Showing posts with label Khir Toyo. Show all posts

Khir Toyo tidak akan bertanding PRU-13

KUALA LUMPUR — Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo hari ini mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
Dr Mohamad Khir, anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang sejak 1999, memberitahu Bernama: “Saya mahu menumpukan kepada keluarga saya dan berehat. Tidak ada alasan lain.”
Doktor gigi itu juga berkata beliau tidak lagi mahu dicalonkan kerana kes mahkamahnya berhubung pembelian sebuah rumah di Seksyen 7, Shah Alam, bernilai RM3.5 juta.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Dis tahun lepas telah menjatuhi hukuman penjara setahun ke atas beliau yang didapati bersalah, dan kes itu kini di peringkat rayuan.
Dr Mohamad Khir menjawat jawatan sebagai Menteri Besar apabila kerajaan negeri Barisan Nasional negeri itu tewas kepada gabungan parti PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU 2008.
Beliau berkata soal calon DUN Sungai Panjang akan diserahkannya kepada Umno Bahagian Sungai Besar.
Ditanya sama ada keputusannya untuk mengundur diri dari bertanding itu direstui oleh anggota bahagian dan juga masyarakat di kawasan yang diwakilinya, beliau berkata perkara itu boleh diselesaikan.
“Kita boleh pujuk mereka untuk menyokong calon baharu, itu tidak jadi masalah,” kata Dr Mohamad Khir, yang merupakan menteri besar Selangor yang termuda iaitu berusia 35 tahun pada masa dilantik memimpin negeri itu pada 18 Ogos 2000.
.
Seterusnya >>>

BN tidak popular dikalangan pengundi muda


SHAH ALAM, 9 April — Pentadbiran Najib harus menarik pengundi muda kerana pemberian wang tunai daripada kerajaan tidak memberikan kesan kepada mereka, kata Dr Mohd Khir Toyo.
Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata pemberian wang tunai itu memang mewujudkan “rasa senang” rakyat Malaysia, namun ia hanya dirasai oleh mereka yang berumur 50 tahun ke atas. Tawaran yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah turut memberikan tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional.
Khir turut memberi amaran kerajaan BN mempunyai tugas sukar — bagaimana hendak menarik perhatian mereka sedangkan pengundi lingkungan 21-30 dan 30-50, sudah “muak dengan politik”.
“Rasa senang itu ada namun terhad kepada pengundi berusia 50 tahun ke atas ... mereka sudah sememangnya menentukan siapa yang akan mereka undi.
“Mereka berusia lingkungan 30 ke 50 masih belum membuat keputusan, tapi lebih bahaya adalah mereka yang berumur 21-30 yang tidak minat politik,” katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temuramah eksklusif baru-baru ini.
“Saya beritahu perdana menteri, (Datuk Seri Najib Razak) pengundi 21 ke 30 tahun adalah masalah. Mereka tidak menikmati faedah daripada BR1M ... bagaimana hendak menarik perhatian kumpulan ini,” kata Khir merujuk kepada Bantuan Rakyat 1 Malaysia.
Najib telah mengumumkan sejumlah RM500 untuk isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dalam pembentangan belanjawan Oktober lalu, bagi mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup.
Pemberian wang tunai besar-besaran itu dianggarkan diterima oleh 5.3 juta isi rumah dengan kos RM2.3 bilion. Perdana menteri bulan lalu menjelaskan 80 peratus, atau 3.74 juta daripada 4.78 juta isi rumah memohon untuk BR1M sehingga pada 1 Mac, menjadikan sejumlah RM1.92 bilion sudah diserahkan.
Bukti kurangnya sokongan terhadap BN jelas Khir adalah “tidak semua belia” menyokong sayap pemuda parti Pemuda Umno.
Tambah Khir, walaupun pemberian-pemberian daripada kerajaan “diterima”, pengundi muda mahukan penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah peningkatan harga barang.
“Pengundi muda professional berumur 40 dan ke bawah adalah kumpulan kritikal, mereka semakin muak, kerana kita menghadapi banyak sangat masalah ... Lebih-lebih lagi perbezaan pendapatan dengan kos kehidupan.
“Tiada penyelesaian mutlak diberi pemimpin kedua-dua parti, Pakatan Rakyat atau kerajaan,” tambahnya dan menjelaskan janji Anwar untuk menurunkan harga minyak jika PR memerintah.
“Sekiranya Anwar kata beliau akan turunkan harga minyak, saya tidak rasa harga gula akan turun, roti canai tidak akan turun.
“Sesetengah isu yang perlu diambil berat adalah perkhidmatan awam yang murah ... saya tahu Transit Aliran Deras (MRT) sedang dalam pembinaan tapi dalam tempoh interim, apa tindakan yang dibuat untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam?” soal Khir.
Adun Sungai Panjang ini menjelaskan beliau kerap berjumpa pengundi muda dan kebanyakan merek sudah jelik deng, politik dan ahli politik kedua-dua belah pihak dan perpecahan politik ini memusnahkan mereka.
“Masyarakat semakin muak,” katanya sebelum menamatkan sesi temuramah berkenaan.
BN menghadapi pilihan raya terburuk pada 2008 apabila hilang lima negeri kepada Pakatan Rakyat termasuk kehilangan dua per tiga majoriti di Parlimen.
Namun begitu, Perdana Menteri Najib memperlihatkan beliau akan melaksanakan pilihan raya dalam masa terdekat, ditambah keyaki,an yang tinggi terhadap BN. The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya hanya akan dibuat awal Jun dengan Parlimen dijangka akan dibubarkan pertengahan Mei depan.
Seterusnya >>>

