KDN belum putuskan pembaharuan permit Suara Keadilan


KUALA LUMPUR, 4 Julai — Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum membuat keputusan berhubung permohonan pembaharuan permit penerbitan Suara Keadilan. Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Datuk Zaitun Ab. Samad hari ini menjelaskan dalam satu kenyataan bahawa KDN sedang meneliti dan mempertimbangkan permohonan pembaharuan permit penerbitan itu.


“Kementerian masih belum membuat sebarang keputusan mengenai permohonan tersebut,” katanya.
Katanya kenyataan yang mengatakan kementerian telah menggantung permit penerbitanSuara Keadilan adalah tidak benar dan tidak berbangkit sama sekali. Beliau berkata keputusan berhubung pembaharuan permit itu hanya akan dibuat setelah mendapat penjelasan yang memuaskan daripada pihak penerbitan Suara Keadilan.


Zaiton juga memaklumkan bahawa permit penerbitan Suara Keadilan telah tamat tempoh sah laku pada 30 Jun lalu dan permit yang diberikan sebelum ini adalah bagi tempoh satu tahun iaitu dari Julai 2009 hingga 30 Jun lalu.
Laporan sebelum ini menyebut bahawa KDN memutuskan untuk tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan yang tamat akhir bulan lepas setelah tidak berpuas hati dengan penjelasan sidang redaksi penerbitan itu berhubung beberapa perkara.


Antaranya, pihak KDN dilaporkan tidak berpuas hati dengan penjelasan editor akhbar berkenaan Dzulkarnain Taib, berhubung penyiaran artikel bertajuk Felda Bankrap.


- Bernama

0 Komen pengunjong :