Perlukah saya tukar topik lain, daripada terus membincangkan isu
ketempangan sistem dan perjalanan pilihan raya di negara ini yang telah
berulangkali dibangkitkan? Mungkin ada pihak menganggapnya sudah sejuk,
malah basi, dan banyak lagi perbahasan penting yang perlu ditekankan,
termasuk menggariskan persiapan berdepan PRU14.
Ingin saya betulkan kemungkinan salah tanggapan. Saya mahu terus
melontarkan isu asas mengenai amalan demokrasi di negara ini bukan
didorong oleh kekalahan Pakatan Rakyat dalam PRU13. Semasa kes ini,
khususnya berkaitan Black 505, masih hangat diperkatakan (walaupun ada
yang melihatnya sudah suam-suam kuku), ibarat seterika yang masih panas,
usah dipesongkan perhatian masyarakat, terhadap isu-isu sampingan lain.
Tekanan agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan -
tidak terkecuali lima lagi anggotanya - harus terus ditingkatkan ke
tahap maksimum. Kempen "menghitamkan seluruh negara' sudah terasa
bahangnya. Ketujuh-tujuh mereka sudah tidak lagi mendapat kepercayaan
awam.
Dalih yang dikemukakan Abdul Aziz Mohd Yusof dan Wan Ahmad Wan Omar
ibarat menegakkan benang basah itu mesti disanggah dengan fakta dan
bukti kukuh yang meyakinkan publik. Tidak syak lagi, proses
persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003 jelas membuktikan
SPR adalah alat dan perkakas paling efektif untuk menjayakan kepentingan
politik Umno-BN. Begitu juga pandangan lazim dua orang kuat SPR itu,
yang jarang memperlakukan parti-parti Pakatan Rakyat sebagai pelanggan
mereka yang patut diraikan.
Saya menyokong penuh pandangan sarjana politik, Dr Agus Yusof, yang
menafikan dakwaan Wan Ahmad bahawa SPR telah menjalankan kerja dengan
baik dalam mengurus PRU13. "Pada saya SPR gagal... Saya yakin jika SPR
berjaya menjalankan tugasnya dengan baik tidak akan berlaku bantahan dan
perhimpunan 505. Jika sekadar menyediakan dakwat kekal pun gagal
dilaksanakan dengan baik, jika sekadar menyediakan daftar pemilih yang
bersih gagal dilaksanakan dengan baik, maka saya kira sudah sampai
masanya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan," kata
Agus dalam status Facebook, 9 Jun lalu.
Soalnya, apakah suara dan amarah rakyat itu dianggap tidak lebih
daripada "anjing menyalah bukit" sahaja? Tidak jauh bedanya dengan siri
perhimpunan Bersih dan Himpunan Kebangkitan Rakyat di ibu negara apabila
segala desakan dan tuntutan agar pilihan raya dijalankan secara bersih,
bebas dan adil langsung tidak dipedulikan.
Oops lupa... sebenarnya saya mahu tekankan bahawa keprihatinan saya
terhadap isu "menyediakan padang permainan sama rata dengan pengadil
yang adil" - lama sebelum Parlimen dibubarkan - bukan sangat berkaitan
kalah menang parti-parti yang bertanding tetapi didorong oleh hasrat
yang tinggi untuk melihat Malaysia berada dalam liga negara-negara
demokrasi divisyen A.
Sampai bila kita harus menyaksikan amalan demokrasi yang songsang,
tempang, berat sebelah dan memalukan ini berterusan? Sebagai pengamal
media, malu bukan kepalang dengan realiti kongkongan yang cukup dahsyat;
janji akses media seperti pembentangan manifesto melalui tv tambah
melucukan. Belum dikira bagaimana rasuah politik dihamburkan bagi
membeli undi orang susah. Usah disebut soal ugutan terhadap kakitangan
awam dan manipulasi segala kemudahan kerajaan berkempen untuk BN.
Saya risau, seperti desakan lain sebelumnya, kes Black 505 ini akan
surut dan akhirnya dilupakan, terutama selepas 22 Jun di Padang Merbok,
dan beransur-ansur menipis kehangatannya menjelang Ramadan. Malah,
sekatan melampau terhadap pengedaran Harakah pun seperti langsung tidak
dipedulikan sejak hari pertama lagi, walaupun hampir semua bersetuju
bahawa antara faktor utama kekuatan Umno-BN ialah media, 'kan?
Atas faktor itu, secara peribadi, saya lebih suka ahli-ahli Parlimen
Pakatan memulaukan majlis angkat sumpah, 24 Jun ini. Persetankan ugutan
dan gertakan tidak berasas Speaker, Pandikan Amin Mulia dan hebahan
media bahawa langkah itu menghina demokrasi, Parlimen, Agong, malah
boleh melucutkan keahlian.
Menurut Dr Agus: "Perintah Tetap 5(2) Peraturan-Peraturan Mesyuarat
menyatakan bahawa ahli yang belum mengangkat sumpah boleh menghadirkan
diri dalam sidang Dewan dan boleh mengangkat sumpah di bawah Peraturan
ini. Setiausaha Dewan Rakyat terikat untuk mengendalikan sumpah kepada
mana-mana Ahli Parlimen yang belum lagi mengangkat sumpah."
Bagi saya, ia salah satu langkah praktikal untuk menghidupkan terus
isu asas kepincangan demokrasi di Malaysia, dengan membangkitkan
kesedaran awam melalui polemik panas!
Maaf, kalau anda sendiri sudah bosan dengan leteran ini....
0 Komen pengunjong :