Zul Noordin mohon maaf, cuba alihkan kemarahan India kepada Pakatan

SHAH ALAM, 22 April — Calon Barisan Nasional (BN) Shah Alam Datuk Zulkifli Noordin memohan maaf kepada masyarakat India dan mengakui kesilapannya kerana pernah mengeluarkan kata-kata menghina agama kaum ketiga terbesar di Malaysia itu dalam kempennya pada hari kedua.
Naib presiden Perkasa itu cuba mengalihkan kemarahan terhadap dirinya dengan mengatakan kaum India perlu marah kepada kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat (PR) kerana tindakan merobohkan kuil lebih hina daripada apa yang beliau lakukan.
“Saya bila diberitahu dey, you cakap itu macam salah. Itu orang India sudah rasa hati. Saya terus cakap sorry, saya sudah silap, saya minta maaf,” kata Zulkifli merujuk kepada kenyataannya menghina agama Hindu yang tersebar di laman sosial Youtube beberapa minggu lalu.
“Tetapi kalau saudara marahkan saya kerana kenyataan itu, saudara kena marah kepada kerajaan PKR, DAP dan PAS yang hina lebih teruk agama orang Hindu. Meruntuhkan kuil di dalam rumah orang. Meruntuhkan kuil berusia 124 tahun di negeri Selangor itu lebih hina,” katanya merujuk kepada sebuah kuil India yang beliau dakwa diruntuhkan oleh kerajaan Selangor Oktober lalu.
Menurut Zulkifli, selepas menyertai BN, beliau sedar masyarakat berbilang kaum dan agama boleh hidup bersama dengan harmoni di negara ini.
Di dalam dewan Hotel Panmour, tempat majlis itu diadakan, tergantung sebuah sepanduk bertulis, “Bersama Najib Dahulukan Rakyat, Undi Zulkifli Noordin” selain daripada hadirin yang majoritinya merupakan anak-anak muda India.
“Saya dah sebut dibanyak tempat. Saya amalkan politik pelampau, politk ekstrim, politik rasis, chauvinis, kerana pembangkang DAP, PKR, PAS ajar kita macam tu.
“Bukan sahaja rasis, chauvinis terhadap kaum India, tetapi terhadap kaum sendiri. Kita orang Melayu dalam pembangkang diajar benci kaum sendiri,” katanya dihadapan lebih kurang 100 orang masyarakat India dalam sebuah majlis makan malam di sini anjuran Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Insan Petaling Selangor.
Zulkifli tidak ketinggalan untuk “menjual” idea Gagasan 1Malaysia dihadapan hadirin dengan mengumpamakan masyarakat Melayu, Cina dan India di Malaysia seperti memakan sirih.
“Kita bangsa Melayu, Cina dan India di Malaysia ni, macam sirih. Orang Melayu daun, orang Melayu daun yang hijau, dia besar. Orang Cina dia buah pinang dia kecik sikit. Orang India kapur tu, Sunarpu.
“Saudara, kalau saudara makan sirih, walaupun daun Melayu tu besar, buah pinang Cina tu ada, tapi kalau takde Sunarpu, tak ada kapur, itu sirih tak jadi merah langsung,” kata beliau disambut dengan tepukan gemuruh.
Keputusan BN meletakkan Zulkifli yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kulim Bandar-Baru sebagai calon bagi kerusi Parlimen Shah Alam menimbulkan kontroversi.
Keputusan tersebut menyebabkan Datuk Seri Najib Razak dikritik hebat, sebahagian besarnya disebabkan reputasi Zulkifli sebagai seorang Muslim berhaluan kanan, jawatannya sebagai naib presiden Perkasa dan kontroversi terbarunya mengenai penghinaan terhadap penganut Hindu.
Video menunjukkan Zulkifli menggunakan perkataan "Keling", yang masyarakat India rasakan sebagai penghinaan kaum, tersebar baru-baru ini, beberapa hari selepas satu lagi video menyaksikan beliau mempersoalkan seorang peniaga India mengapa tuhan Hindu tidak menyelamatkan kedainya daripada banjir, menyebabkan kemarahan penganut Hindu.
Zulkifli pernah menjadi salah seorang panel peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempersoalkan kesuciaan Sungai Ganges yang turut dikenali sebagai Ganga di India, dianggap suci oleh penganut Hindu.
Zulkifli menjadi ahli parlimen bebas mesra BN selepas dipecat daripada PKR pada 6 Mac, 2010 disebabkan laporan polis yang dibuatnya kepada penyandang kerusi parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.
Pengarah Strategi MIC S Vell Paari mengatakan BN akan kalah di Selangor pada 5 Mei ini jika gabungan tersebut bertegas untuk meletakkan Zulkifli di Shah Alam.

0 Komen pengunjong :