Lima negeri ‘dalam bahaya’ - kata Khir Toyo


KUALA LUMPUR, 30 Mac — Bekas Jawatankuasa tertinggi Umno Dr Mohd Khir Toyo telah menyenaraikan lima negeri yang mungkin sukar untuk Barisan Nasional (BN) mengekalkan kedudukannya dalam pilihan raya akan datang, kerana formula lama yang digunakan untuk meraih undi tidak lagi berkesan.
Antara negeri yang dinamakan Khir adalah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, dan juga Kuala Lumpur, yang mana jumlah pengundinya tidak mempunyai perbezaan ketara antara Melayu dan bukan Melayu.
“Ini adalah negeri yang sukar, Penang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah, jika kita lihat pengundi di sini, bilangan pengundi bukan Melayu adalah lebih kurang sama dengan pengundi Melayu, jumlah mereka tidak banyak berbeza.
“Negeri-negeri ini dalam bahaya,” kata Khir kepada The Malaysian Insider dalam temuramah eksklusif minggu lalu.
Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata sementara Melayu masih lagi menyokong Umno, kebanyakan sokongan tersebut adalah daripada kumpulan pengundi di kawasan luar bandar, sementara pengundi “bandar” akan mengundi untuk Pakatan Rakyat (PR).
“Bukan kerana pembangkang bagus. tidak, mereka banyak kelemahan. Adakah mereka menunaikan janji mereka? Tidak.
“Namun pengundi bandar adalah sangat berbahaya di negeri-negeri ini. Masalahnya adalah menjadikan Umno terlalu dominan ... mungkin akan hilang negeri ini,” katanya.
Sementara Umno melakukan segala tugas BN akan menjadikan pengundi bukan Melayu seperti tidak berkuasa akan menyebabkan kurangnya sokongan kepada kerajaan.
“Saya belajar dari kesilapan saya. Menjadikan Umno terlalu dominan dalam BN adalah tidak baik. Kepimpinan negara perlu mempunyai strategi lain.
“Lihat PAS, mereka lebih berbahaya daripada Umno tapi bukan Melayu tetap menyokong mereka, kenapa? Kerana mereka tidak dominan dalam Pakatan,” tegas Khir.
Pemimpin Umno itu turut mengeluh kerana adalah sukar untuk mengukur sokongan terhadap BN daripada bangsa, dan menyalahkan parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan kerana tidak cukup agresif.
Isu lain menurutnya adalah masalah pertuturan antara pengundi bukan Melayu dan Umno.
“MCA, MIC sepatutnya turun padang dan bercakap dengan pengundi. Umno sudah lakukannya untuk Melayu.
“Bila Umno cuba untuk berkomunikasi dengan bukan Melayu, kadangkala berlakunya halangan dari segi bahasa, contohnya, di bandar, mereka bertutur menggunakan bahasa Inggeris, tapi sesetengah pemimpin Umno tidak dapat memahaminya,” tambahnya lagi.
Jalan penyelesaiannya menurut Khir adalah BN perlu “memperkukuh” MCA, MIC, dan Gerakan dengan membenarkan mereka mengumumkan projek-projek untuk komuniti mereka selain pengumuman di buat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pemimpin Umno itu menjelaskan komuniti bukan Melayu telah hilang “hormat” kepada pemimpin parti komponen BN kerana mereka dilihat tidak mampu untuk membantu komuniti mereka sendiri.
“Itu sebabnya sekarang kita perlu berikan lebih kuasa kepada MCA dan MIC. Pastikan presiden parti mereka mengumumkan peruntukan untuk sekolah, untuk komuniti mereka. Sekiranya kita hanya mengharapkan perdana menteri dan timbalannya, Umno akan dilihat terlalu dominan, dan masyarakat Cina akan hilang kepercayaan terhadap pemimpin mereka.
“Itu masalahnya sekarang, saya sering ingatkan sekarang kita perlu tingkatkan peluang kepada parti lain untuk membuat keputusan mereka dan berikan mereka peruntukan,” tegasnya.
Khir turut memuji pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era pemerintahan beliau sebagai perdana menteri, dan oleh sebab itu pemimpin seperti Datuk Seri S. Samy Vellu dan Tun Dr Ling Liong Sik dihormati.
“Kekuatan Umno sahaja tidak akan mampu untuk memperoleh undi bukan Melayu seperti mana dilakukan untuk Melayu. BN Selangor harus bertindak seperti BN, bukan Umno. Kita sekarang berada di peringkat akhir sebelum pilihan raya.
“Sebab itu Samy Vellu seperti raja untuk bangsanya, kerana beliau mengumumkan peruntukan, bukan Dr Mahathir. Suatu ketika dahulu, pemimpin parti komponen begitu dihormati dan sangat kuat kerana mereka turun padang dan memberikan pelbagai benda ... menteri sekarang tiada faktor ‘umph’. Cuba lihat (Datuk Seri) Liow (Tiong Lai) dan (Datuk Seri) Kong Cho Ha.”
Menurut Khir, masih belum terlambat untuk melaksanakan perkara itu, namun perubahan harus dibuat dengan segera bagi membolehkan bukan Melayu menyokong BN.
Seterusnya >>>

'Khir Toyo seolah-olah balas dendam pada Umno'


Penafian bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo bahawa beliau tidak terlibat menyerahkan konsesi air negeri Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) didakwa seolah-olah mahu membalas dendam kepada Umno.

Setiausaha politik kepada menteri besar Faekah Husin mendakwa, ini kerana Umno tidak melindunginya ketika dituduh di mahkamah - layanan yang didakwa berbeza dengan isu Pusat Fidlot Nasional (NFC).

"Khir kecewa perkara yang sama tidak dilakukan ke atasnya sebagaimana keistimewaan yang diperolehi Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam isu lembu- NFC," dakwa Faekah (kanan).

Khir kelmarin dilaporkan menafikan menyerahkan pengurusan air kepada SYABAS semasa menjadi menteri besar sebagaimana sangkaan ramai, sebaliknya ,menyerahkannya kepada kerajaan pusat bagi mengatasi krisis air Selangor sekitar 1997 dan 1998.

