mendedahkan hasil pertemuan bersama pemimpin 24 Disember lalu, yang dihadiri atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Nik Aziz, yang tegas dengan pendirian menolak idea kerajaan campuran antara PAS-Umno, juga hadir pada pertemuan itu.
Menteri Besar Kelantan itu telah berulang kali menekankan bahawa PAS tidak akan kembali menjalin kerjasama politik dengan Umno atas alasan telah dikhianati pada akhir 1970-an.
PAS pernah menyertai BN pada 1974 atas jemputan perdana menteri ketika itu Tun Abdul Razak, yang juga bapa kepada Najib.
PAS membentuk kerjasama dengan DAP dan PKR untuk mewujudkan perikatan PR pada April 2008.
Justeru PAS mengetuai kerajaan negeri Kelantan dan Kedah sekarang, Pulau Pinang pula wakil dari DAP manakala Selangor pula pemimpin PKR.
Seterusnya >>>

Nasib Penduduk Kg Baru Terus Dibela PR


KUALA LUMPUR 15 MAC : Ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat akan terus komited mempertahankan hak penduduk Kampung Baru walau dengan apa cara sekalipun.

Wakilnya, Salahuddin Ayub yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, semangat perjuangan dan peruntukan undang-undang sedia ada akan digunakan sepenuhnya supaya tanah Kampung Baru kekal menjadi milik mereka yang hak ke atasnya.

" Saya mewakili ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat, kami berjanji atas nama Allah SWT, atas nama kemanusiaan, kita bersama dengan penduduk Kampung Baru
memperjuangkan tanah warisan ini dengan apa jua cara sekalipun,"kata Salahuddin.    

Beliau berkata demikian pada majlis Deklarasi Pemilik dan Pewaris Tanah Kampung Baru di Dewan Kelab Sultan Sulaiman malam tadi. 

Program anjuran Sekretariat pembangunan Kampung Baru (SPKB) malam tadi sepatutnya dihadiri oleh semua ahli parlimen Malaysia, BN dan Pakatan Rakyat, namun
malangnya ia hanya berjaya mengumpulkan ahli parlimen pembangkang sahaja.

Bercakap tentang hal itu, Salahuddin berkata, ia sememangnya satu petunjuk jelas tentang sikap ahli parlimen BN dalam membela nasib rakyat.

"Mengapa mereka tidak datang, mengapa mereka tidak berani berdepan dengan rakyat dan mempertahankan tanah Kampung Baru ini? Saya cuma mahu katakan satu sahaja, hari ini kita dapat menilai berapa bernilainya satu kerusi dalam parlimen,"katanya lagi.   

Majoriti pemilik dan pewaris Kampung Baru menolak Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dan mahukan rang undang-undang itu ditarik balik.

Walau bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin sebelum ini mendakwa 90 peratus penduduk Kampung Baru bersetuju dengan rang undang-undang berkenaan.

Namun beliau kemudiannya menyatakan hasrat kerajaan untuk menangguhkan perbahasan (RUU PPKB 2010) dalam sesi Parlimen bermula 7 Mac hingga 7 April ini.

Bacaan kali pertama RUU itu sebelum ini dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat, Disember tahun lalu.

Hakikatnya, keputusan kerajaan itu tidak memenuhi aspirasi penduduk Kampung Baru yang mahukan rang undang-undang tersebut dibatalkan.

Oleh yang demikian ujar Salahuddin, tiba masanya untuk rakyat Kampung Baru bangkit dan tidak diperkotak-katikkan oleh mereka yang mempunyai kuasa dan
kedudukan.

Nasihatnya, di samping ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat bekerja keras untuk membantu penduduk Kampung Baru di parlimen, penduduk juga harus menguatkan
dokongan kepada usaha gagasan itu.

" Selagi ada inci tanah dalam negara kita ini, selagi ada ruang undang-undang dan inci tanah yang menjadi hak kita, selagi ia termaktub dalam perlembagaan,kita gunakan untuk perjuangkan hak tuan-tuan," luah Salahuddin lagi.    

Meskipun katanya, tentangan hebat akan diterima gagasan itu dalam parlimen Malaysia kerana jumlah undi BN yang lebih tinggi untuk meluluskan rang undang-undang, perjuangan tidak akan berahir semudah itu katanya. 

" Itu tidak mengapa (BN menang undi dalam parlimen), kita masih ada Allah  SWT, kita masih ada perjuangan. Kita ada anak muda pada hari ini untuk kita jatuhkan mereka secara demokratik, kita gunakan jari-jemari kita untuk jatuhkan mereka pada pilihanraya akan datang,"  katanya. 
Seterusnya >>>

DUN Merlimau: Calon PAS diumum 24 Febi


KUALA LUMPUR, 13 Feb — PAS dijangka akan mengumumkan nama bakal calonnya bertanding pada pilihan raya kecil DUN Merlimau pada 24 Februari ini — dua hari sebelum proses penamaan calon.
Difahamkan tarikh itu telah diputuskan oleh mesyuarat dewan harian parti itu semalam.
PAS akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja pusatnya hari ini untuk menyenaraipendekkan nama-nama yang telah dikemukakan oleh peringkat kawasan dan badan perhubungan negeri.
“Calon akan diumumkan pada 24 Februari, insya-Allah, sudah diputuskan tarikh pengumuman,” kata seorang pemimpin parti kepada The Malaysian Insider.
“Kemungkinan akan (dibincangkan), ia mungkin salah satu perkara mesyuarat hari ini,” kata pemimpin itu ketika ditanya sama ada mesyuarat pagi ini akan memfokus kepada soal itu.
Hari pengundian pilihan raya kecil DUN Merlimau akan diadakan 6 Mac dengan penamaan calon pada 26 Februari.
Kelmarin, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata nama calon PAS akan diumumkan di Merlimau dalam beberapa hari lagi.
Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu.
Timbalan Pesuruhjaya I PAS Melaka Adly Zahari sebelum ini memberitahu The Malaysian Insider bahawa PAS Melaka mahu menurunkan calon popular untuk merampas kerusi Merlimau daripada penguasaan BN.
Selain itu, PAS Melaka juga akan mempertimbangkan sama ada akan meletakkan calon wanita dalam pilihan raya kecil kawasan itu.
Katanya, senarai nama itu akan dibawa ke peringkat tertinggi PAS hari ini untuk membuat keputusan.
The Malaysian Insider difahamkan PAS Melaka berkemungkinan mempertimbangkan calon wanita iaitu Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man selain  Ketua Penerangan PAS Melaka Kamaruddin Sidek, Yang Dipertua PAS Jasin Jasme Tompang dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin Yuhaizan Abdullah.
Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme dengan majoriti 2,154 undi.
Seterusnya >>>