Showing posts with label Kampung Baru. Show all posts

Kg Baru: MAS bantah akta baru, dakwa maklumat tak terperinci

KUALA LUMPUR, 25 Dis — Pengurusan Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru berkata agensi itu tidak berpuas hati dengan penerangan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berhubung Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 dua minggu lalu.
Ini kerana menurut Setiausaha Agong MAS Shamsuri Suradi, penerangan secara tidak terperinci mengenai rang undang-undang itu menyebabkan penduduk terutamanya pemilik dan pewaris tanah di kawasan itu terkeliru.
“Pemilik dan pewaris tanah di sini (Kampung Baru) keliru kerana penerangan yang dibuat itu tidak jelas.
“Kementerian perlu jelaskan perbadanan ini untuk apa? Apa matfaat kepada penduduk? Kementerian tidak boleh hanya terangkan secara terus sahaja.
“Penjelesan terperinci perlu dibuat, baru penduduk boleh faham. Kalau penduduk tak faham mereka akan ada persepsi yang berbeza,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Shamsuri juga mencadangkan agar perkataan “MAS” itu turut diletakkan sekali dalam Perbadanan Pembangunan Kampong Baru.
“Kita nak mesti ada perkataan MAS... kalau tidak, ikut perbadanan itu, MAS akan dibubarkan.
“MAS akan diletakkan di bawah Majlis Penasihat perbadanan ini, kita mahu MAS menjadi keutamaan,” katanya.
Pada 14 Disember lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah memberikan penerangan kepada kira-kira 300 penduduk terdiri daripada pemilik dan pewaris Kampung Baru.
Penerangan itu diadakan beberapa jami selepas rang undang-undang itu dibaca kali pertama di Parlimen. Ia dijangka baca kali kedua Mac depan.
Pertemuan itu melibatkan dua buah kampung iaitu Kampung Hujung Pasir dan Kampung Periuk.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Ahmad Phesal Talib, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Bakaruddin Othman dan barisan kepimpinan MAS.
Pertemuan dengan lima buah kampung lain dijangka akan diadakan awal tahun depan.
Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar. Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 orang.
Kampung Baru mempunyai tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.
Menurut Shamsuri, satu pertemuan dirancang untuk diadakan dengan ketujuh-tujuh ketua kampung di Kampung Baru malam tadi.
Namun Shamsuri bagaimanapun enggan mendedahkan tujuan pertemuan itu.
The Malaysian Insider difahamkan pertemuan itu diadakan untuk mendapatkan respons berhubung  Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru.
“Tunggulah kita adakan mesyuarat dulu, kemudian baru kita akan beritahu. Ada tiga isu yang utama dalam pertemuan,” kata Shamsuri.
Persatuan Pembangunan Kampung Baru sebelum ini melahirkan rasa tidak puas hati terhadap langkah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang membentangkan rang undang-undang itu terlebih dahulu di Parlimen.
Persatuan itu mendakwa pembentangan itu dibuat tanpa memberi penerangan secara terperinci mengenainya kepada mereka terlebih dahulu.

-/ TMI
Seterusnya >>>

Anwar minta Kg Baru jangan terpedaya janji manis BN

KUALA LUMPUR, 6 Julai — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru penduduk Kampung Baru di sini gar tidak terpedaya dengan janji manis ditawarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengetengahkan pelan untuk membangunkan kawasan eksklusif orang Melayu itu baru-baru ini.
Beliau berkata, penduduk jangan sesekali terperangkap dengan tawaran yang dibuat BN sehingga menyebabkan tanah di kawasan tersebut dijual untuk projek pembangunan.
Kata Anwar, sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin  pernah menyebut projek pembangunan di Kampung Baru dimajukan dengan pemilikan hartanah 60 peratus orang Melayu dan 40 peratus kaum lain, tetapi bila penduduk membantah cakap pula 100 peratus milik orang Melayu.
“Saya tanya kepada Lim Kit Siang (Penasihat DAP), adakah beliau berhasrat untuk memiliki tanah Kampung Baru?
“Beliau kata tidak, jadi saya nak tanya orang Cina pun tidak minta mengapa BN bersungguh-sungguh untuk memberikan 40 peratus hak kepada bukan Melayu?
“Apa punya otak orang BN, semua pikir duit sahaja. Ada tanah semua nak jual, jangan harap puak ini nak uruskan pembangunan Kampung Baru kerana nanti akibatnya macam cerita Pendekar Bujang Lapok RM40,000 untuk kamu, RM400 juta untuk aku (kerajaan BN),” katanya ketika berucap pada Forum Keamanan Gaza di Gombak dekat sini malam tadi.
Turut hadir dalam ceramah itu Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Pengarah Strategik PKR Tian Chua, Ahli Majlis Pimpinan PKR Datuk Dr Tan Kee Keong, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin, Timbalan Ketua AMK Fariz Musa dan sukarelawan Gaza Mustafa Mansur.
Forum anjuran AMK Wangsa Maju itu dihadiri kira-kira 500 orang.
Raja Nong Chik sebelum ini dilaporkan bercadang supaya pembangunan hartanah berdasarkan nisbah 60:40 antara Bumiputera dan bukan Bumiputera di kawasan itu.
Beliau berkata kerajaan tidak memaksa pemilik tanah Kampung Baru untuk menerima cadangan membangunkan hartanah berdasarkan kuota 60:40 bagi Bumiputera dan bukan Bumiputera.
Namun cadangan tersebut ditolak pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru yang bersetuju dengan cadangan pembangunan semula kampung itu yang akan mengekalkan 100 peratus hak milik Bumiputera.
Selain itu, Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru juga membantah cadangan tersebut.
Anwar mencadangkan supaya hal-hal berkaitan pembangunan Kampung Baru diserahkan kepada penduduk di kawasan itu yang dianggapnya layak untuk menguruskannya sendiri.
“Di Kampung Baru semua ada, kontraktor pun ada jadi mereka layak untuk menguruskan perancangan untuk pembangunan kawasan tersebut.
“Biar mereka buat sendiri, uruskan sendiri cara bagaimana mereka mahu membangunkan Kampung Baru. Selain itu mereka juga boleh lantik Dr Lo’ Lo’ Ghazali (Ahli Parlimen Titiwangsa) sebagai penasihat mereka,” katanya.
Kampung Baru mempunyai keluasan 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian yang dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Mac 2007 membabitkan 54.4 hektar, kadar yang ditetapkan bagi satu kaki persegi untuk tanah kediaman ialah antara RM270 hingga RM300 dan RM500 hingga RM600 untuk satu kaki persegi bagi tanah perdagangan.
Selain kerajaan BN, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim juga berhasrat mengemukakan cadangan pembangunan semula Kampung Baru memandangkan beliau telah merangka beberapa alternatif kepada Kerajaan Pusat berhubung pembangunan semula kampung berkenaan 15 tahun lalu.
Cadangan tersebut dikatakan mengambil kira semua isu yang terlibat terutama hak milik kekal orang Melayu, masalah pembahagian tanah serta mewujudkan pembangunan yang setaraf dengan kawasan berdekatan.

- TMI
Seterusnya >>>