Tambahnya, beliau tidak terlibat kerana Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang memberikan kontrak 30 tahun kepada Puncak Niaga Sdn Bhd yang kemudiannya melantik SYABAS menguruskannya, lapor sebuah portal berita.

Beliau menjelaskan, kerajaan BN Selangor menyerahkan projek bekalan air kepada kerajaan pusat kerana tidak mampu menguruskannya ekoran krisis air membuatkan Selangor perlu membina empangan di Kuala Kubu Baru bernilai RM2.4 bilion.

Dalam kenyataannya semalam, Faekah juga berkata, kenyataan Khir itu membuktikan beliau tidak layak dan gagal selaku menteri besar atas sikap menuding jari terhadap orang lain.

"Sebagai bekas pemimpin nombor satu di negeri Selangor, Khir sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan SYABAS menguruskan perkhidmatan pembekalan air dengan baik seperti yang dipersetujui dalam perjanjian bersama," katanya.

Menurut Faekah lagi, Khir terlupa perjanjian yang ditandatangani pada 2004 antara tiga pihak dan kerajaan negeri turut terlibat bersama kerajaan pusat dan Puncak Niaga.
Seterusnya >>>

Program Najib, Muhyiddin gagal rampas Selangor

SHAH ALAM: Dr Mohd Khir Toyo meramalkan peluang BN untuk merampas Selangor dalam pilihan raya umum ke 13 adalah 50-50.
Bekas menteri besar Selangor itu mendakwa pegundi bukan Melayu belum kembali kepada BN ekoran komponen penting gabungan itu- Umno lebih cenderung untuk mendapatkan pengundi Melayu sahaja.
“Program turun padang Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya untuk mendapatkan semula pengundi Melayu.
“Di Selangor yang buat program ialah Umno tetapi MCA dan MIC tidak buat. Akibatnya, pengundi bukan Melayu belum kembali menyokong BN.
“Saya juga nampak perkauman masih berlaku kerana ketiga-tiga parti itu membuat program berdasarkan kaum. Kalau program Umno,  orang Umno berucap, orang Umno hadir. Kalau MCA buat untuk MCA, begitu juga MIC,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam.

52 peratus pengundi bukan Melayu
Beliau berkata, BN tidak boleh menang jika mengharapkan pengundi Melayu sahaja kerana 52 peratus jumlah pengundi Selangor adalah bukan Melayu.
Dr Khir berkata, beliau telah membuat perkara yang sama seperti dalam pilihan raya umum 2008 dan keputusannya pengundi bukan Melayu menolak BN.
“Ini kesilapan pada 2008. Umno membuat  program tetapi komponen BN tidak melakukan seperti yang kita (Umno) buat. Hasilnya orang Melayu mengundi kita tetapi orang Cina dan India mengundi Pakatan Rakyat,” katanya.
Dr Khir merujuk kepada pelbagai program turun padang yang dibuat oleh Najib  dan Muhyiddin  untuk merampas semula Selangor setiap bulan di negeri itu.
Adun Sungai Panjang itu berkata, program Najib dan Muhyiddin itu itu hanya menarik sokongan pengundi veteran iaitu yang berumur 50 tahun dan ke atas.

Pusingan akhir
Katanya, ini tidak memberi faedah kerana pengundi berusia sudah membuat pilihan parti mana yang mahu dipilihnya.
“Kena buat untuk kumpulan umur 21 hingga 30 tahun kerana golongan ini tidak ada apa-apa keputusan tentang politik. Mereka mungkin telah mendaftar tetapi belum tentu keluar mengundi atau tidak daftar.
“Kena buat program dengan cepat dari sekarang kerana sudah berada di pusingan akhir sebelum pilihan raya,” tambahnya.
Mengenai kekalahan BN Selangor pada pilihan raya umum 2008, Dr Khir berkata, ia berpunca dari banyak faktor.
Bagaimanapun, bekas menteri besar Selangor itu menolak dakwaan tindakan beliau memberi penyapu kepada kaki tangan kerajaan sebagai faktor utama kekalahan BN.

Penyapu bukan sial
“Saya tidak percaya penyapu membawa sial. Pegawai sudah setuju, saya hanya jalankan tugas,” kata beliau.
Dr Khir berkata, antara isu nasional yang membawa kekalahan BN di Selangor ialah kelemahan kepimpinan negara, kenaikan harga minyak, tidak membayar bonus pekerja awam, isu ekonomi dan faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakala isu tempatan ialah perobohan kuil Hindu di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam yang mendapat bantahan masyarakat India.
Tetapi Dr Khir menjelaskan mahkamah mengeluarkan perintah membenarkan kampung itu dirobohkan.
“Pegawai MBSA yang merobohkan kampung itu hanya menjalankan arahan mahkamah,” katanya.
Seterusnya >>>

Khir Toyo didapati bersalah beli rumah dan tanah


SHAH ALAM, 23 Dis ― Dr Mohamed Khir Toyo didapati bersalah menggunakan pengaruhnya sebagai menteri besar untuk membeli kediaman mewah dan tanah sehingga potongan sebanyak RM3 juta lapan tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa RM3.5 juta yang dibayar oleh bekas menteri besar bagi hartanah itu adalah satu pertimbangan yang tidak wajar.
“Pembela gagal untuk mencetuskan keraguan munasabah,” kata hakim Datuk Ahmadi Asnawi.
Dr Khir dikenakan tuduhan menerima bagi diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, daripada Shamsuddin pada harga RM3.5 juta, lebih rendah dari harga RM6.5 juta yang dibayar Ditamas pada 2004.
Beliau dikatakan mengadakan transaksi itu dengan pengetahuan bahawa Shamsuddin mempunyai urusan dengannya dalam kapasiti rasminya sebagai menteri besar Selangor pada masa itu.
Adun Sungai Panjang itu dikatakan melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei, 2007.
Mengakui bahawa tuduhan pendakwa terhadap Dr Khir berkisar pada keterangan Shamsuddin, Kamarul Hisham berkata Shamsuddin telah gagal menunjukkan bukti yang beliau telah diarah oleh bekas menteri besar itu untuk membeli rumah mewah itu di dua plot tanah berkenaan pada 2004.
Seterusnya >>>

