Fitnah II: Anwar bantah rayuan diketuai peguam Umno

Anwar dalam satu ceramah di Kuala Besut semalam. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 22 Julai, 2013.

KUALA LUMPUR 22 JULAI: Pasukan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah perlantikan peguam pro Umno, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan bagi kes rayuan Fitnah II di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Menurut Anwar, notis bantahan diserahkan kepada mahkamah kerana jelas kes tersebut bermotif politik dan bertujuan menghentikan kegiatan politik beliau.
“Kita mempersoal kepentingan kerajaan dalam melantik Shafee yang jelas prejudis terhadap kes ini untuk mengetuai pendakwaan,” kata Ketua Umum KEADILAN itu kepada media.
“Dengan sikap prejudis Shafee mustahil kes ini ditangani secara profesional, kita faham mungkin kerajaan kekurangan peguam profesional untuk mengetuai kes ini,” sinis beliau.
Shafee sebelum ini mendapat kecaman pengguna internet kerana dikatakan merangka konspirasi dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memusnahkan imej Ketua Pembangkang itu.
Dalam pada itu, Anwar turut menyifatkan rayuan kes itu sebagai dendam kesumat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail serta Najib Razak , meskipun beliau dibuktikan tidak bersalah pada 9 Januari tahun lalu.
“Saya telah jelaskan bahawa rayuan ini adalah kerana dendam kesumat Peguam Negara dan keputusan kerajaan untuk meneruskan kes ini kerana Najib yang mahu menghalang kebebasan yang saya perolehi,” katanya.
Anwar diwakil peguam, Karpal Singh dan Ramkarpal. Bagaimanapun, Karpal tidak dapat hadir kerana sakit dan dimasukkan ke hospital. Mahkamah kemudiannya menangguhkan perbicaraan sehingga 1 Ogos 2013 untuk pengurusan kes dan menetapkan satu tarikh baru untuk perbicaraan.

0 Komen pengunjong :