KUALA LUMPUR 18 OKT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kegagalan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) dalam menangani keperluan pengolahan pengurusan ekonomi negara menyebabkan Malaysia satu-satunya negara yang mengalami kemasukan pelaburan negatif di antara negara-negara Asean.
Dalam hujahnya di Dewan Rakyat pagi tadi, Anwar berkata, Malaysia dijangka hanya mendapat pertumbuhan pelaburan asing terus (FDI) sebanyak 7 peratus bagi tahun 2010 dalam keadaan di mana perdagangan dunia meningkat sebanyak 11.4 peratus bagi tahun 2010 berbanding pengucupan pada 2009 sebanyak 11 peratus.
Jelasnya lagi, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengalami aliran FDI negatif dengan kemerosotan 81 peratus dan ia bukanlah satu statistik yang boleh dibanggakan.
"Thailand yang melalui kekacauan politik sepanjang tahun 2009, dijangkakan tumbuh pada kadar 6 hingga 7.5 peratus, setanding malah lebih baik dari kita," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Katanya lagi, dikalangan negara-negara ASEAN, prestasi kemasukan pelaburan asing terus (FDI) Malaysia hanya lebih baik daripada negara dunia ketiga seperti Kemboja, Burma, Brunei, Laos, dan Timur Leste sedangkan negara-negara lain kesemuanya mengatasi Malaysia.
Beliau seterusnya menjelaskan, Singapura dijangka menikmati perkembangan dari 13 hingga 15 peratus iaitu dua kali ganda melebihi Malaysia, dan China pula mencatat pertumbuhan 9.9 peratus.
"Indonesia yang tidak mengalami pengucupan pada 2009 mendapat pertumbuhan sebanyak 6 peratus, lebih dari pertumbuhan yang dijangka dicapai oleh Malaysia kerana pertumbuhan Malaysia yang relatif kepada pengucupan pada tahun lalu lebih lemah dan lembab daripada Indonesia.
"Malah inilah tahun pertama FDI negara Filipina mengatasi FDI Malaysia," tegas beliau lagi.
Anwar seterusnya menjelaskan, dalam laporan terbaru World Investment Report 2010, pengurangan FDI dan peningkatan dalam pengeluaran keluar FDI jelas menunjukkan ketidakyakinan pelabur dalam ekonomi negara.
"FDI Malaysia merosot sebanyak 81 peratus dari RM23.47 bilion pada tahun 2008 ke RM4.43 bilion pada 2009, berbanding Thailand yang mendapat RM19.01 bilion dan Indonesia pada RM19.08 bilion.
"Ini menunjukkan kemasukan FDI yang paling rendah sejak 20 tahun lalu, selain pada tahun 2001 di mana negara mencatat FDI RM1.54 bilion," kata beliau.
Menurut laporan Bank Of Amerika and Meryl Linch yang terbaru, Malaysia juga tidak muncul dalam 10 destinasi terbaik kemasukan pelaburan asing bagi tahun 2008 dan 2009 tetapi dikategorikan sebagai pasaran paling kurang diminati pelabur.
Sehubungan itu, Anwar menyatakan pentingnya menekankan berkenaan pengurusan dan urus tadbir yang baik dan cekap, bersih dari rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, kronisme, meningkatkan keupayaan dan daya saing, serta menekankan isu ketidakpedulian terhadap nasib rakyat.
0 Komen pengunjong :