Perwakilan MIC: Ibrahim Ali, Perkasa keterlaluan ugut semua orang

KUALA LUMPUR, 11 Julai — Buat julung kali nama Datuk Ibrahim Ali dan Perkasa pimpinannya menjadi sasaran perwakilan MIC — pertubuhan bukan kerajaan Melayu muda itu disifatkan sebagai punca perbalahan di kalangan rakyat pelbagai kaum.
Sehubungan itu, perwakilan MIC juga mendesak pihak berkuasa agar mengawal pertumbuhan dan perkembangan Perkasa itu dari awal-awal lagi supaya tidak menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara dan keharmonian pelbagai kaum.
“Sekarang kita dengar ada satu pertubuhan baru namanya Perkasa Setia, diterajui oleh Datuk Ibrahim Ali... dia seorang yang lompat dari Barisan Nasional macam katak... siapakah dia Ibrahim Ali (gambar) untuk nak ugut mereka yang memberi pandangan (tentang orang Bumiputera dan Melayu),” kata perwakilan dari Batu Gajah S. Pulligessu ketika membahaskan ucapan dasar presiden pagi ini.
Katanya, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini tidak ada kuasa untuk meminta kerajaan menarik balik kewarganegaraan seseorang yang memberi kenyataan mengenai kaum Melayu dan Bumiputera.
Perwakilan itu menambah, Perkasa diperluaskan di peringkat negeri dan bahagian tetapi tindakan mereka sejak kebelakangan ini seolah-olah mahu mengganggu-gugat keharmoniam kaum negara ini.
“Mereka seolah-olah mahu mengancam orang lain,” katanya lagi.
Malah perwakilan itu menuduh ada pihak dalam kerajaan yang ‘bekerjasama’ dengan Perkasa meneruskan perjuangan mereka yang mencetuskan rasa tidak senang di kalangan rakyat.
“Kita tahu bahawa ada beberapa individu penting dalam kerajaan yang memberi sokongan kepada pertubuhan itu,” katanya.
Perkasa yang berusia dua tahun ditubuhkan untuk menyediakan landasan bagi kaum peribumi untuk menegakkan hak-hak mereka tanpa mengira fahaman politik selepas keputusan pilihan raya umum ke-13.
Perkasa akan bertindak sebagai badan berkecuali untuk menangani isu-isu semasa yang membabitkan pribumi seperti soal kontrak sosial, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Antara yang menjadi kritikan Perkasa baru-baru ini ialah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatannya dari MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dalam isu biasisawa Jabatan Perkhidmatan Awam.
Dalam pada itu, perwakilan Ramasamy dari Labuan pula berkata, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selaku negarawan seharusnya menggalakkan dan memberikan semangat “bangkitlah” kepada semua rakyat jelata tanpa mengira kaum.
Dr Mahathir, bekas presiden Umno, dilihat seringkali mengatakan bahawa orang-orang Melayu seharusnya bangkit untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa.
“Dr Mahathir selalu mengatakan bahawa orang Melayu mesti bangkit, tetapi Dr Mahathir merupakan seorang pemimpin yang bertaraf negarawan.
“... oleh itu beliau harus meminta rakyat semua kaum bangkit, bangkitlah Kadazandusun, bangkitlah India, bangkitlah Malaysia... semua mesti buat lebih baik berbanding kaum Cina, belajar daripada negara-negara lain, dari negara sebelah Timur, belajar daripada Amerika dan sebagainya,” kata beliau dalam ucapan perbahasannya.
Sejak kebelakangan ini Dr Mahathir dilihat memberi pandangan-pandangan yang menyuarakan kepentingan orang Melayu semata-nmata dan oleh itu, sesetengah pihak menganggap beliau sebagai rasis’.
Bulan lalu, Dr Mahathir beberapa kali mendakwa orang Melayu negara ini akan dipinggirkan dalam kuasa politik, sekali gus menjadi kuasa minority sebagaimana disaksikan di Singapura.
Beliau memberikan pandangan yang sama ketika berucap pada program Melayu Bangkit anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) di Kuala Terengganu.

- TMI

0 Komen pengunjong :