PETALING
JAYA: Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk
Mat Zain Ibrahim hari ini menggesa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim agar mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Sumpah, lafaz dan tindak-tanduk beliau [Datuk Seri Najib] semenjak
memegang jawatan sebagai Perdana Menteri mengukuhkan lagi justifikasi
untuk usul undi tidak percaya terhadap beliau dibentangkan dalam sidang
Parlimen yang akan datang ini.
“Usul yang dicadangkan adalah di atas pertimbangan salah laku dan
ketidakpatuhan kepada peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara
dan bukan di atas pertimbangan politik,” katanya dalam surat terbuka
kepada Anwar.
Surat sama dihantar kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali
Hamsa, Peguam Negara Tan Sri Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan
Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau juga berpendapat bahawa kenyataan “tsunami Cina” yang
diutarakan Najib selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) tidak
sepatutnya dilafazkan oleh seorang Perdana Menteri berbilang kaum.
Tambah Mat Zain, Najib telah menghina Yang di-Pertuan Agong [Tuanku
Mizan Zainal Abidin] ketika upacara majlis mengangkat sumpah jawatan di
Istana Negara pada 3 April 2009 dengan menggunakan sumpah yang direka
sendiri.
‘Membelakangkan Perlembagaan’
“Tindakan Datuk Seri Najib sedemikian itu bukan sahaja membelakangkan
peruntukan Perlembagaan, bahkan beliau turut menghina kepercayaan YDP
Agong terhadap beliau,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya di hari pertama memegang jawatan tersebut
Najib telah sanggup berbohong di hadapan YDP Agong dan rakyat Malaysia,
maka apatah lagi, di hari-hari yang berikutnya.
“Justeru itu, beliau tidak layak melaksanakan fungsi jawatan Perdana
Menteri semenjak 3 April 2009 lagi. Sebarang perkara yang beliau lakukan
atas sifat seorang Perdana Menteri boleh dianggap sebagai tidak sah
kerana tidak mengikut sepertimana peruntukkan dalam Perlembagaan
Persekutuan,” katanya.
Menambah burukkan lagi, tambah Mat Zain, ialah apabila Najib
mengikrarkan dua afidavit di hadapan seorang Pesuruhjaya Sumpah pada 21
dan 23 Sept 2011, yang difailkan dan dikemukakan dalam Mahkamah Tinggi
berkaitan kes liwat yang kini berada di peringkat rayuan.
“Dalam affidavit-affidavit berkenaan, Datuk Seri Najib telah
mengikrarkan nama seperti yang terkandung dalam kad pengenalan beliau
sebagai Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Nama ini adalah bercanggah
dengan nama yang beliau lafazkan di hadapan YDP Agong ketika mengangkat
sumpah jawatan iaitu Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak,” katanya.
Tambah beliau, selain daripada percanggahan nama, Najib telah
mengikrarkan dua kenyataan mustahak berasingan yang boleh dibuktikan
sebagai kenyataan yang tidak benar atau palsu.
‘Keterangan palsu’
“Membuat kenyataan secara bersumpah yang tidak benar adalah sama dengan memberi keterangan palsu di mahkamah.
“Bukan sahaja beliau telah melakukan kesalahan jenayah terhadap
keadilan awam kerana membuat kenyataan bersumpah palsu, malahan beliau
turut boleh disifatkan sebagai telah mengingkari atau membelakangkan
hukum Islam,” katanya.
Tambah Mat Zain, keengganan Najib menjadi saksi dalam perbicaraan
yang dinyatakan di atas telah menyebabkan kedua-dua pihak yang menuduh
dan tertuduh tidak mendapat pembicaraan yang adil dan sempurna.
“Mengikut kefahaman saya, dengan sengaja mengelakkan diri daripada
menjadi seorang saksi yang adil adalah dosa besar, kerana boleh membawa
kezaliman kepada orang dituduh melakukan kesalahan,” katanya.
0 Komen pengunjong :