Mahkamah arah Khir Toyo bela diri


SHAH ALAM, 8 Ogos — Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo agar membela diri atas tuduhan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta daripada sebuah syarikat empat tahun lalu. Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian pagi ini selepas mendapati pendakwa telah membuktikan kes prima facie ke atas pemimpin politik itu.
Oleh itu, Dr Khir akan membela diri pada 26 September ini.
Mengikut pertuduhan, Dr Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn. Bhd. melalui pengarahnya, Shamsuddin.
Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Dr Khir, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Seterusnya >>>

Kes Khir: Saksi utama akui bohong kepada SPRM

SHAH ALAM – Saksi utama kes rasuah Dr Mohd Khir Toyo mengakui di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa dia telah berbohong kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua tahun lalu.
Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni berkata dia telah diminta berkata demikian kepada SPRM bahawa memutuskan untuk menjual rumah agamnya dan dua bidang tanah di Seksyen 7 di sini kepada bekas menteri besar Selangor untuk mengatasi kerugiannya.
“Terdapat perbezaan keterangan yang diberikan kepada SPRM sebelum ini. Yang pertama, sebelum ini saya katakan saya jual rumah tersebut bukan di bawah harga pasaran, tetapi saya akui bahawa saya jual di bawah harga pasaran. Yang kedua, dalam kenyataan saya sebelum ini, saya katakan Nasir dilantik oleh saya. Tetapi sekarang, saya ingin katakan ia dilantik oleh Datuk Khir.
“Yang ketiga, sebelum ini saya katakan saya jual rumah itu kerana ingin menampung kerugian saya, tapi sekarang saya katakan ia tidak benar. Saya jual kerana tiada pilihan,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed. Selain itu, ketika ditanya oleh Abdul Wahab mengapa memberikan keterangan yang berbeza kepada SPRM, Shamsuddin hanya berdiam diri.
Dalam pada itu, peguam bela Dr Khir, Kamarul Hisham Kamaruddin turut mempersoalkan keterangan berbeza Shamsuddin kepada SPRM.
Katanya, “kalau Datuk boleh tidak bercakap benar kepada SPRM tentang pelantikkan Nasir. Kenapa kita perlu percaya Datuk Shamsuddin disuruh membeli rumah tersebut oleh Datuk Khir?
“Ringkasnya, Datuk Khir menyuruh Datuk Shamsuddin membeli rumah itu adalah satu rekaan semata-mata seperti keterangan Datuk kepada SPRM pada tahun 2009?” soal Kamarul. Bagaimanapun ia dinafikan oleh Shamsuddin.
Katanya,”saya tidak setuju. Itu bukan rekaan. Datuk Khir (ada) menyuruh saya beli rumah.”
Dr Khir didakwa memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta daripada Ditamas.
Bekas menteri besar Selangor itu didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas melalui Shamsuddin.
Hartanah tersebut diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta daripada Saiful Aznir Shahabudin, pemilik hartanah itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai menteri besar Selangor pada ketika itu.
Shamsuddin pula didakwa bersuhabat dengan beliau untuk melakukan kesalahan tersebut di tempat dan masa yang sama.
Bagaimanapun, 6 Jun lalu pihak pendakwa telah menggugurkan tuduhan ke atas Shamsuddin.
Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Dr Khir yang menjawat jawatan menteri besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika disabit kesalahan.
Seterusnya >>>

Khir Toyo Pulang Gelaran Sebab Sudah Tahu Awal ?




SHAH ALAM 13 JAN : Tindakan Dr Khir Toyo memulangkan darjah kebesaran Selangor yang membawa gelaran Dato' Seri bukan disebabkan hormat tetapi beliau sebenarnya telah mengetahui pihak Istana akan menarik balik gelaran tersebut kata Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli.
Rafizi menerusi laman 'twitter'nya menulis 'Alkisah Khir Toyo pulangkan darjah kebesaran, dengar khabar sebab Istana sudah putus untuk tarik balik, tapi Datuk Khusrin Munawi maklumkan awal kepada Khir Toyo'.
Tindakan awal Khusrin ujar Rafizi mungkin sebagai ehsan kepada Khir dengan maklumkan awal-awal untuk menjaga air mukanya.
"Taat betul Khusrin kepada bekas Menteri Besar," tulisnya lagi.
Semalam, menerusi laman blognya, Khir berkata beliau telah telah menghantar surat kepada Sultan Selangor bagi memulangkan sementara pingat darjah kebesaran Selangor Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS).
"Surat tersebut dibuat berikutan kejadian saya didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam beberapa hari sebelumnya atas tuduhan salah guna kuasa.
'Pemulangan semula pingat ini bagi mengelak darjah kebesaran negeri turut terpalit dengan sebarang keaiban sepanjang pertuduhan dan perbicaraan yang akan berlangsung," tambahnya.
"Hari ini Dewan Diraja telah memperkenankan pemulangan semula pingat tersebut," kata Dr Khir yang turut melepaskan jawatan ketua pembangkang DUN Selangor baru-baru ini.
Dr Khir didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbicaraan kes rasuah terhadap menteri besar Selangor itu akan didengar pada 6 hingga 24 Jun ini.
Seterusnya >>>

