KUALA LUMPUR 19 Okt - Masyarakat Orang Asal dijangka memberi sokongan penuh kepada calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berikutan keputusan Speaker Dewan Rakyat menolak usul tergempar berhubung kedudukan pribumi Orang Asal di dalam Perlembagaan pagi tadi.
Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Tanah Orang Asal, Simpan Suda berkata masyarakat Orang Asal akan turun ke Galas bagi membantu kempen Pakatan Rakyat dan seterusnya mengekalkan kerusi tersebut ditangan PAS.
"Ya, kami semua akan turun ke Galas dan sokong penuh jika Pas letakkan calon Orang Asli sebagai wakil Galas nanti.
"Walaupun mengharapkan agar wakil kami dicalonkan supaya suara kami dapat didengari, kami tetap menghormati keputusan kerajaan negeri atau PAS jika mahu meletakkan sendiri calon lain," katanya.
Sebelum ini Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tergempar berkaitan kedudukan pribumi Orang Asal sebagai Bumiputera berdasarkan takrifan yang termaktub dalam Fasal (2) Perkara 160 serta memaktubkan secara jelas kedudukan istimewa mereka sebagai Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata beliau kesal dengan keputusan tersebut yang sekaligus menafikan hak Orang Asal di negara ini.
"Kita merayu agar pihak kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut memandangkan proses rayuan memakan masa terlalu lama.
"Kita minta kerajaan turut mempertimbangkan usul tersebut memandangkan Orang Asal telah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan pengiktirafan dan hak sebagai kaum bumiputera," jelas beliau pada sidang media di lobi Parlimen pagi tadi.
Simpan Suda berkata kehadirannya bersama 28 Orang Asal di Parlimen adalah sebagai pemerhati untuk melihat perbahasan usul mengenai hak keistimewaan suku kaumnya.
Menurutnya, mereka tidak berniat mempertikai keistimewaan Orang Melayu serta Bumiputera Sabah-Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan tetapi mahu hak mereka juga dimasukkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160 Perlembagaan.
"Sudah lebih 50 tahun merdeka, tapi masyarakat Orang Asal jauh ketinggalan dalam pelbagai sektor, malah kami terus ditindas dan tanah kami dirampas kerajaan atas alasan demi pembangunan negara.
"Kita mahu Orang Asal diiktiraf dalam Perlembagaan untuk pertahankan hak-hak kami, bukan kita minta dimansuhkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan," kata beliau kepada media.
Fasal (2) Perkara 160 hanya menafsirkan mengenai masyarakat Orang Asal Semenanjung Tanah Melayu tetapi tidak menjamin sebarang hak keistimewaan kaum minoriti tersebut.
Sebelum itu, seramai 28 pemimpin Orang Asal disekat oleh polis di pintu masuk bangunan Parlimen walaupun mereka telah membuat permohonan rasmi untuk mengikuti perbahasan Bajet 2011.
Siapa cakap gaji aku RM1 juta? – Jojo Ghazali
15 hours ago
0 Komen pengunjong :