Memo Air : Kejayaan Besar Rakyat Selangor Tuntut Hak

SHAH ALAM 6 DIS : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menyifatkan perhimpunan penyerahan memorandum kembalikan hak air sebagai kejayaan rakyat selepas Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA) membenarkan kerajaan negeri Selangor membuat  tawaran terus kepada syarikat air untuk membeli balik konsesi tersebut.

Beliau di dalam twitter menulis surat tawaran itu telah diterima daripada pihak kementerian terbabit, pagi tadi.

Semalam, Khalid mengetuai rakyat Selangor menyerahkan memorandum yang telah ditandatangani 150,000 orang yang menyertai demonstrasi "Penyerahan Memorandum Kembalikan Hak Air"  di Masjid Negara, semalam.

Demonstrasi yang bermula pukul 12 tengahari itu kemudian bertukar menjadi kecoh apabila pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mula menggempur dan menembak gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan.

Perarakan yang sepatutnya berlangsung secara aman menjadi kacau-bilau apabila polis bertindak mengejar peserta perhimpunan sehingga ke perkarangan Masjid Negara.

Keadaan kelam kabut itu memaksa pihak penganjur mengadakan perbincangan dengan pihak keselamatan.

Seramai 52 peserta perhimpunan telah ditahan dan dibawa dengan trak ke balai polis,  mereka kemudiannya dibebaskan sekitar jam 6.00 petang semalam.

0 Komen pengunjong :