Kerajaan Selangor bimbang arahan menutup kilang pengeluar sarung tangan terkemuka dunia, Hartalega Sdn Bhd beroperasi di Ijok, Selangor, yang dibuat secara sewenang-wenangnya akan menakutkan pelabur dan menyebabkan 800 pekerja tempatan hilang pekerjaan.
Faekah Husin, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, jika arahan itu yang diumumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah, dibuat tanpa siasatan lanjut akan merugikan rakyat Selangor dan negara.
Beliau juga melihat arahan itu dibuat hanya untuk menjaga kepentingan politik dan memenuhi agenda tersembunyi pihak-pihak tertentu.
“Ini bertentangan dengan dasar kerajaan Selangor yang mahu menarik pelaburan asing dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor serta dari negeri lain.
“Kerajaan Selangor khuatir tindakan tanpa usul periksa ini menyebabkan pelabur membatalkan rancangan melabur di Kuala Selangor,” kata Faekah dalam satu kenyaatan dikeluarkan hari ini.
Ini termasuklah pelaburan usaha sama syarikat Jepun dan Guthrie melibatkan pelaburan melebihi RM2 bilion.
Oleh itu kata beliau, amat tidak wajar Murugiah mengarahkan Hartalega menghentikan operasi hanya kerana aduan beberapa orang penduduk berhampiran kilang yang mendakwa kesihatan terganggu kerana pencemaran oleh kilang berkenaan. Hartalega telah beroperasi sejak 1996.
“Dan, tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan operasi kilang itu menyebabkan penduduk mengalami masalah, malah tiada seorang pun pekerja kilang itu yang mengalami masalah kesihatan walaupun setiap hari terdedah bahan kimia,” katanya.
Faekah mendakwa Murugiah sebenarnya tiada kuasa mengarahkan Hartalega ditutup kerana kilang berkenaan memenuhi semua piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa. Hanya Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mempunyai kuasa mengarahkan hilang itu ditutup, jelas beliau.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan berkala yang dilakukan terhadap Hartalega mendapati kilang itu tidak melanggar peraturan.
“Sehubungan itu, tiada alasan untuk MDKS menutup operasi kilang berkenaan,” katanya lagi.
Faekah menambah, Murugiah tersilap fakta dan mendapat maklumat yang silap kerana tidak merujuk kepada pihak berkuasa sebelum membuat arahan itu.
Katanya, MDKS telah diarah melakukan pemeriksaan berkala ke Hartalega selepas Menteri Besar melawat kilang itu pada Oktober lalu. Pemeriksaan oleh MDKS, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak mendapati sebarang kesalahan yang dilakukan Hartalega seperti didakwa penduduk.
Pertengahan tahun ini, penduduk Taman Suria, Bestari Jaya, Kuala Selangor mendakwa terdedah dengan pencemaran bahan kimia hasil bahan buangan.
Berikutan dakwaan itu, Menteri Besar Selangor sendiri turun padang untuk meninjau masalah rayat itu.
Khalid diberi taklimat mengenai operasi kilang dan amalan-amalan mengikut kawalan alam sekitar terutama melibatkan rawatan air tercemar dan pelepasan asap dan beliau berpuas hati kerana Hartalega mematuhi semua peraturan dan piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar.
Katanya, Hartalega merawat air yang tercemar sebelum dialirkan keluar manakala asap yang dilepaskan dari kilang itu tidak membahayakan kesihatan.
Pihak kilang juga memberitahu dakwaan adanya ammonia di ruang udara sekitar kawasan perumahan juga tidak benar kerana ujian yang dilakukan pihak Hartalega mendapati tidak wujud bahan kimia itu.
“MDKS akan terus mengadakan perbincangan dengan penduduk untuk meningkatkan sistem perparitan yang didakwa menyebabkan banjir.
“Jabatan Alam Sekitar juga akan meningkatkan pemeriksaan dan kawalan bagi memastikan Hartalega tidak mencemar alam sekitar,” kata Faekah.
Siapa cakap gaji aku RM1 juta? – Jojo Ghazali
15 hours ago
0 Komen pengunjong :