KUALA LUMPUR 7 Jun: Tindakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak mendakwa pimpinan Pakatan Rakyat di mahkamah sedikitpun
tidak menggentarkan mereka, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk
Saifuddin Nasution Ismail.
Malah
katanya, pimpinan Pakatan, khususnya dari KEADILAN semakin bersemangat
untuk terus berjuang menuntut pilihan raya bersih dan adil di negara
ini,
“Pendakwaan ini sekelumitpun tidak menggoyahkan pemimpin KEADILAN.
Sebagai parti reformasi, ini merupakan suatu latihan dan ujian
berterusan serta proses kematangan kepada pimpinan dan anggota kita,”
katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau mengulas tindakan penahanan beberapa pemimpin Pakatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 sejak mutakhir ini.
Hari ini, lima pemimpin Pakatan yang menuntut pembebasan aktivis
mahasiswa Adam Adli Abdul Halim disiasat polis mengikut seksyen 143
Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan rakyat.
Mereka ialah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan empat Ahli
Parlimen Gobind Singh (Puchong), Tan Seng Giaw (Kepong), Ng Suee Lim
(Sekinchan) dan Ronnie Liu (Pandamaran).
Kesemua mereka didakwa kerana hadir dalam acara nyalaan lilin pada 22
Mei lalu untuk menuntut pembebasan aktivis mahasiswa tersebut.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan
pendakwaan terhadap pemimpin Pakatan bertujuan menutup kelemahan
berhubung penipuan pilihan raya.
“Tindakan ini menunjukan betapa terdesak BN untuk mempertahankan
kuasa mereka dan bertujuan menafi hujah rakyat yang menuntut pilihan
raya bersih dan adil,” katanya kepada Suara Keadilan.
Pada Mei lalu beberapa pimpinan Pakatan Rakyat didakwa berhubung
penglibatan mereka dalam perhimpunan ‘Blackout 505 Suara Rakyat Suara
Keramat’.
Ia bermula dengan tindakan terhadap Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad dan aktivis mahasiswa Adam Adli.
Selain itu mereka yang turut didakwa ialah Setiausaha Pakatan Pulau
Pinang, Ong Eu Leong, Ahli Parlimen DAP Ipoh Timor Thomas Su, Pemimpin
KEADILAN Perak Mohammad Anuar Zakaria, Ketua AMK Negeri Sembilan, Nazree
Yunus, Setiausaha Eksekutif KEADILAN Johor R Yuneswaran dan Setiausaha
KEADILAN Pahang, Kamarulzaman Md Yunus.
Turut didakwa baru-baru ini Ketua Cabang KEADILAN Rembau Badrul
Hisham Shahrin, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, aktivis PAS Mohd Tamrin
Tun Abdul Ghafar Baba, pemimpin mahasiswa Safwan Anang, aktivis Harris
Ibrahim dan Hishamuddin Rais.
0 Komen pengunjong :