Pertama, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengucap terima kasih atas kritikan biarpun keras dari Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang dan Ketua Pemuda MCA, Wee Ka Siong ekoran tindakan kami membantah penganjuran Konsert Artis Gay Adam Lambert di Stadium Putra Bukit Jalil baru-baru ini. (merujuk kepada kenyataan Tan Keng Liang yang disiarkan dalam laman web Free Malaysia Today, 15 Oktober 2010, manakala kenyataan Wee Ka Siong dalam The Star Online, 16 Oktober 2010. Kedua-dua pemimpin pemuda tersebut membidas sikap DPPP dalam membantah konsert Adam Lambert yang didakwanya sebagai berfikiran sempit, ekstrim dan tindakan untuk mendiskriminasikan komuniti gay di Malaysia.)
Kedua, mereka harus memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang majoriti ummat Islam dan mempunyai lunas perlembagaan serta undang-undang yang tersendiri. Adalah tidak manis sekiranya Malaysia menjemput seorang artis yang mempopularkan budaya homoseksual yang jelas bertentangan dengan imej, budaya dan agama di Malaysia. Malah, perbuatan tersebut disifatkan sebagai satu kesalahan dalam undang-undang di Malaysia. Ini menunjukkan sikap tidak sensitif kerajaan dalam membenarkan penganjuran konsert tersebut di negara ini.
Ketiga, DPPP (Ketua, Nasruddin Hassan At Tantawi, gambar kiri) menginginkan sebuah negara maju yang tidak meruntuhkan naluri kemanusiaan dan kemuliaan seorang manusia. Apakah maknanya sebuah negara maju sekiranya perbuatan songsang dianggap sebagai satu kebiasaan, trend masa kini dan adakah ia memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia? Jika benar dakwaan Tan Keng Liang bahawa terdapat satu komuniti gay di Malaysia, inilah masanya untuk kita sama-sama bimbing dan membentuk mereka ke arah perbuatan yang betul dan bukannya membantu untuk menyuburkan budaya tersebut.
Keempat, DPPP juga khuatir sekiranya artis luar negara, Adam Lambert (gambar kanan) akan melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan garis panduan persembahan artis luar negara yang telah ditetapkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia iaitu mengenai gerak laku semasa persembahan. Pihak DPPP tidak mahu sekiranya Adam Lambert akan mengulangi tindakan yang pernah dilakukan di American Musics Award sebelum ini di Malaysia pula.
Kelima, suka DPPP mengajak Ketua Pemuda MCA dan Ketua Pemuda Gerakan Kedah untuk turun bergandingan dan berkerjasama dengan Pemuda PAS membimbing dan menyelamatkan generasi muda dari terus terjebak dalam cara dan gaya hidup yang songsang dan tidak bermoral.
Keenam, atau apakah kalian mahu membiarkan budaya songsang dan tidak bermoral ini menular di dalam negara kita tanpa dibendung? Apakah sebenarnya matlamat perjuangan Pemuda MCA dan Pemuda Gerakan? DPPP tidak fikir kalian mahu negara ini terdedah kepada budaya kuning dari Barat itu menular masuk ke dalam negara kita. Marilah kita selamatkan negara dan generasi mudanya dari budaya kotor seperti seks bebas dan homoseksual ini. DPPP mengajak kalian untuk bersama berjuang menjadikan Malaysia negara kita sebagai zon bebas dari budaya hidup yang songsang dan tidak sihat ini lantara implikasinya adalah sangat buruk buat pertumbuhan sosial negara kita.
Ketujuh, andainya gejala songsang dan homoseksual ini berlaku dalam MCA dan Gerakan, apakah kalian mahu membiarkan ia menular lantas kalian membela dan mempertahankan cara hidup mereka? Mudahnya, jika itulah sikap yang diambil oleh kalian, DPPP percaya suatu masa nanti Pemuda MCA dan pemuda Gerakan akan pupus ketiadaan waris yang meneruskan perjuangan kalian justeru homoseksual tidak akan melahirkan waris.
Kelapan, DPPP ingin menekankan bahawa PAS tidak anti hiburan. Namun, corak persembahan, lirik lagu, budaya dan peribadi artis yang diundang mestilah diambil kira kerana ia boleh mempengaruhi sikap individu terutamanya golongan muda. Malah, kami menyeru agar semua pihak bersama-sama membentuk rakyat agar memiliki jati diri yang teguh, mengamalkan corak hidup yang sihat dan bertamadun ke arah menuju sebuah negara yang maju.
Kesembilan, DPPP bukanlah ekstrim sebagaimana yang didakwa. Justeru ekstrim itu ialah mereka yang degil untuk melakukan maksiat dan mungkar biarpun mereka menyedari ia adalah terlarang. Ekstrim ialah mereka yang degil melakukan perbuatan yang merosakkan moral dan akhlak biarpun mereka mengetahui implikasinya membinasakan pertumbuhan sosial negara. Sementara mereka yang berjuang untuk kebenaran dan menyelamatkan generasi dari terjebak dalam pengaruh mungkar serta kerosakan moral ini pula ialah golongan yang berprinsip bukan ekstrim.
Kesepuluh , DPPP mengharapkan Kalian tidak salah faham apalagi buat-buat tidak faham, kenapa Pemuda PAS bangkit membantah budaya seperti ini. Tidak cukup lagikah kebejadan yang berlaku menimpa negara hari ini akibat berleluasanya pengaruh cara hidup barat dalam negara dan generasi muda kita? Kalian tentu tidak mahu rosaknya peradaban dan tamadun negara kita sebagaimana rendah dan runtuhnya moral dan tamadun kemanusiaan di Barat hari ini.
*Kenyataan media oleh Nasruddin Hassan At Tantawi selaku Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Pusat.
0 Komen pengunjong :