KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara maksimum lima tahun terhadap Raja Mohammad Faizal Raja Ibrahim dan adiknya Raja Mohammad Idzham setelah didapati bersalah membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati.
Hakim S M Komathy Suppiah bagaimanapun membenarkan kedua-dua tertuduh untuk membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.
Komathy berkata, Mahkamah memberi tempoh sehingga Isnin ini untuk kedua-dua tertuduh menfailkan rayuan dan meminta wang jaminan ditambah dari jumlah RM10,000 menjadi RM20,000 sementara menunggu keputusan rayuan Mahkamah Tinggi.
Sebelum itu, peguam Datuk Hanif Hashim meminta mahkamah mengurangkan hukuman kerana kedua-dua tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah dan berasal dari keluarga yang sederhana.
"Saya merayu mewakili anak guam saya untuk mahkamah mengurangkan hukuman kerana kedua-dua masih muda dan baru bekerja," kata Hanif.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi menyelar rayuan itu dengan berkata, mahkamah tidak perlu membezakan usia terhadap kesalahan yang dilakukan kerana kedua-dua tertuduh telah matang.
Hakim Komathy seterusnya mengingatkan bahawa mahkamah sentiasa peka terhadap kesalahan jenayah terutama melibatkan kebakaran dan menyentuh soal agama kerana ia mampu mewujudkan perbalahan perkauman yang boleh memudaratkan.
"Mahkamah ingin tegaskan kepada orang ramai bahawa mahkamah tidak akan memandang ringan terhadap kesalahan berkaitan agama yang melibatkan rumah ibadat sebagai sasaran serangan.
"Hukuman yang dinyatakan hari ini akan memberi panduan dan teladan kepada semua pihak supaya sentiasa menghormati agama lain sebelum melakukan sebarang tindakan" katanya.
0 Komen pengunjong :