BN kena belajar kesilapan ‘08, jangan perlekeh janji Pakatan

Datuk Seri Dr Khir Toyo yang dihadapkan di mahkamah dua minggu lalu, hari ini menasihatkan Barisan Nasional (BN) ambil iktibar kesilapan 2008 dan tidak memandang enteng janji Pakatan Rakyat – Program 100 Hari Buku Jingga yang diumum Ahad lalu.
“Saya memberi pandangan ini agar kita tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada 2008, yang mana saya sendiri tidak mengambil berat manifesto Pakatan ketika itu dan menyebabkan Selangor jatuh ke tangan Pakatan.
“Saya berharap pisang tidak berbuah dua kali,” kata bekas menteri besar Selangor ini dalam tulisan terbaru blognya.
Ia dlihat komen terbuka pertama seumama itu selepas beliau dihadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pertengahan bulan ini.
Dr. Khir, 45, didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah syarikat itu, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Sebahagian kandungan Buku Jingga Pakatan Rakyat ialah Program 100 Hari yang akan dilaksanakan jika memerintah kerajaan persekutuan.
Kata Dr Khir, sungguhpun sebahagian janji tersebut tidak realistik, namun terdapat janji-janji yang boleh mempengaruhi rakyat memberi undi kepada mereka terutamanya kenaikan gaji guru sebanyak RM500.
Dr Khir berkata, terdapat kira-kira 400,000 guru sekarang ini dan tidak mustahil sebahagian besar mereka akan menilai tawaran tersebut dengan serius.
“Ini kerana kebanyakan guru mempunyai pegangan politik yang agak bebas. Tidak ramai yang membuat keputusan menyokong mana-mana parti politik sejak awal lagi,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau kesal dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 seorang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis.
Dr Khir menambah, kenaikan kos sara hidup yang kian menjadi-jadi sejak wujudnya makmal rasionalisasi subsidi boleh menjadikan sebahagian besar rakyat menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat biar pun mereka mungkin tidak mampu melaksanakan sepenuhnya.
Pemimpin Umno percaya jentera kerajaan terutamanya menteri “jaga makmal” boleh memberi penjelasan yang logik, rasional dan sangat akademik kepada rakyat bagi menjustifikasikan kenaikan harga barang, petrol dan pengenaan pelbagai cukai termasuk kemungkinan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Saya juga percaya kerajaan mempunyai kebolehan untuk menjelaskan mengapa menteri ‘jaga letrik’ mengumumkan kerajaan bersetuju kenaikan tarif letrik tapi masa belum sesuai.
“Tentulah kerajaan juga mampu menjelaskan mengapa Tenaga Nasional Berhad bercakap soal kekurangan untung (bukan rugi) jika tarif tidak dinaikkan seolah-olah TNB ini berniaga menggunakan duit sendiri bukannya duit rakyat,” kata beliau.
Dr Khir mendakwa menurut sebahagian rakyat termasuk guru-guru yang menjadi sasaran kempen Pakatan Rakyat sekarang, “sekurang-kurangnya ada harapan dengan Pakatan Rakyat berbanding BN yang asyik bercakap soal mengurangkan subsidi dan menaikkan tarif, yang sekali gus menambah perbelanjaan dan hutang mereka.”
“Jadi, ketika kita boleh menjelaskan untung rugi, logik dan rasional setiap tindakan, namun yang jarang ditanya apakah keputusan dan penjelasan kerajaan mampu meyakinkan rakyat yang akhirnya akan diterjemahkan ke dalam peti undi dengan memberi undi kepada BN?
“Sungguhpun kita boleh mendakwa banyak janji Pakatan di Selangor belum tertunai, namun saya percaya ia akan mula dilaksanakan menjelang pilihan raya akan datang bagi menggula-gulakan pengundi,” katanya.
Malah Dr Khir juga berkata, tidak mustahil pada tahun hadapan kerajaan negeri Selangor akan mengurangkan cukai pintu premis kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai pintu premis perniagaan sebanyak 10 peratus seperti yang dijanjikan dalam manifesto mereka sebelum ini.
“Ini akan memberi ‘pukulan hebat’ kepada BN,” katanya lagi.
Beliau juga berkata, masalah BN lebih besar daripada Pakatan Rakyat.
Oleh itu, katanya, BN sebagai pemerintah tidak boleh berjanji, sebaliknya perlu melaksanakan kerana ia memegang tampuk pemerintahan.
Tegas beliau, majoriti rakyat tidak meminta “bulan dan bintang” seperti dalam janji-janji Pakatan Rakyat.
“Namun rakyat juga tidak boleh terus memberi sokongan kepada kerajaan yang tidak boleh memberi mereka apa-apa harapan,” katanya.
Dr Khir menjelaskan BN harus datang dengan pelan yang meyakinkan majoriti rakyat.
“Kalau pun tidak seindah Pakatan, namun pelan BN jika baik dan cantik ia boleh mendapat kepercayaan rakyat kerana kemampuan BN telah terbukti,” katanya lagi.

-/ MalaysiaInsider
Seterusnya >>>

Khir Toyo digantung dari semua jawatan parti

khir toyo interview 150910Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri, Dr Mohd Khir Toyo telah digantung dari semua jawatan parti yang dipegangnya selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah minggu lalu.

Setiausaha agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor berkata
tindakan tersebut tidak ada hubungannya dengan pertimbangan kepentingan politik BN, tetapi ditetapkan dalam perlembagaan parti.

Akhbar Sinar Harian melaporkan beliau berkata, sesiapa sahaja yang didakwa atau menunggu kes mahkamah, akan digantung jawatannya dalam parti, seperti yang dilakukan sebelumnya.

Menurut Tengku Adnan, yang juga ahli parlimen Putrajaya, tindakan serupa telah diambil terhadap ahli Umno yang lain pada 2009, dan walaupun mereka kemudian didapati tidak bersalah, kedudukan mereka tidak dikembalikan.

