KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat terganggu mental dan bercelaru fikiran
kerana kesukaran memaksa Datuk Seri Najib Tun Razak berundur, kata Datuk
Mahfuz Omar.
"Apabila Dr Mahathir mendakwa himpunan-himpunan
memprotes pilihan raya adalah urusan orang-orang Cina atau kerja
orang-orang Cina, ia membuktikan bekas Perdana Menteri itu sangat
terganggu mentalnya kerana masih tidak dapat merealisasikan apa yang dia
mahu, iaitu memaksa Najib berundur.
"Penerusan kepimpinan Najib sangat mengganggu mentalnya," kata Mahfuz.
Keinginan Dr Mahathir supaya Najib berundur selepas pilihan raya mendapat liputan yang meluas sejak tahun lalu lagi.
Tahun
lalu, Dr Mahathir dilaporkan meminta pemimpin-pemimpin Umno di
negeri-negeri menangguhkan rancangan mereka untuk menjatuhkan Najib
sehingga selepas pilihan raya.
Bekas Presiden Umno itu meminta
mereka memberi tumpuan untuk memenangkan Umno dan Barisan Nasional (BN)
dahulu sambil menyarankan mereka bolehlah menggulingkan pemimpin mereka
selepas pilihan raya.
"Bagaimanapun pengaruh (isteri Najib, Datin
Seri) Rosmah di kalangan para pembesar Umno yang rata-rata mengalami
ketagihan projek menyukarkan malah mungkin menghalang impian Dr Mahathir
itu.
"Sebab itulah kenyataan dan tulisan beliau menggambarkan
tekanan dan gangguan ke atas mentalnya kerana Rosmah semakin terbukti
menjadi antara saingan yang sangat sukar beliau kalahkan," kata Ahli
Parlimen Pokok Sena itu.
Beliau juga menyifatkan percubaan Dr
Mahathir yang sangat lucu untuk memperkecil-kecil
perhimpunan-perhimpunan rakyat menentang kerajaan tipu pilihan raya
akhirnya akan memberikan gambaran positif terhadap
perhimpunan-perhimpunan tersebut.
"Dahulu, bila perhimpunan
seperti Bersih lebih banyak dihadiri oleh orang-orang Melayu, Umno
sendiri yang menuduh mereka menjadi alat Cina kerana kononnya
orang-orang Cinalah yang makan hasil dari perhimpunan-perhimpunan itu.
"Sekarang
bila ramai orang Cina menghadiri perhimpunan-perhimpunan menentang
pilihan raya tipu dan kerajaan pilihan raya tipu, Dr Mahathir tuduh pula
perkara itu akan mengakibatkan polarisasi kaum yang lebih serius," kata
Mahfuz.
Beliau menyifatkan apa yang ditulis oleh Dr Mahathir
dalam blognya itu hanyalah mainan perasaannya akibat tekanan dan
gangguan mental yang dihadapinya.
"Apa yang sebenarnya berlaku
ialah orang-orang Cina tidak mahu lagi ketinggalan menentang apa yang
meraka yakini sebagai pilihan raya yang tidak bersih, tidak adil dan
penuh penipuan," katanya.
Ia juga menunjukkan mereka semakin mahu
ke hadapan menentang pilihan raya tipu dan tidak mahu ketinggalan di
belakang orang-orang Melayu yang paling ramai dalam perhimpunan Bersih 1
umpamanya, kata Mahfuz lagi.
"Harap-harap MCA atau Gerakan tidak
pula menuduh orang-orang Cina yang meramaikan perhimpunan menentang
pilihan raya tipu itu menjadi alat Melayu kerana kononnya orang-orang
Melayulah yang makan hasil dari perhimpunan-perhimpunan itu," kata
Mahfuz sinis.
0 Komen pengunjong :