Jika 16:16, Speaker DUN Terengganu tiada kuasa penentu

Dr Dzul

KUALA BESUT, 15 JULAI: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak lagi mempunyai kuasa penentu (casting vote) apabila Pas memenangi pilihan raya kecil (PRK) N01 Kuala Besut.
Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan Pas, Dr Dzulkefly Ahmad berrkata, senario itu terjadi berikutan kedudukan 16 : 16 antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional.

“Speaker DUN Terengganu tidak ada kuasa (undi) penentu (casting vote) kerana bukan dipilih oleh rakyat.
“Dia dilantik oleh kerajaan Terengganu,” katanya dalam ceramah kelompok di Kampung Tok Saboh, 13 Julai lalu.
Bekas calon BN parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Zubir Embong yang tewas kepada calon Pas, Raja Kamarul Baharin dengan majoriti 10,785 undi dilantik sebagai Speaker DUN  Terengganu 16 Jun lalu.
Justeru kata Dr Dzulkefly, BN dilihat begitu terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat kemenangan dalam PRK Kuala Besut bagi mengekalkan majoriti dalam DUN Terengganu.
Sebelum ini, pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari berpendapat, Sultan Terengganu boleh membubarkan DUN sekiranya baginda tidak boleh memutuskan menteri besar yang sesuai  di negeri itu.
Katanya, Sultan boleh membuat keputusan itu sekiranya BN dan Pakatan Rakyat menguasai  jumlah kerusi sama banyak.
Dalam keadaan seperti itu, pelantikan menteri besar boleh diputuskan Sultan yang boleh menggunakan pertimbangannya sendiri.

0 Komen pengunjong :