Kembalikan Kuasa Rakyat - Pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri

psm1Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengalu-alukan sebarang pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 atau Perlembagaan Negeri yang memberi keutamaan dalam mengembalikan kuasa kepada Kerajaan Negeri yang dipilih oleh rakyat.

Kami juga mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri kerana melalui kenyataan akhbar bertarikh 19 Januari 2011, Pejabat Menteri Besar telah menghebahkan cadangan pindaan ini kepada orang ramai supaya ianya dapat dibincang secara sihat dan professional sebelum ia dibawa ke Dewan Negeri Selangor untuk dibentangkan

PSM ingin menegaskan bahawa legitimasi mana-mana Kerajaan Negeri terletak kepada kuasa yang diberikan oleh rakyat melalui satu sistem pilihanraya berlandaskan prinsip demokrasi. Kuasa rakyat ini juga amat penting kerana melalui kuasa tersebut sebuah Kerajaan dapat dibentuk secara sah dan beroperasi.

Dalam konteks ini, kita harus memastikan kuasa Kerajaan Negeri sebagai Kerajaan pilihan rakyat harus diikhtiraf untuk mentadbir diri tanpa gangguan mana-mana pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan pihak Istana.

Pindaan yang dibawa pada zaman Dr. Mahathir melucutkan kekebalan Raja-raja adalah satu langkah progresif kerana Perlembagaan di negara-negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan tidak memberi kekebalan kepada Raja-Raja mereka. Dengan penghapusan kekebalan Raja-raja, tidak akan menjejaskan  kedaulatan mereka. Walau bagaimanapun, Dr. Mahathir tidak mengembalikan kuasa kepada rakyat malah beliau telah campurtangan dan memusnahkan pelbagai institusi kerajaan seperti Institusi Kehakiman dan Polis. Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri yang paling banyak mencabul hak asasi manusia.

Justeru itu, kerajaan negeri Selangor sebuah kerajaan pilihan rakyat Selangor mesti memastikan sebarang pindaan sebenarnya berniat untuk memberi balik kuasa kepada rakyat dan memastikan sebarang pindaan itu kelak tidak akan membawa sebarang kesan dari segi melindungi kebebasan dan hak asasi rakyat Selangor pada masa hadapan.


Dr. Nasir Hashim
Pengerusi Parti Sosialis Malaysia

0 Komen pengunjong :