Menurut Sinar Harian lagi, Khir, yang juga ADUn Sungai Panjang, menerima surat dari ibupejabat Umno berhubung penggantungannya itu pada 8 Disember - dua hari selepas dia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah berhubung penjualan tanah yang menjadi tapak rumah mewahnya.

Sambil menyifatkan keputusan parti itu sebagai "prosedur biasa", Khir
berkata, beliau akan mematuhi keputusan penggantungan tersebut, tetapi akan terus memberi bekerjasama, sumbangan dan menawarkan perkhidmatan untuk bahagiannya yang kini dipangku oleh timbalannya, Datuk Ramli Norani.

Katanya, penduduk Sungai Panjang tidak perlu bimbang kerana beliau akan memenuhi tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Yang penting, katanya, usaha BN untuk merampas semula kerusi DUN Sekincan diteruskan.

Khir yakin Ramli akan dapat meneruskan aktiviti yang telah dirancang sebelum ini.

Ramli, 63, sebelum ini merupakan bendahari Umno bahagian Sungai Besar (2004-2009) sebelum menang jawatan timbalan ketua bahagian.

Semalam, sekumpulan kira-kira 200 pemuda dilapor menubuhkan Gagasan Bertindak DUN Sungai Panjang (GABUS) sebagai tanda sokongan kepada Khir dan Umno bahagian Sungai Panjang.

Diketua oleh Mohd Safar Abdullah, mereka menyerahkan memorandum sokongan kepada Khir yang dikatakan telah ditandatangani oleh lebih 300 "pengundi musa".

Safar berkata, GABUS mengutuk tindakan pihak-pihak tertentu untuk mengganggu keharmonian dan perpaduan umno bahagian Sungai Panjang.
Seterusnya >>>

SPRM dijangka dakwa Khir Toyo


KUALA LUMPUR, 6 Dis — Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo akan dikenakan tuduhan di Shah Alam hari ini berhubung isu pembelian dua lot tanah, dipercayai untuk tujuan pembinaan rumah banglo ketika menerajui kerajaan negeri.
Beliau dijangka akan tuduh membeli dua lot tanah pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran.
Turut akan didakwa ialah seorang ahli perniagaan yang bersubahat dengan beliau.
Kedua-dua mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen, Shah Alam.
Difahamkan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail sendiri akan memfailkan tuduhan ke atas kedua-dua mereka.
Dua tahun lalu Dr Khir didakwa oleh Pakatan Rakyat membina “istana” di Seksyen 7 Shah Alam bernilai RM23 juta.
Sebelum ini, ADUN Sekincan Ng Suee Lim mendakwa anggaran kos pembinaan rumah di kawasan seluas 50,000 kaki persegi atau 0.5 hektar itu, ialah RM20 juta, manakala tanahnya dibeli dengan harga RM3.8 juta.
Difahamkan tanah itu bernilai RM6.5 juta.
Rumah tersebut terletak di Jalan 1/7L di Seksyen 7, Shah Alam.
Pertengahan tahun lalu, Ng menunjukkan bukti bahawa Dr Khir, 45, dan isterinya Zahrah Kechik, 45, memberi secara bersama tanah tersebut dari Ditamas Sdn Bhd pada 2007.
Dokumen itu menunjukkan bahawa seorang pengarah Ditamas — yang dikenali sebagai Shamsuddin Hayroni — didakwa Ng sebagai kawan Dr Khir.
Sambil menggelarkan rumah tersebut sebagai “istana bergaya Bali”, Ng berkata, pakar industri pembinaan menganggarkan kos pembinaan dan kelengkapan rumah tersebut ialah kira-kira RM20 juta.
Seterusnya >>>

Khir tak minat jadi MB lagi ....... Memang patut Pun!!!

Datuk Seri Dr Khir Toyo berkata beliau tidak lagi berminat untuk kembali menjadi menteri besar Selangor. Sebaliknya beliau menyarankan supaya jawatan berkenaan diserahkan kepada pemimpin yang lebih layak di kalangan BN, sekiranya mereka berjaya merampas semula negeri itu.
Khir memberi alasan, beliau tidak mahu mewarisi masalah-masalah yang berlaku di negeri itu selepas Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan di Selangor.

Masalah ini “sangat teruk” dan tidak dapat dipulihkan dalam jangka masa singkat, katanya.

“Untuk dapatkan semula kita punya pentadbiran akan jadi sukar dalam keadaan sekarang. Ekonomi teruk, pembangunan tak berlaku dengan baik,” katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Katanya lagi, beliau sememangnya tidak ada masalah untuk kembali menerajui negeri itu berdasarkan pengalamannya.

“Saya ingat bila saya masuk kerajaan negeri sangat teruk. Rizab (kewangan) tinggal RM200 juta. Semua (syarikat berkaitan kerajaan) GLC rugi. Saya berjaya menyelamatkan beberapa (syarikat). Pengalaman itu boleh bagitau orang lain, tak ada masalah,” katanya.
Semuanya skeptis

Katanya, tumpuan harus diberikan kepada timbalan pengerusi Umno Selangor Datuk Noh Omar dan juga bekas pemimpin PKR Senator Ezam Mohd Nor dalam usaha merampas semula negeri itu.

“(Pengikut saya) akan sedar bahawa dalam BN ini bukan ada seorang saja (pemimpin). Ramai lagi. Kita akan latih, akan didik pemimpin (lain),” katanya lagi.

Khir yang sebelum ini dilantik menteri besar pada usia 33 tahun itu berkata ramai pemimpin lain yang berkemampuan dan perlu diberi peluang seperti mana yang dinikmatinya sebelum ini.

