Azizah Kutuk Tindakan Pelampau Cetus Ketegangan Agama


SHAH ALAM 17 MEI : Sempena Sambutan Hari Wesak 2011, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengutuk tindakan esktrim pemimpin politik yang cuba menimbulkan ketegangan antara agama.
Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pemimpin politik ini disokong pula dengan laporan rasis media arus perdana yang secara jelas mengapi- apikan kerhamonian kaum dinegara ini.

Sebelum ini, akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia bertindak menyiarkan laporan fitnah kononnya terdapat usaha mahu menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi negara.

Laporan itu disahut lantang Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dengan melaungkan jihad terhadap penganut agama Kristian.

Persekutuan Kristian Malaysia sebelum ini menafikan terdapat usaha sebegitu dan berkata mereka akur pada perlembagaan persekutuan yang memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi.

Azizah dalam perutusan Hari Wesaknya mengajak rakyat Malaysia agar bersatu hati menolak fitnah agama yang melanda dan memahami kepercayaan ajaran Buddha yang mahukan umat manusia agar hidup dengan penuh kasih sayang dan menjadikan kesederhanaan sebagai asas kehidupan.

Fahaman ajaran ini menekankan cara berfikir seseorang individu perlu matang dalam membimbing setiap tindak tanduknya yang akhirnya menyuburkan keadaan harmoni dikalangan masyarakat pelbagai kaum.

Azizah kemudiannya mengajak rakyat Malaysia agar konsisten memperjuangkan pembebasan Malaysia daripada penindasan dan kezaliman pemerintah. 

0 Komen pengunjong :