Teruskan perjuangan wahai ayah!


Kini sudah lebih seminggu berlalu, Presiden Mesir Dr Mohamed Morsi dari Ikhwanul Muslimin digulingkan oleh pasukan tentera yang tunduk kepada telunjuk Amerika Syarikat dan Israel.
Rampasan kuasa ke atas kerajaan yang sah yang dipimpin Morsi yang memenangi pilihan raya mengikut lunas-lunas demokrasi ini menjadi satu lagi detik hitam dalam sejarah Mesir, bumi para anbiya dan juga terkenal dengan kisah Firaun.
Sehingga hari ini tidak nampak tanda-tanda keadaan yang bergolak di negara itu akan berakhir dan rakyat yang pro dan anti-Morsi terus berhimpun dan bertempur di sekitar Medan Tahrir.
Selama 60 tahun bumi Mesir terus bergolak dan tidak pernah aman.  Sejak Anwar Sadat menjadi presiden dan dasar kuku besi diteruskan oleh Hosni Mubarak, pemimpin-pemimpin yang mengikut perangai Firaun ini terus menekan rakyat dan mencabul hak asasi manusia.
Apa yang berlaku hari ini adalah kemuncak dari pertembungan di antara golongan yang berfahaman sekurisme (yang mengasingkan agama dan politik) dengan golongan yang mahu kembali kepada Islam dan ingin melaksanakan syariat Islam.
Ancaman besar
Kebangkitan dan kekuatan Islam merupakan satu ancaman besar bagi Israel. Maka kuasa Barat bekerja keras dan sedaya upaya mahu memastikan bahawa dasar luar Mesir mesti bersikap lunak dan tunduk kepada kehendak Barat, Amerika dan Israel.
Pergolakan yang berlaku hari ini secara terang-terangan akibat dari campur tangan Amerika yang memberi sumbangan kewangan kira-kira US$2 bilion setahun kepada negara itu dan sebahagian besarnya digunakan untuk membiayai pasukan tentera.
Kerajaan monarki Arab seperti Arab Saudi, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu secara terang-terang menyokong tindakan ketenteraan di
Mesir seperti mana mereka menyokong para pemberontak di Syria bagi menjatuhkan kerajaan Bashar al Assad.
Mereka bimbang ‘Arab Spring’ akan merebak ke negara mereka dan akhirnya menggulingkan kerajaan mereka yang pro Barat ini.  Jordan dan Turki turut menyokong tindakan tentera ini kerana kepentingan masing-masing.
Menurut ikhwanonline, portal berita rasmi Ikwanul Muslimin, anak Morsi, Osama Morsi menyifatkan tindakan tentera itu sebagai satu rampasan kuasa revolusi, rampasan terhadap demokrasi dan rampasan kuasa Perlembagaan dan kehendak rakyat.
Seruan kepada ayah
Ketika berucap di Dataran Rab’ah dan ucapan itu turut ditujukan kepada ayahnya, Osama berkata: “Sesungguhnya aku tujukan seruan kepada ayahku, bertahanlah wahai ayahku, teruskanlah langkahmu dan jangan sesekali tunduk dengan mereka yang zalim.
“Kami sekeluarga nazarkan dikau kepada tanah air ini, cukuplah Allah bagi kami, dan janganlah terbeban wahai Ayah terhadap dasar Revolusi kami.”
Beliau juga menyeru Pakatan Nasional untuk mempertahankan syar’iyyah: “Aku katakan kepadamu, wahai ayahku, jika kamu dapat mendegarku sekarang atau Allah pasti akan menyampaikannya kepadamu.
“Aku titipkan kepadamu salam wahai ayah, dan aku berikan penghormatan yang mulia kepada seluruh rakyat Mesir. Tetaplah atas jalan kamu.
“Dan dengan nama Allah janganlah takut kepada celaan orang yang suka mencela dan semoga Allah membantu kita memelihara revolusi ini dengan darah-darah kita”.
Teruskan perjuangan wahai ayah!
- See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2013/07/13/teruskan-perjuangan-wahai-ayah/#sthash.XIJtxZDF.dpuf

0 Komen pengunjong :