Pemimpin Umno mempunyai sejarah panjang berhubung isu menghina dan mengaibkan Raja-raja Melayu sedangkan Pakatan Rakyat sebagai sebuah gagasan baru dalam lanskap politik negara berpegang kepada prinsip mempertahankan Perlembagaan termasuk melindungi hak serta menghormati martabat raja-raja Melayu di negara ini.
Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta KEADILAN memohon maaf kepada Sultan Johir berkaitan isu kain rentang provokatif, jelas menunjukkan Umno penuh dengan kepura-puraan dan kini cuba memperalatkan institusi Raja Melayu ketika parti itu semakin ditolak rakyat.
"Umno yang semakin tersepit dalam usaha meraih sokongan rakyat cuba mempengaruhi Raja-raja Melayu selepas tidak berjaya menjadikan PAS sebagai kuda tunggangannya. Sebelum ini Umno juga cuba menggunakan beberapa individu yang didakwa sebagai ulama muda dan segelintir Mufti supaya mengikuti kehendak mereka.
"Bagi saya, kenyataan Muhyiddin dari awal lagi telah menghina Raja dan kita boleh senaraikan tindakan pemimpin Umno yang terdahulu yang telah menghina dan mengaibkan raja-raja Melayu," jelas Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.
Malahan kata Nizar lagi pemimpin Umno-BN harus dipersalahkan kerana disebabkan mereka, kuasa raja-raja Melayu hilang dan dirampas oleh Umno-BN dengan meminda Perlembagaan mengikut selera politik mereka.
Dalam nada yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata apa yang berlaku di Johor merupakan perancangan Umno untuk memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat.
"Kalau kita lihat dari segi sejarah, yang menghina dan mengaibkan institusi raja pemimpin Umno sendiri. Merekalah yang sebenarnya sebelum ini menyerang institusi raja habis-habisan sejak daripada zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kedurjanaan mereka berterusan sehingga kini.
"Umno merupakan parti yang apabila mahu menggunakan institusi raja, mereka akan mengeksploitasinya semaksimum mungkin dan apabila hendak dihina, pemimpin Umno yang akan terdepan sekali menghina raja-raja Melayu seteruk-teruknya serta mendedahkan segala keaiban mereka di mata rakyat," tegas Syed Azman.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor, Datuk Chua Jui Meng mendakwa perbuatan memasang kain rentang provokatif yang membangkitkan kemurkaan Sultan Johor didalangi oleh seorang bekas Menteri Besar negeri itu daripada Umno-BN.
Jui Meng membidas pihak terbabit yang dianggap mempunyai niat jahat dan ingin membelakangkan Undang-undang Tubuh Negeri Johor yang hanya membenarkan orang Melayu dan beragama Islam sahaja menjadi Menteri Besar.
Dalam pada itu, beliau menganggap tindakan melaga-lagakan KEADILAN dengan Sultan Johor sebagai fitnah yang gagal.
0 Komen pengunjong :