Tiada tuah lagi Ibrahim lawan PAS


TIADALAH orang UMNO Kelantan yang dikira sepintar Dato Ibrahim Ali sepanjang berlawan dengan PAS di negeri itu. Dia boleh hidup dalam semua masa.

Walaupun sejak 40  tahun lalu pemimpin hebat UMNO  Kelantan  ialah Tengku Razaleigh Hamzah, tetapi Ibrahim boleh hidup baik bersama Tengku Razaleigh mahupun selepas masa Tengku Razaleigh.

Angkatlah siapa  jadi ketua  UMNO  Kelantan selepas Ku Li, baik Annuar Musa mahupun Mustapa Mohamad atau Dr. Awang Adek, tiada siapa yang dapat menjinakkan Ibrahim Ali. Dia sudah ke depan sebelum nama-nama itu muncul dalam politik.

Besar peranannya menumbangkan kerajaan PAS yang dipimpin oleh Dato Asri dulu. Dia bermula dengan menubuhkan  Berjasa bersama Dato Mohamad Nasir. Selepas PAS kalah dan Berjasa tidak bertenaga lagi dia terus dalam UMNO. Tidak lambat baginya mendapat tempat penting  dalam UMNO bagi menjadi pemimpin  UMNO Pasir Mas.

Sakit PAS Pasir Mas untuk menundudukkan Ibrahim. Dalam  waktu yang muda dia berjaya mengalahkan PAS untuk jadi anggota Parlimen Pasir  Mas. Dia bermula sebagai hulubalang Ku  Li. Banyak kerja yang dibuatnya bagi pihak  Ku Li. Termasuk menjalankan kerja menentang Dr.  Mahathir sebagai Presiden UMNO dan sebelumnya membantu Ku  Li menentang Musa Hitam sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Apabila dia melihat Ku Li hilang bisa, dia terus menjadi hulubalang Dr. Mahathir pula. Dr. Mahathir memang pandai memungut  siapa  saja yang pernah menentangnya untuk menjadi hulubalangnya.

Tiada mudah bagi PAS menguasai Pasir  Mas. PAS tidak sukar menghadapi Annuar Musa tetapi tidak mudah berdepan dengan Ibrahim walaupun  dia tidak pernah menjadi orang pertama UMNO  di negeri itu.

Berkat pimpinan ulama PAS Kelantan  dan pimpinan Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan dan setelah S46 dibubarkan bagi menyertai UMNO, kekuatan Ibrahim mulai tercabar.

Dalam PRU 1999 Ibrahim  Ali dapat dikalahkan oleh Ustaz Ismail Noh dari  PAS. Pimpinan Annuar Musa dan Mustapa Mohamad tidak stabil. Mereka tidak dapat mengawal kerenah Ibrahim Ali. Kalau pimpinan UMNO negeri itu olehnya.

Bila UMNO diambil alih Abdullah Badawi, cara untuk mematikan politik Ibrahim ialah memecatkan dari UMNO  seumur hidup. Dia  lawan pimpinan UMNO Pasir  Mas yang pernah duduk di bawahnya. Dia cuba buktikan  dia lebih pintar dari  UMNO  Pasir Mas, dia bertanding bebas menentang BN dan PAS dalam PRU 2004. Bukan  saja dia kalah, BN pun kalah.

Lepas itu dia berbaik dengan Tok Guru Nik Aziz. Dia bersama PAS menentang  UMNO  seluruh Kelantan. Tetapi sekali-kali dia  tidak mahu menyertai PAS. Dengan kepintarannya dia dapat meyakinkan pimpinan PAS untuk menjadi calon PAS tanpa menyertai PAS. Ustaz Ismail Noh memberi laluan kepadanya menjadi calon PAS Pasir Mas menentang BN. Dia menang PRU 2008 dan jadi MP Pasir  Mas semula.

Dia enggan jadi MP PAS tetapi selesa jadi MP Bebas, tidak terikat dengan disiplin parti. Dia tidak  teragak-agak menyerang PAS dan kerajaan Kelantan. Bila Najib menggantikan Tun Abdulllah Badawi, dia banyak bercakap selari dengan dasar Najib. Dia berusaha  untuk mewakili BN di Pasir Mas dalam pilihanraya tanpa masuk UMNO.  Kerana dia dibuang dari UMNO seumur hidup, payah bagi UMNO menerimanya selagi Tun Abdullah hidup.

Tetapi dia berjaya meyakinkan Dr. M dan Najib bahawa dia boleh mengalahkan PAS. Dr. M berjaya mempengaruhi Najib memberinya menjadi calon menentang PAS tanpa jadi UMNO.

Seminggu sebelum Najib mengumumkan calon BN, saya menerima SMS, Ibrahim tidak disenaraikan sebagai  calon BN, tetapi calon BN tidak menyerahkan penamaannya bagi membolehkan Ibrahim berlawan satu  sama satu dengan PAS. Betul dia  saja menentang PAS bagi Parlimen Pasir Mas.

Bagaimana pun dia kalah juga. Dia  guna PAS lawan BN, dia menang. Dia guna UMNO dan BN untuk lawan PAS, dia tidak jadi orang bertuah lagi.

0 Komen pengunjong :