“Masa saya jadi MB semuanya skeptis (bahawa) saya tidak dapat menjalankan tugas. Orang kata saya hanya akan jadi MB enam bulan saya, tapi saya bertahan selama lapan tahun,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Khir berkata beliau berasa bersalah dan bertanggungjawab atas kekalahan BN pada Mac 2008. Itulah yang menyebabkannya lebih menumpukan tugas sebagai wakil rakyat yang terabai sejak sekian lama.

“Bila kerajaan negeri jatuh, tentulah saya berasa bersalah. Tanggungjawab itu ada pada diri saya. Saya berjumpa dengan Datuk Seri Najib berkata saya tak nak tanggungjwab besar dan ingin dekatkan diri dengan penyokong-penyokong saya di kawasan.


“Bila saya jadi MB, saya jadi ADUN (selama) lapan bulan sahaja. Saya tak rapat dengan pengundi di kawasan. Saya rasa bersalah juga. Jadi tebus balik kesalahan saya. Dulu masa terbuang dekat kerajaan negeri sahaja. Jarang balik -- sebulan dua tiga kali sahaja. Balik pun tak lama.

“Rakyat merungut, nak jumpa wakil rakyat susah. Jadi saya ambil keputusan untuk mendekati mereka. Saya sangat gembira sekarang kerana saya boleh memahami masalah di peringkat akar umbi.
Ikut belakang
Tambahnya lagi, itulah juga juga menyebabkan beliau tidak meletakkan dirinya di barisan hadapan dalam kempen 'Selamatkan Selangor' yang dicanang sebagai kempen untuk merampas negeri itu kembali kepada BN.


“Bagilah orang lain ketuai, saya ikut daripada belakang saja,” katanya yang tidak merasakan bahawa dirinya dipinggirkan daripada menyertai program berkenaan.

Menjawab spekulasi berhubung ketidakhadirannya pada peringkat awal program berkenaan, Khir berkata beliau sememangnya dijemput untuk menyertai kempen itu.

“Kadang-kadang seminggu, dua minggu awal (jemputan). Tapi saya ada komitmen. Terus-terang saya katakan kalau ada program di bahagian, saya utamakan bahagian,” katanya lagi.

Khir turut menafikan tanggapan bahawa beliau merupakan satu liabiliti kepada BN memandangkan beliau masih berpengaruh di kalangan masyarakat.

“Bukan liabiliti. Saya tidak rasa begitu. Saya pergi ceramah pun orang masih dengar,” katanya dan menambah kerajaan Pakatan Selangor tidak perlu mengancam untuk mendedahkan isu-isu berkaitan dirinya sekiranya beliau merupakan satu bebanan kepada BN.
Politik budak-budak

“Kita bukan menyerang kerajaan negeri sebab hendak cari kelemahan, kita cuma buat teguran. Kalau dulu BN dianggap kerajaan yang angkuh, tidak dengar teguran saya ingat hari ini lagi teruk.

“Siapa tegur diancam, kita akan dedahkan macam-macam, macam politik budak-budak. Ini politik mafia. Saya nak tegur kerana pengalaman saya yang kita telah laksanakan dan kesilapan yang perlu diperbetulkan dan tidak diulangi,” katanya.


Khir juga berkata, beliau kini bukan siapa-siapa lagi di negeri itu, namun beliau tidak mahu dikatakan sebagai orang yang lupa kepada parti.

Beliau kini meletakkan nasibnya di tangan pemimpin parti, sama ada untuk bertanding di peringkat parlimen pada pilihan raya akan datang.

"Saya akan bersama dengan parti sampai bila-bila. Saya akan berkhidmat dengan baik kepada parti dan pemimpin.

"Saya tak ada masalah (jadi pemimpin biasa) sebab saya selalu beritahu diri saya satu hari saya akan turun. Jawatan ini takkan selama-lamanya.
Seterusnya >>>

Khir bertahan, gelar Pakatan 'mafia politik'

Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mempertahaan kenyatannya yang mengaitkan DAP dengan "samseng lombong pasir".

"Setahu saya, mereka perlu tunjukkan ketegasan dalam mengurus (isu) perlombongan pasir haram.

"Jika tidak, ia hanya menunjukkan mereka terlibat," katanya yang juga bekas menteri besar kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau juga tidak mengendahkan ancaman saman oleh parti itu, yang mencabarnya menamakan pemimpin DAP terbabit yang dikatakan mempunyai kaitan dengan samseng.

Katanya, oleh kerana kenyataan itu perkara kali dikeluarkan oleh ahli parlimen bebas Wee Choo Keong, bukan beliau seorang sahaja patut disaman.

"Jika mereka hendak ambil tindakan pada saya, mereka patut juga ambil tindakan padanya.

"Tetapi semua orang tahu siapa di belakang perlombongan pasir haram ini. Ia tidak mudah. Kenapa Ronnie Liu tiba-tiba melompat," kata Khir tanpa mengemukakan sebarang bukti.

Ronnie, exco Selangor yang bertanggungjawab terhadap kerajaan tempatan sebelum ini mengetepikan dakwaan Khir yang memetik kenyataan Wee.

Antara dakwaan itu, beliau mengadakan mesyuarat dengan samseng di pejabat exconya.
Seterusnya >>>

