Kesatuan: KWSP kena labur tapi kami perlukan jaringan sekuriti

KUALA LUMPUR, 18 Okt — Sambil mengakui hakikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak boleh hanya menyimpan caruman ‘di bawah bantal’, kesatuan sekerja menekankan keperluan “jaringan sekuriti” agar dananya tidak menjadi sandaran pihak berkuasa bulat-bulat, yang trendnya makin ketara belakangan ini.
Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja juga tidak menolak senario seolah-olah kerajaan terpaksa bergantung pada dana KWSP, sebagaimana disaksikan dalam Bajet 2011, dan berharap jaringan sekuriti diadakan agar sumber simpanannya tidak digunakan secara sembarangan.
Mengulas perkembangan semasa, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), J Solomon berkata, hakikatnya dana KWSP tidak boleh statik tanpa pelaburan jika mahu membayar dividen kepada pencarum, tetapi pelaburan caruman badan berkanun itu juga tidak boleh keterlaluan tanpa kawalan.
“Nampaknya begitu... saya tidak pasti dengan kandungan bajet-bajet lalu, tetapi kali ini saya nampak seolah-olah kerajaan banyak bergantung pada dana KWSP,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
“KWSP mempunyai peranan kepada pencarum dengan meningkatkan kadar dividen,” katanya.
“Jaringan sekuriti atau jaringan jaminan ini perlu untuk memberi jaminan kepada para pencarum bahawa caruman dan simpadan mereka digunakan dengan baik, dilabur cermat untuk tujuan pelaburan yang sesuai dan mendatangkan faedah kepada para pencarum,” kata Solomon.
Merujuk kepada peningkatan had pelaburan di luar negara, Solomon berkata, KWSP perlu telus dengan memberi butiran terperinci mengenai pelaburan mereka kepada umum.
“Siapa memainkan peranan dan di mana dan bila pelaburan itu dibuat, perlu diperincikan kepada publik... KWSP kena telus dalam soal pelaburan mereka, bukannya seperti sekarang di mana hanya diberikan angka keseluruhan pelaburan,” kata Solomon lagi.
Sehubungan itu, Solomon juga berkata, ada baiknya kerajaan mengkaji semula had baru pelaburan 20 peratus di peringkat global yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Jumaat lalu.
Najib mengumumkan bahawa sebuah projek utama pembangunan akan dilaksanakan di tanah Lembaga Getah Malaysia, Sungai Buloh seluas 2,680 ekar di mana KWSP akan melaksanakan pembangunan bercampur melibatkan kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana.
Keseluruhan pembangunan ini, dianggarkan bernilai RM10 bilion dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.
Selain itu, dalam Bajet 2011 Najib juga mengumumkan bahawa KWSP yang mempunyai pelaburan antarabangsa sebanyak tujuh peratus akan ditingkatkan sehingga 20 peratus daripada jumlah aset diuruskan.
Dua elemen itu digariskan dalam Bajet 2011 dan pada hari yang sama KWSP mengumumkan ia membeli kepentingan dalam Plus Expressways Bhd yang menguruskan konsesi lebuh raya.
Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud pula berkata, penggunaan simpanan KWSP oleh kerajaan bukan sesuatu yang baru.
“Ini bukan perkara baru... ini bukan perkara luar biasa. Kerajaan pernah berbuat demikian sebelum ini,” katanya.
“(Tetapi)... kalau kita simpan sahaja duit (KWSP), bagaimana kita hendak memberikan pulangan dan dividen kepada pencarum,” soal beliau mengulas pelaburan KWSP di tanah milik Lembaga Getah Malaysia.
Katanya, kerajaan memberi jaminan bahawa setiap wang caruman di KWSP akan dibayar kepada pencarum.
“Kalau kita hendak melabur memang ada risiko, kalau tidak melabur pun susah... tetapi kita perlu berhati-hati dan cermat dalam membuat pelaburan,” kata beliau merujuk kenaikan had pelaburan KWSP di luar negara.
Katanya, pengalaman berhubung kedudukan ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah baru-baru ini perlu menjadi pengajaran dalam membuat pelaburan di pasaran antarabangsa ekoran kelonggaran baru yang diberikan.
Bagaimanapun beliau menegaskan, kerajaan tidak harus menggunakan dana KWSP untuk menyelamatkan atau untuk tujuan ‘bail-out’ mana-mana syarikat jika ada.
“Pelaburan dibolehkan tetapi biar dilakukan jimat cermat kerana ini melibatkan wang pencarum, amanah yang diberikan kepada KWSP,” kata beliau yang merupakan salah seorang anggota lembaga KWSP mewakili MTUC.
Selain MTUC, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatam Awam (Cuepacs) juga mempunyai wakil dalam lembaga KWSP.
Presiden Cuepacs Omar Osman mempertikaikan keputusan menaikkan had pelaburan KWSP di luar negara atas alasan kadar pembayaran dividen sejak beberapa tahu  lalu ia tidak memperlihatkan paras yang menggembirakan.
“Kita membenarkan kadar pelaburan tinggi menggunakan simpanan KWSP, tetapi akhirnya kadar dividen cuma 5.4, 5.5 peratus... kadar dividen tidak tinggi. Kalau kadar pelaburan tinggi, dividen pun harus tinggi.
Tapi ini tidak,” kata beliau.
Bagi tahun 2009, KWSP mengisytiharkan dividen 5.65 peratus berbanding 4.5 peratus tahun sebelumnya.
“Kami bersetuju pelaburan termasuk kadar yang tinggi di luar negara, tetapi harus menguntungkan para pencarum, jangan untung dirasai oleh syarikat yang menggunakan wang pencarum,” kata beliau sambil menambah, pihaknya akan membangkitkan isu ini dalam mesyuarat KWSP akan datang.

0 Komen pengunjong :