KUALA LUMPUR : Terlalu bergantung kepada laporan
TV3 dan
Utusan Malaysia
punca Ahli Parlimen BN tidak mendapat maklumat sebenar berhubung
kecurangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama semasa mengendalikan
Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Umum KEADILAN itu mengulas dakwaan Ahli Parlimen BN kononnya
kegagalan SPR hanya melibatkan penggunaan dakwat yang tidak kekal dan
tiada isu lain melibatkan badan itu.
“Ahli
Parlimen BN sering cabar selain dakwat kekal tiada isu lain yang
dibangkitkan Pakatan Rakyat melibatkan SPR kerana mereka hanya baca
Utusan dan tonton
TV3, sedangkan kalau teliti petisyen (pilihan raya) yang dikemukakan, banyak kes seperti pengundi hantu.
“Petisyen (Parlimen) Libaran misalnya menyebut secara khusus
(kewujudan) pengundi yang bukan warga negara dalam senarai (daftar
pemilih),” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu di Dewan Rakyat hari
ini.
Menurut Anwar, insiden blackout (lampu padam) semasa pengundian 5 Mei
lalu dan petisyen bantahan berhubung isu itu melibatkan Parlimen Baram
di Sarawak, DUN Klias, Sabah dan kawasan lain yang pernah didedah
Pakatan Rakyat dinafi SPR dan pemimpin BN.
“Begitu juga di Parlimen Tapah yang kini menjadi kes mahkamah.
Bagaimana SPR mengizinkan kakitangan Majlis Daerah mengangkut keluar
peti-peti undi dari lokap pada masa yang tidak dibenarkan.
“Manakala penipuan di Parlimen Balik Pulau, bilangan undi melebihi
jumlah kertas undi yang dikeluarkan. Sebanyak 700 kertas undi diterima
pegawai pengurus SPR sedangkan bilangan yang ada hanya 424, selain
Borang 14 menyebut 556,” kata Anwar lagi.
TV3 dan
Utusan tidak memberi peluang kepada Ketua
Pembangkang itu untuk diwawancara tetapi memberi temuramah khas kepada
SPR untuk menyerang Pakatan.
0 Komen pengunjong :