Selamat bersidang Khir Toyo

SHAH ALAM, 15 Julai  — Bekas menteri besar Datuk Seri Dr Khir Toyo mengakhiri hukuman penggantungan daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama setahun hari ini.
Ketua Pembangkang DUN dijadual kembali mengambil bahagian pada persidangan pagi ini.
“Saya gembira saya masih seorang anggota (Dewan) dan gembira kerana dapat hadir kembali di Dewan,” kata Khir kepada The Malaysian Insider malam tadi.
Dengan berakhirnya hukuman digantung daripada menghadiri sidang DUN selamat setahun, Khir berazam untuk terus bersuara bagi memperbaiki Selangor dan pentadbiran kerajaan negeri.
Khir telah digantung tahun lalu dan dilucurkan elaunnya oleh Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan berhubung kesalahan menghina DUN.
Pada 15 Julai tahun lalu, DUN Selangor meluluskan usul menggantung Khir selama setahun dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) lain selama enam bulan dengan keistimewaan kepada mereka dilucutkan.
Jawatankuasa itu sebelum ini telah mencadangkan Khir digantung daripada menghadiri sidang Dewan dan elaunnya dipotong selama setahun kerana kegagalannya menghadiri pendengaran awam Jawatan Kuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat)) mengenai Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis).
Jawatankuasa itu juga telah mencadangkan supaya empat Adun BN iaitu Datuk Marsum Paing (Dengkil), Datuk Warno Dogol (Sabak), Mohd Isa Abu Kasim (Batang Kali) dan Datuk Mohamed Idris Abu Bakr (Hulu Bernam) digantung daripada menghadiri sidang Dewan dan elaun dipotong selama enam bulan kerana didapati bersalah menghina Selcat di dada akhbar.
Ketika itu, Khir dalam ucapan perbahasannya mengenai usul itu sebelum melangkah keluar dewan berkata usul itu dibawa dan dibahaskan adalah bertujuan untuk menutup mulut pembangkang dalam Dewan.
Khir berkata walaupun Selcat dan jawatankuasa itu adalah jawatankuasa dewan tetapi kesalahan beliau tidak menghadiri pendengaran awam Selcat dan tindakan rakan-rakannya mengeluarkan kenyataan terhadap Selcat di akhbar tidak sepatutnya dianggap menghina Dewan.
Khir akan kembali ke DUN hari ini dalam persekitaran berbeza berbanding ketika setahun yang lalu.
Sidang DUN kali ini dijadual akan melantik seorang Adun BN selaku pembangkang sebagai ketua Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC).

- TMI
Seterusnya >>>

Khir Toyo Di Bidas

Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dibidas kerana membuat tafsiran ganjaran RM5,000 sebagai langkah kerajaan negeri mengambil sikap “lepas tangan” dalam membanteras curi pasir serta tiada kepercayaan kepada pejabat daerah.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kritikan-kritikan ketua pembangkang itu tidak memahami proses pentadbiran perlombongan pasir — baik yang dahulu atau yang baharu diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat selepas Mac 2008.

“Mungkin sebab itu beliau telah memberi maklumat yang salah dengan mendakwa bahawa pada 2007 beliau telah berjaya mengutip RM20.5 juta dari royalti pasir sedangkan laporan rasmi oleh Pejabat Tanah dan Galian mengesahkan hanya RM2.9 juta dikutip pada tahun itu,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini.

Katanya, ganjaran RM5,000 yang diberikan kepada pemimpin masyarakat dan kakitangan kerajaan yang berjaya membantu kerajaan negeri membanteras jenayah curi pasir adalah untuk melengkapi usaha penguatkuasaan pejabat daerah.

“Persoalan ketidakpercayaan kepada Pejabat Daerah yang mempunyai peranan utama dalam membanteras rasuah tidak perlu timbul kerana ganjaran ini adalah untuk menggalakkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Ketua Kampung membantu Pejabat Daerah dalam menangani kecurian pasir di tempat mereka,” katanya.

Nik Nazmi juga memberitahu sepertimana yang dimaklumkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tawaran ganjaran ini dibuat untuk memberi peluang kepada pemimpin masyarakat mengambil bahagian dalam menaikkan kutipan hasil perlombongan pasir.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa Kumpulan Semesta Sdn Bhd iaitu syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar tiada kuasa mengeluarkan.

“Sebaliknya, lesen dikeluarkan oleh Pejabat Tanah kepada Kumpulan Semesta yang kemudiannya membuat tender terbuka bagi memilih kontraktor yang akan melakukan kerja melombong mengikut lesen-lesen yang dikeluarkan.

“Kumpulan Semesta juga memantau untuk memastikan syarikat membuat pengisytiharan yang betul dan membayar royalti kepada kerajaan negeri,” katanya.
Nik Nazmi menambah, apa yang jelas kutipan royalti jauh lebih tinggi daripada kutipan melalui cara lama.

“Sebenarnya kerajaan terdahululah yang telah ‘lepas tangan’ dalam pengurusan dan pentadbiran perlombongan pasir sehinggakan banyak syarikat atau kontraktor yang tidak membuat pengisytiharan yang benar sehingga mengakibatkan negeri ini kehilangan royalti bernilai ratusan ribu ringgit,” katanya.

Beliau menjelaskan kerajaan terdahulu juga tidak pernah membuat apa-apa usaha dalam untuk membanteras jenayah curi pasir sehinggalah keadaan menjadi teruk pada masa kini.

“Dr Khir Toyo tidak pernah memanafaatkan potensi industri pasir di Selangor.

“Adalah tidak masuk akal apabila beliau tiba-tiba memperjuangkan isu ini sedangkan sebelum ini beliau tidak pernah melakukan apa-apa untuk meningkatkan sistem ketika beliau mentadbir Selangor,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri komited untuk membanteras jenayah curi pasir dan berharap rakyat terus memberi sokongan kerana royalti pasir dipulangkan semula kepada rakyat menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

- malaysia insider

Kembara Jr.......... Khir Toyo nampaknya nak tunjuk jaguh, apa yang kerajaan Selangor buat semuanya tak kena bagi dia. Apakah dia ingat semasa pemerintahannya segalanya sempurna? Kalau semuanya sempurna tak kan bermacam-macam isu didedahkan oleh kerajaan Selangor sekarang. 

Sepatutnya semasa beginilah dia melakukan muasabah diri, dimana silapnya, salahnya ataupun kelemahannya dulu. Kemudian perbetulkan mana yang perlu dibetul. Tetapi sayang, masih tidak sedar diri lagi.

Lawannn.....Tetappp.....Lawannn
Seterusnya >>>